Jahat sungguh Abdullah Ahmad Badawi


KAMAL AMIR MENULIS

TERNYATA keraguan yang saya suarakan lewat tulisan kelmarin menjadi kenyataan. Terbukti berlakunya campur tangan eksekutif dalam sistem kehakiman. Nyata terang dan jelas, tidak lagi perlu bersuluh Abdullah Ahmad Badawi berjaya mempengaruhi Peguam Negara Gani Patail kesan desakan dan pujuk rayu Samy Vellu agar 31 demonstran Hindraf digugurkan pertuduhan cubaan membunuh yang tidak memungkinkan mereka dari diikat jamin (sila lihat  tulisan bertajuk Kehakiman Kian Cemar).

 

{mosimage} 

Lebih memeranjatkan apabila  Peguam Negara  mengugurkan tuduhan keatas lima daripada 31 orang demonstran. Sedangkan anak muda Suwandi dan Azman yang terpaksa bertarung dengan maut kesan ledakan peluru hidup di Batu Buruk masih terpasung tanpa boleh diikat jamin. 

Jahat, memang jahat rupanya Abdullah Ahmad Badawi mempersenda pasukan polis dan badan kehakiman. Hanya kerana mahu memperlihatkan kuasanya dia sanggup menjadikan anggota polis dipandang jelik oleh kalangan demonstran di Batu Buruk, Dataran Merdeka, Jalan Ampang, Batu Caves dan terbaru di Bangunan Parlimen. 

Datuk Mustaffa Ali diberkas di perkarangan Parlimen menjadikan imuniti kemuliaan badan legislatif hancur berkecai. Begitu juga Tan Sri Khalid Ibrahim. Meskipun Parlimen seharusnya terhindar dari sebarang bentuk keganasan, namun apabila kedua-dua pemimpin pembangkang tersebut di berkas di perkarangan Parlimen, dunia melihat jelik serta jumudnya demokrasi ala Abdullah Ahmad Badawi. 

Jika ada orang menduduh Abdullah Ahmad Badawi “mental disorder” saya tetap menafikannya kerana orang gila tidak tahu melakukan kerja sejijik itu untuk memperkudakan sistem kehakiman. Malahan kalau ada pula menyatakan Abdullah Ahmad Badawi “buang tebiat” pasti akan saya sanggah kerana lazimnya orang yang sudah nazak  tentunya lebih banyak duduk di tikar sembahyang. 

Begitu juga andainya ada orang mengatakan Abdullah Ahmad Badawi sengaja mahu menyemarakkan api perkauman kerana membebaskan 31 demonstran Hindraf  tanpa mengambil peduli untung nasib Swandi dan Azman yang masih terpasung di Kuala Terengganu tetap saya nafikan kerana yang dipertahankan olehnya bukan kaum Melayu tetapi anak buah Samy Vellu. Kerana itu saya tetap mengatakan Abdullah Ahmad Badawi jahat! Memang dia jahat. Dolah bukan bodoh, tidak juga baghal, jauh sekali “mental disorder” ataupun sakit dan buang tebiat. Dia sesungguhnya memang jahat kerana dengan sengaja membakar perasaan hati rakyat sekadar mahu memperlihatkan kuasa di tangannya. 

Jika rakyat mahu marahkan pihak polis yang terpaksa berhempas pulas melakukan sekatan jalan raya sehingga ada yang tercedera dibaling dengan batu oleh demonstran di Batu Caves, Dolah tidak mahu ambil peduli kerana baginya kesemua gaji anggota polis telah dinaikkan serta dibayar setiap awal bulan. Selagi mereka memperolehi bayaran gaji maka kesetiaan wajar dibuktikan.

Kerana dia jahat, maka anggota polis yang sepatutnya berpeluang mengambil cuti hujung minggu bersama anak dan keluarga terbatal oleh panggilan kecemasan atas alasan mahu menjaga kententeraman negara. Lintang pukang jadinya Peguam Negara turun naik mahkamah memikirkan tuduhan terbaik serta “masuk akal” untuk diterima oleh mahkamah sesyen Shah Alam bagi memastikan 31 demonstran Hindraf terus terpasung tanpa boleh diikat jamin sehingga selesai perbicaraan mahkamah.

Selepas selesai melaksanakan tugas mendakwa 31 demonstran Hindraf, bagaikan lipas kudung pula Peguam Negara terpaksa hadir sendiri di mahkamah Kuala Terengganu melakukan tugas pendakwaan agar Suwandi dan Azman tidak diizinkan ikat jamin meskipun dia telah dicederakan oleh tembakan peluru hidup.

Usaha gigih Peguam Negara mencari upaya melakukan pendakwaan langsung tidak sedikitpun dipertimbangkan oleh Abdullah yang akhirnya meminta agar digugurkan tuduhan tersebut. Cukup jahat  Abdullah Ahmad Badawi yang berkali-kali mengaku dirinya seorang muslim yang baik memperkudakan penguatkuasa undang-undang demi survival politiknya.

Lebih memeranjatkan apabila terbaca tulisan Raja Petra Kamaruddin berhubung percaturan licik membebaskan “Tengku  Goh” dari tahanan buang daerah untuk kembali bebas. (Sila lihat surat yang ditandatangan sendiri oleh Gani Patail meminta Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri membebaskan Tengku Goh).

Seram sejuk jadinya bila membaca kenyataan tersebut membayangkan jahatnya Abdullah Ahmad Badawi melakonkan adengan dangkal yang membawa kesan amat parah terhadap badan kehakiman kerana terbukti berlakunya campurtangan Perdana Menteri terhadap  institusi yang seharusnya benar-benar bebas dan berkecuali.

