Dr M akui 100 hari tidak cukup untuk penuhi janji


Dr Mahathir yakin rakyat memahami betapa sukarnya mentadbir negara yang sudah rosak.

(FMT) – Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui kerajaan mungkin mengambil lebih 100 hari bagi memenuhi 10 janji manifesto pilihan raya PH.

Dr Mahathir berkata janji-janji itu dibuat berdasarkan pengetahuan yang sedikit tentang keadaan sebenar negara, kerana gabungan itu tidak tahu tahap kerosakan sebenar yang sudah berlaku.

“Kita perlu akui, kita akan ambil masa lebih 100 hari. Tetapi saya yakin rakyat boleh memahami betapa sukarnya untuk mentadbir negara yang sudah rosak,” katanya semasa melayan peserta pada satu program berbuka puasa di Masjid Al-Hana petang tadi.

Beliau berkata kemenangan pilihan raya umum memberi tanggungjawab besar.

“Kami berjanji kepada rakyat mereka akan mempunyai kehidupan lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

“Kami berjanji berdasarkan pengetahuan yang sedikit, kerana kami tidak tahu berapa banyak kerosakan yang sudah dilakukan kepada negara ini.

“Hari ini kami dapati walaupun kami berikrar untuk memenuhi 10 janji itu dalam 100 hari, malangnya, ia tidak begitu mudah untuk diselesaikan.”

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan akan menangguh 5 daripada 10 janji dalam manifesto PH.

Lima janji yang ditangguh itu adalah, subsidi petrol untuk kereta dan motosikal bersasaran, sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk suri rumah, gaji minimum lebih tinggi, penangguhan bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional, dan pengembangan skim kesihatan kerajaan Selangor ke peringkat nasional.

 



Comments
Loading...