Dilema IMM13 di Sabah
Oleh ‘Deep Throat’ Sabah
Kejalangan Kerajaan Persekutuan yang bersekedudukan dengan Kerajaan Negeri Sabah berhubung isu 65,000 pelarian perang Filipina kini semakin meruncing dengan kemasukan haram beramai-ramai warga Filipina ke koloni warga pelarian berkenaan.
PALSU…. Zainuddin menunjukkan dokumen IMM13 palsu. Contoh resit bayaran dan contoh tandatangan Rosman Rayman, beberapa nelayan yang dikenalpasti memiliki dokumen IMM13 palsu dan Kad Pengenalan Merah asli yang diterima pemegang IMM13 asal turut dipaparkan. Bistari bertopi.
Walaupun mengikut rekod Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) hanya terdapat 65,000 pelarian perang di Sabah, namun jumlahnya kini bertambah secara mendadak lebih daripada 750,000 orang, tidak termasuk yang masih dalam proses permohonan atau yang baru tiba dan mengaku pelarian.
Para pelarian perang ini diberikan kad IMM13 iaitu dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen bagi menggantikan IMM20 yang diperkenalkan pada awal 1970-an. Dengan IMM13, para pelarian ini menjadi warganegara kelas pertama tanpa kad pengenalan kerana diternak sebagai ‘pengundi untuk disewa’ sama ada oleh SPR ataupun Umno.
Dengan hanya bayaran RM90 setahun, mereka bebas menjelajah seluruh Sabah, melakukan apa sahaja kerja daripada pekerja binaan, penjual rokok, penjaja haram sehinggalah kepada pengedar dadah.
Tanpa sebarang kekangan atau karenah birokrasi membuatkan IMM13 begitu ‘mahal’ dan semakin menjadi pilihan berbanding pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang mengenakan levi yang tinggi bergantung kepada sektor pekerjaan.
Lebih menyeronokkan, pemegang IMM 13 kini telah diberikan taraf penduduk tetap (PR) dan tidak lagi perlu membayar atau memperbaharui IMM13 mereka.
Beberapa pemimpin BN seperti Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Ewon Ebin telah melakukan ‘lawak bodoh’ dan memperbodoh rakyat dengan mengatakan bahawa Kabinet Negeri Sabah dan Kerajaan Barisan Nasional telah menyatakan pendirian membantah cadangan Kerajaan Persekutuan memberi taraf PR itu.
“Dakwaan pembangkang hanya merupakan dakyah politik yang sengaja dibesar-besarkan semata-mata menarik perhatian rakyat agar membenci kerajaan yang memerintah, apa lagi pada saat-saat menjelang pilihan raya,” kata Ewon meminta rakyat Sabah tidak risau terhadap bahan kempen pembangkang yang mengatakan kononnya pemberian taraf PR kepada pemegang IMM13 disokong oleh Kerajaan.
Tegas Ewon lagi, jika kerajaan Sabah menentang pemberian PR kepada pelarian, maka apa lagi yang perlu dirisaukan kerana kerajaanlah yang berhak dan perlu didengar untuk menangani masalah tersebut. Sikap telunjuk lurus kelingking berkait Kabinet April Fool Musa Aman telah mendedahkan tembelang sebenar mereka kerana Kabinet Kaki Judi (Osu Sukam) sebelum ini telah mencadang agar pemegang IMM13 diberikan taraf PR sebagai menghargai jasa mereka memenangkan BN (melalui IC Palsu) dan kerana telah lama menetap di Sabah dan tidak akan pulang lagi ke negara asal mereka.
“Atas permintaan Kerajaan Sabah, maka Kerajaan Persekutuan luluskan. Saya rasa ini bukan isu dan kerajaan Persekutuan hanya memenuhi hasrat Kerajaan Negeri,” ujar Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz.
Tegas Nazri, jika Kerajaan Negeri Sabah sekarang menentang pemberian PR kepada pemegang IMM13, mereka boleh melakukan yang serupa iaitu membatalkan keputusan Kabinet Osu Sukam dan Kerajaan Persekutuan hanya melaksanakan apa yang dikehendaki undang-undang.
“Setakat ini, itulah keputusan kita iaitu kita beri PR kepada pemegang IMM13 yang layak atas permintaan Kerajaan Negeri Sabah setelah menimbangkan isu ini dengan teliti,” ujar Nazri dalam satu wawancara khas.
