Keputusan Suhakam galakkan kekebalan Polis


Oleh Faisal Mustaffa 

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) mengutuk pendakwaan terhadap Suwandi Ghani dan Muhammad Azlan yang ditembak polis di Batu Burok, Terengganu dengan menggunakan peluru hidup serta mengalami kecederaan parah. Mereka didakwa cuba untuk mencederakan seorang pegawai polis. Peguam Negara mewujudkan satu tekanan dan bertindak mala fide dalam menggunakan dakwaan-dakwaan sedemikian sehingga seolah-olah memaksa supaya mahkamah menolak rayuan jaminan terhadap mangsa.

Menurut ahli jawatankuasa Induk BERSIH, Sivarasa Rasiah, perkara ini jelas menunjukkan ketidakadilan di tahap tertinggi memandangkan pegawai polis yang menggunakan peluru hidup terhadap orang awam yang tidak bersenjata dibiarkan bebas berleluasa dan pada masa yang sama kedua-dua mangsa bukan hanya hampir hilang nyawa mereka semasa penembakan, tetapi berhadapan dengan penghukuman penjara seumur hidup. 

"Pendakwaraya yang mendakwa sebagai percubaan untuk mencederakan juga dilihat sebagai melindungi pihak polis bila mana Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengumumkan untuk adakan perbicaraan awam berkenaan dengan penyalahgunaan kuasa dan menggunakan kekerasan melampau polis sewaktu insiden Batu Burok. Polis juga cuba untuk mempengaruhi pihak-pihak tertentu supaya inkuri tersebut dibatalkan," kata Sivarasa. 

Selepas Suwandi dan Azlan dinafi daripada dijamin, Suhakam telah membuat satu lagi keputusan yang bercanggah dengan hak asasi manusia. Pada 14 Disember 2007, mereka membatalkan inkuiri. 

BERSIH berasa amat kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh Suhakam dalam tunduk kepada pihak polis dan Peguam Negara dan membatalkan inkuiri awam terhadap insiden penembakan pihak polis ke atas orang awam. 

"Kami maklum kepada Seksyen 12 (2) dan (3) Akta Suhakam 1999 yang menyatakan bahawa Suruhanjaya tidak akan menyiasat apa jua laporan yang berkaitan dengan dakwaan yang mengancam hak asasi manusia sekiranya terdapat kes yang dilaporkan di mana-mana mahkamah, atau telah pun dibacakan keputusan termasuk rayuan-rayuan yang masih lagi menunggu masa untuk dibicarakan," tambah Sivarasa. 

Sivarasa yang juga seorang peguam berkata, interpretasi Pengerusi Panel Suhakam untuk inkuiri terbuka, Muhammad Shafee Abdullah berkaitan dengan Seksyen 12 (2) dan (3) itu amat dangkal. Ia juga bercanggah dengan Akta yang digubal untuk melindungi hak asasi manusia. 

Menurutnya, perkara itu jelas daripada kata-kata, "laporan berkaitan dengan sebarang pertuduhan yang melanggar hak asasi manusia" mestilah tidak menjadi satu-satu perkara yang masih lagi belum dibawa ke mahkamah.  

Justeru, apabila ianya benar-benar difahami daripada kata-kata jelas dan terang yang digunakan serta niat-niat tertentu dalam peruntukan, akal budi dengan serta-merta akan menjelaskan bahawa Seksyen 12 mengelakkan seseorang mangsa hak asasi akan menggunakan satu-satu laporan itu daripada dibawa ke mahkamah dan dibawa ke  Suhakam supaya dibicarakan.  

BERSIH berpendirian bahawa tindakan tersebut tidak sekali-kali bermaksud apabila seseorang yang didakwa melanggar hak asasi manusia boleh mendakwa seseorang mangsa itu di mahkamah dan kemudiannya Suhakam akan membuat keputusan yang mengatakan bahawa ianya menjadi halangan kepada badan itu menjalankan sebarang inkuiri.  

"Alasan ini menjadi sesuatu amalan bila mana sesuatu pertuduhan itu sedang menunggu masa di mahkamah untuk sesuatu kesalahan TIDAK sama dengan "laporan berkaitan dengan sebarang pertuduhan yang melanggar hak asasi manusia. Ia akan hanya seiring dalam perkara yang sama sekiranya MANGSA membawa laporannya kedua-dua lapangan; mahkamah dan Suhakam," tambah Sivarasa lagi. 

"Kami dengan ini marasakan sesuatu yang tidak masuk akal apabila, sebagai contoh, pihak polis yang menggunakan kekerasan terhadap sesuatu perhimpunan aman, apa yang mereka lakukan kemudiannya ialah untuk mendakwa beberapa pihak sebarang pendakwaan dalam perhimpunan yang tidak mengikut 'undang-undang' dan Suhakam akan mengatakan bahawa mereka tidak boleh menjalankan sebarang siasatan sama ada terdapatnya percanggahan dalam hak berhimpun secara aman. Sekiranya seseorang anggota polis membuat calar semasa bertugas, pihak yang sedang menyertai sesuatu perhimpunan itu akan didakwa sehingga membawa kepada kecederaan dan Suhakam akan mengatakan bahawa pihaknya tidak boleh menjalankan inkuiri sungguhpun ianya hanya untuk menyiasat sama ada pihak polis tersebut menggunakan kekerasan atau pun tidak." 

Dalam insiden Batu Burok yang mana kes terburuk berlaku dalam keganasan polis hari ini di mana peluru hidup ditembak secara terus kepada orang awam yang tidak bersenjata, isu pokok bagi inkuiri adalah untuk mengetahui sama ada pihak polis telah melanggar hak untuk berhimpun secara aman apabila mereka mula menggunakan pancutan air dan gas pemedih mata terhadap orang awam yang sedang berhimpun dan juga penembakan terhadap protestor yang tidak bersenjata.  

Untuk itu, BERSIH berpandangan Suhakam telah lari daripada tanggungjawab mereka. 

Implikasi terhadap keputusan Suhakam menenggelamkan perlindungan ke atas hak asasi manusia di Malaysia. Dengan menarik balik keputusan untuk mengadakan perbicaraan awam atas alasan pihak berkuasa polis mendakwa mangsa-mangsa, ia juga telah memberi isyarat salah kepada pihak polis dan institusi perundangan bahawa di masa hadapan dengan menyalahgunakan mangsa-mangsa dan kemudiannya mendakwa mereka di mahkamah. Ini akan menggalakkan lebih banyak keganasan dan budaya kebal pihak polis. Ia juga bukan niat asal penubuhan Suhakam mahupun akta itu sendiri.



Comments
Loading...