Perintah ikat jamin 17 penyokong Bersih dilanjutkan
Harakahdaily
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini melanjutkan perintah ikat jamin ke atas 17 penyokong Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang ditahan kerana melanggar larangan berhimpun di Parlimen pada 11 Disember lalu.
Mereka ditahan dalam kawasan Parlimen ketika cuba menyerahkan memorandum membantah pindaan perlembagaan untuk melanjutkan usia persaraan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Tertuduh diwakili oleh pasukan peguam bela yang dianggotai oleh Mohd Zamri, Fadiah Nadwa Fikri, Amer Hamzah, Latheefa Koya, Edmund Bon dan Johnson John.
"Mahkamah telah membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh ikat jamin bagi 17 individu tersebut sehingga 26 Disember akan datang," ujar salah seorang peguam bela, Nadiah Fadwa ketika dihubungi Harakahdaily.
Menurutnya, mereka dikehendaki datang semula untuk mendengar dakwaan serta penetapan tarikh perbicaraan kes tersebut.
Terdahulu, sembilan telah dibebaskan tanpa syarat, manakala 17 orang lagi dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 10 malam hari yang sama.
Antara yang dibebaskan ialah Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh; AJK PAS Pusat, Dr Lo'Lo' Ghazali; Pengerusi Penaja Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim; Setiausaha Agung penaja PSM, S Arutchelvan dan AJK Pusat parti itu, S Sivarajan.