Dengan bahang pilihan raya semakin hampir dan tugas Pasukan Petugas Khas Persekutuan Bagi Sabah dan Labuan (PPKPSL) semakin mencabar terutama memastikan warga pelarian yang tidak diiktiraf ini dapat dikerah untuk turun mengundi sebagaimana perubahan yang berlaku dalam lanskap politik Sabah sejak 1994 lagi.
Rumah Merah atau Pusat Tahanan Sementara yang wujud secara tidak sah telah dihalalkan kerana tidak ada sebarang pihak mencabar locus standi PPKPSL yang wujud secara adhoc dan Rumah Merah yang sinonim dengan Pusat Perternakan Pengundi.
Walaupun kedengaran janggal dan berunsur fitnah, namun di dalam sebuah negara authoritarian seperti Malaysia yang dilunakkan dengan panggilan ‘Demokrasi Berperlembagaan’, seorang pendatang asing tanpa izin boleh dikerah mengundi bukanlah satu cerita kosong.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah menerima pakai buku IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah karya Mutalib M.D sebagai bahan bukti yang sah kewujudan ‘pengundi hantu’ dalam perbicaraan Petisyen Pilihanraya Likas 1996. Buku Mutalib seterusnya, Pengundi Untuk Disewa telah membongkar kejalangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bukunya terkini, IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir? telah mengupas secara terperinci enigma di sebalik agenda Barisan Nasional.
Berikut petikan keterangan Mutalib M.D pada 12 November 1999 di hadapan Hakim Datuk Mohd Kamil Awang ketika menjadi saksi perbicaraan Petisyen Pilihan raya DUN Likas yang dimenangi oleh Dr Chong Eng Leong.
“Yang Arif, jika tidak saya, siapa lagi yang berani membongkar isu sensitif ini. Kita sudah merdeka 42 (36) tahun, namun apalah ertinya kemerdekaan ini jika kita tidak berani berkata benar. Hari ini Malaysia mempunyai lebih 22 juta penduduk, namun tidak ada yang berani menyatakan kebenaran. Pada tahun 2020 kelak penduduk kita akan bertambah kepada 60 juta orang. Yang Arif, bagaimana jika nanti rakyat asing 50 juta orang dan Anak Jati Malaysia hanya 10 juta orang sahaja?”
Kebimbangan Mutalib ini turut dirasai Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Sabah (Keadilan), Zainuddin Hassan @ Simon yang turut sama mendengar keterangan Mutalib M.D di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang terpaksa melakukan perjalanan jauh daripada Sandakan ke Kudat semata-mata untuk menemui seorang nelayan bernama Bistari yang mempunyai bukti bahawa sindiket IMM13 palsu semakin berleluasa di Sabah.
”Ketika isu IC Palsu dan Projek belum selesai, kini timbul pula IMM13 palsu,” ujar Zainuddin yang menunjukkan dua contoh dokumen palsu IMM13 palsu yang dikeluarkan oleh sebuah sindiket dengan kerjasama kakitangan Jabatan Imigresen Sabah di Kudat.
Kata Zainuddin lagi, IMM13 palsu ini mengancam kedaulatan negara dan membahayakan keselamatan para nelayan di Kudat terutama dengan kebanjiran nelayan asing Filipina yang kini bermastautin di Sabah hanya menggunakan IMM13 yang disahkan palsu oleh Jabatan Imigresen.
”Saya telah bawa beberapa dokumen seperti ini untuk mendapatkan pengesahan di Jabatan Imigresen Kota Kinabalu dan ianya disahkan palsu dan dirampas. Bakinya inilah yang saya tunjukkan sebagai bukti,” ujar Zainuddin yang kesal kerana rasuah yang membudaya di kalangan pegawai penguatkuasa seperti Imigresen, rela dan polis telah menyuburkan kegiatan haram ini.
Zainuddin telah melakukan tinjauan rambang dan menemui lebih 200 nelayan tempatan dan asing di Kudat dan mendapati isu berkenaan amat serius kerana nelayan asing berkenaan menangkap ikan di perairan negara ini dengan menggunakan IMM13 palsu setelah pintu Imigresen bolos dan sempadan negara asing dapat dilolosi dengan mudah kerana mereka adalah rakyat Filipina.
”Mereka merompak kekayaan hasil laut kita dan menjual di negara dunia ketiga atau ke negara asal mereka. Nelayan kita yang rata-ratanya miskin tidak mampu membeli trawler, namun taukey Cina daripada Sarawak dan Semenanjung Malaysialah yang mengupah mereka,” ujar Zainuddin yang kesal kerana Jabatan Perikanan tidak melakukan sebarang pemantauan sekalipun trawler atau bot pukat tunda berkenaan tidak berdaftar.
