Raja Petra berada di London?


GAMBAR dari luar apartmen mewah di Gloucester Bayswater, London yang dipercayai menjadi tempat persembunyian Raja Petra Raja Kamarudin.

Pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin yang sebelum ini dilaporkan berada di Melbourne, Australia, kini dipercayai bersembunyi di Apartment Trinity Court di Gloucester Bayswater, London.

Menurut sumber, Raja Petra dipercayai menyewa salah sebuah unit di pangsapuri mewah enam tingkat itu sejak menjadi buruan polis, kira-kira lapan bulan lalu.

Pangsapuri terbabit dikategorikan sebagai kediaman mewah. Setiap unitnya mempunyai dua bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu.

Bagaimanapun, sumber terbabit tidak menyebut berapa lama pengendali laman web tersebut mendiami pangsapuri itu.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dia dituduh menerbitkan artikel bertajuk ‘Let‘s Send the Altantuya Murderers to Hell’ dalam blog www.malaysia-today.net, bertarikh 25 April 2008.

Selain itu, dia dituduh memfitnah Rosmah serta dua yang lain dalam satu akuan bersumpah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 18 Jun tahun lalu.

Mahkamah Sesyen pada 11 dan 13 November lalu bagaimanapun membebaskan tanpa melepaskan Raja Petra kerana pihak pendakwaan gagal mengesannya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar ketika dihubungi Mingguan Malaysia bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Beliau hanya berkata, polis masih berusaha memburu Raja Petra berikutan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan.

Penulis laman blog itu sebelum ini dilaporkan oleh sebuah akhbar berada di Melbourne selepas lebih tujuh bulan usaha mencari dilakukan.

Menurut laporan akhbar itu, polis berjaya mengesan penulis blog itu dan mendapati Raja Petra lari dari Malaysia menuju ke Thailand melalui jalan haram sebelum menaiki penerbangan terus ke Australia. – Utusan Malaysia

 



Comments
Loading...