Jika begitulah caranya Abdullah mentadbir negara , apakah dapat terjamin keselamatan rakyat dari gejala jenayah? Bagaimana boleh wujud laporan palsu dan ilusi tanpa bukti kukuh dilakukan oleh cawangan jenayah berhubung siasatan Tengku Goh? Apa untungnya pegawai polis tersebut melakukan tindakan sedemikian seperti yang dinyatakan oleh Peguam Negara dalam suratnya kepada Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negari?

Benarlah kata orang bijak pandai, “hanya kaki judi sahaja yang berkawan dengan  peminat judi, kaki arak tetap bersahabat dengan orang yang suka minum arak, penipu sahaja mampu bersahabat dengan penipu dan hanya orang jahat sahajalah yang suka bersahabat dengan orang jahat.”

Mampukah Abdullah Ahmad Badawi menafikan persepsi rakyat adanya campurtangan eksekutif dalam kes pembunuhan Altanttuya yang semakin kalut, bercempera, penuh misteri serta menghakiskan sama sekali keyakinan massa terhadap badan kehakiman kesan kenyataannya meminta Peguam Negara meringankan pertuduhan terhadap 31 demonstran Hindraf itu?

Melihat rencam sebegitu hati dijengah belas dan kasihan terhadap Suwandi dan Azman yang terus terpasung di penjara sementara menunggu perbicaraan selesai. Esok seluruh umat Islam bakal merayakan Hari Raya Haji yang sewajarnya disambut bersama keluarga jua sanak-saudara.

Kerana Suwandi dan Azman tidak kenal Samy Vellu, disebabkan keluarga kedua mereka bukan penyokong Samy Vellu, malahan mereka juga bukanlah ahli MIC maka terpinggir dan terpasunglah keduanya mendengar suara takbir dari tembok jeriji besi. Jahat sungguh perlakuan sedemikian.

Disaat saudara-mara dan sahabat-handai menyambut kehadiran hari raya korban, Suwandi dan Azman pula menjadi korban kepada percaturan politik Abdullah Ahmad Badawi. Jahat…. Cukup jahat!

Biar apapun, yang pasti Abdullah Ahmad Badawi telahpun mewujudkan “kelangsungan” (precedent) di mana jika mana-mana individu menghadapi perbicaraan di mahkamah atas tuduhan melakukan jenayah, mereka boleh membuat rayuan kepada Perdana Menteri kerana dia mempunyai kuasa mempengaruhi mahkamah. Jahat… cukup jahat orang yang mengaku dirinya seorang muslim yang baik sanggup mencemarkan kemuliaan sistem perundangan negara.

Ketua Polis Negara ternyata melakukan kerja sia-sia mempercayai Hindraf menjalin hubungan dengan kumpulan pengganas India LTTE apabila begitu mudah Abdullah Ahmad Badawi meminta Peguam Negara membebaskan 31 Demonstran Hindraf hanya kerana rayuan dan desakan Samy Vellu.

Tindakan pasukan polis membendung keganasan, menyuraikan perhimpunan dengan meminta injuksi mahkamah agar perhimpunan tersebut diklasifikasikan haram untuk membolehkan tangkapan dibuat terhadap mana individu yang terlibat turut menjadi sia-sia apabila pesalah yang seharusnya dihadapkan ke mahkamah boleh dibebaskan hanya  dengan merayu kepada Perdana Menteri.

Terdapat tuduhan mengatakan Abdullah Ahmad Badawi seorang pemimpin yang lemah kerana melayan  permohonan Samy Vellu kerana bakal mengujudkan satu kementerian menyelia hal-hal yang berkaitan dengan agama bukan Islam sebagaimana dilaporkan oleh media arus perdana.

Sesungguhnya dia bukan lemah, tetapi Abdullah memang jahat kerana dengan sengaja mahu membakar hati dan nurani masyarakat Melayu Islam. Rakyat yang cinta damai benar-benar tergamam mendengar kenyataan tersebut dan mereka tersentak pula bila diberitakan pembebasan 31 demonstran Hindraf.

Penahanan lima orang pemimpin Hindraf diketuai oleh Uthaya pastinya akan jadi lebih celaru apabila timbul persoalan  kenapa mesti dipasung mereka menggunakan seksyen 8a dan tidak seperti lazimnya ditahan menggunakan kaedah tahanan 60 hari oleh pihak polis terlebih dahulu sebelum dilanjutkan atas kuasa Menteri.

Apakah mungkin jika Samy Vellu membuat rayuan bagi pihak kaum keluarga lima pemimpin tersebut serta bimbang kemungkinan bakal kalah dalam pilihan raya nanti menjadikan Abdullah berlembut hati membebaskan kelima-lima mereka? Hanya masa menentukan segala-galanya.

Biar apa pun yang jelas, Abdullah Ahmad Badawi memang jahat kerana menghebahkan kepada umum bahawa dia meminta Peguam Negara mempertimbangkan pertuduhan ke atas 31 demonstran Hindraf setelah didesak oleh Samy Vellu tetapi tidak pula bersedia memikirkan soal Suwandi dan Azman mangsa ledakan peluru hidup. Dalam waktu yang sama “Tengku Goh” yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah, bebas. Semoga segera terjelma hukum karma dari yang Maha Esa dan bumi tercinta ini terselamat dari percaturan politik sempang-peranang pemimpin yang jahat.



Comments
Loading...