Penubuhan Sebuah Jabatan Bagi Jaga Kepentingan Bukan Islam Tidak Perlu


SEPANG, Dec 18 (Bernama) — Penubuhan sebuah jabatan bagi menjaga kepentingan bukan Islam pada masa ini tidak perlu kerana jawatankuasa khas sedia ada telah dapat meminkan peranan efektif untuk tujuan itu, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata pengwujudan satu jabatan untuk tujuan itu pada masa sekarang adalah kurang wajar.

"Mungkin (jabatan) terlalu besar… tengoklah di masa hadapan, sekiranya wajar kita akan adakan juga jabatan itu.

"Hal bukan Islam, sebenarnya kita beri perhatian. Bukan kita tidak beri perhatian kepada mereka dan perhatian-perhatian itu adalah berkaitan dengan masalah yang dihadapi mereka untuk dipertimbangkan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita ketika melawat Perusahaan Sepang Maju Sdn Bhd, di Sungai Pelek di sini hari ini.

Lawatan itu merupakan sebahagian program lawatan kerja dua hari Perdana Menteri ke Selangor.

Abdullah mengulas permintaan pertubuhan bukan kerajaan yang mahukan supaya kerajaan menubuhkan sebuah jabatan bagi menjaga hal ehwal bukan Islam di negara ini.

Beliau berkata jawatankuasa sedia ada di bawah Jabatan Perdana Menteri dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok untuk menjaga kepentingan mereka yang beragama Kristian, Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu (Hindu) serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting (Buddha).

Selain daripada jawatankuasa itu, Abdullah berkata Jabatan Perpaduan turut mempunyai jawatankuasa seumpama, dengan seorang menteri dipertanggungjawabkan perkara berkaitan perpaduan, agama dan kepercayaan kaum yang ada.

Ditanya sama ada keputusan untuk mengugurkan dakwaan terhadap 31 orang penyokong Hindu Rights Action Force (Hindraf) disebabkan beberapa desakan, Abdullah berkata keputusan itu dibuat oleh Peguam Negara.

"Dia tentu berfikir apa yang nak dilakukan bila bawa kes itu ke mahkamah. Dia buat keputusan yang wajar dan dia beri sebab mengapa dakwaan itu dikurangkan," katanya.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani semalam menarik balik pertuduhan terhadap 31 penyokong Hindraf yang didakwa atas cubaan membunuh seorang pegawai polis dalam kejadian perhimpunan haram anjuran kumpulan tidak berdaftar itu di Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves pada 25 November lepas. BERNAMA



Comments
Loading...