Bot hantu ini turut melakukan beberapa kesalahan lain termasuk menggunakan pukat harimau yang diharamkan dan peralatan menangkap ikan yang menyalahi undang-undang terutama bom ikan dan ’cynide’.
Bagi mengatasi dan mengekang kebanjiran pendatang haram Filipina yang menggunakan IMM13 palsu, Zainuddin mencadangkan agar Angkatan Pengawal Maritim Malaysia (APMM) mengadakan operasi khas untuk memburu bot hantu dan pendatang asing yang diambil bekerja sebagai nelayan.
”Sindiket ini diketuai Ah Cai dengan kerjasama beberapa pegawai Imigresen dan dijual dengan harga RM1,200 hingga RM2,000 atau bayaran ansuran sebanyak RM250 sebulan,” ujar Zainuddin yang menunjukkan resit bayaran RM90 yang dipalsukan kerana tidak mempunyai ciri keselamatan.
Zainuddin turut menggesa agar seorang Pegawai Imigresen Tinggi yang bernama Rosman Rayman tampil membuat laporan polis kerana semua IMM13 berkenaan ditandatangani beliau dengan tulisan jawi.
Sehubungan itu, Zainuddin telah membuat laporan polis pada 7 Disember 2007 di Balai Polis Sandakan melalui laporan bernombor Skn/Rpt/14268/07 yang berbunyi;
”Pada jam lebih kurang 12 tengah hari, 2 Disember 2007, seorang nelayan, Bistari, di Kudat telah membuat aduan rasmi kepada saya bahawa terdapat lebih 300 nelayan asing membanjiri Kudat dan menjalankan kegiatan menangkap ikan dengan menggunakan pukat tunda. Namun dalam beberapa operasi, beberapa nelayan asing berkenaan ditangkap. Keluarga nelayan asing berkenaan menghubungi Bistari untuk meminta agar ketua keluarga mereka (nelayan asing) dibebaskan kerana mempunyai pas yang sah. Namun apabila Bistari menemui Pegawai Imigresen Kudat, Haji Hassan untuk tujuan pengesahan pas, beliau memaklumkan bahawa pas IMM13 yang ditunjukkan kepadanya palsu dan merampas pas berkenaan. Namun setelah keluarga nelayan asing mengugut untuk membuat laporan polis, Haji Hassan mengembalikan pas berkenaan dengan syarat mereka tidak membuat laporan polis. Oleh kerana yakin bahawa nelayan yang ditangkap tidak bersalah dan pas IMM13 dikeluarkan dengan cara yang sah, maka ahli keluarga mangsa bersepakat untuk membuat laporan polis. Namun oleh kerana mereka bimbang akan ditangkap kerana menggunakan pas IMM13 yang dikeluarkan oleh sindiket yang sama, maka mereka mewakilkan Bistari berkenaan membuat aduan rasmi kepada Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur untuk membebaskan lebih 15 nelayan asing yang ditahan atas tuduhan memiliki IMM13 palsu. Bagaimanapun Bistari terus menghubungi saya untuk membuat laporan agar polis dan Imigresen menjalankan siasatan dan menangkap seorang lelaki bernama ‘Ah Chai’ yang menjadi tekong darat dan agen pengeluaran pas IMM13 berkenaan yang dipercayai dibuat oleh sebuah sindiket dengan kerjasama pegawai Jabatan Imigresen Kudat. Memandangkan kegiatan mengeluarkan pas IMM13 ini dilakukan secara berleluasa kepada warga Filipina berbangsa Visaya (Kristian) yang memasuki Sabah antara satu minggu hingga tiga tahun, maka ianya mengancam kedaulatan dan keselamatan negara ini. Saya datang ke Balai membuat laporan polis. Sekianlah laporan saya.”
Namun sehingga kini, belum ada sebarang tindakan diambil kerana ‘Ah Chai’ telah berjaya meletakkan semua pegawai penguatkuasa di dalam payrollnya.
Mengikut maklumat terkini, Ah Chai turut melebarkan operasinya ke Labuan, Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Kota Kinabalu dan Tawau kerana memegang falsafah, ‘ada wang semua boleh beli termasuk pegawai kerajaan hingga ke Pak Menteri!’