Siapa Benar, Siapa Penipu?


Hari-hari Terakhir Seorang Ketua Menteri – Bahagian kedua

Oleh ‘Deep Throat’ Sabah

Keghairahan Setiausaha Pemuda Umno Malaysia, Datuk Rahman Dahlan mencadangkan tindakan disiplin diambil terhadap Adun Tanjung Kapor, Tan Sri Chong Kah Kiat semata-mata kerana bimbang ‘Godfather’nya, Datuk Seri Musa Aman kecundang di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Badi Yong Teck Lee kini menghantui Rahman yang diwar-warkan akan bertanding di Tuaran sebenarnya bukanlah mahu membela dan mempertahankan prinsip Musa Aman yang membawa budaya Pushtun (Pakistan) dalam pentadbiran kerajaan, namun mahu memastikan pelaburannya terjamin.

Rahman yang tidak mempunyai pengaruh langsung di Sabah cuba membunuh karier politik Hajiji namun menyedari tidak akan berjaya berjuang secara bersendirian kerana tiang rumahnya di Kuala Lumpur, maka Rahman bersedia menjadi ‘khadam politik’ kepada Musa Aman yang tidak mempunyai ‘Macai’ selain rakan kongsi perniagaan seperti Admund Looh, Andrew Lim, Michael Chia, Raymond Chan dan Nasir Yeo.

Beberapa ekor ‘keldai tua’ di dalam Umno tidak menyokong Musa Aman, sebaliknya bersifat seperti buaya yang akan melibaskan mangsanya ketika mempunyai peluang untuk berbuat demikian.

 

Kemunculan anak muda dari Tuaran yang menumpang tuah dan populariti bapa mertuanya, tokoh akademik,Tan Sri Awang Had Salleh dan isterinya, Norazlina Awang Had seorang pengacara NTV7 untuk menakah naik daripada seorang budak kampung di Tuaran kepada tokoh dikenali di arena politik Malaysia sebenarnya lebih dilihat sebagai ‘Khadam’ Musa Aman.

Kebolehannya ‘mengampu’ menyebabkan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memilih beliau sebagai Penolong Setiausaha Pemuda Umno pada tahun 2004 selepas berlangsung pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Brang, Terengganu.   Ketika itu Rahman selaku Ketua Pemuda Umno Bahagian Tuaran sudah mempunyai kedudukan yang selesa sebagai Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.  

Berbekalkan ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pengurusan dari sebuah universiti di California, Amerika dan pengalamannya sebagai Timbalan Presiden Kelab Umno California Utara, Rahman menyangka sudah cukup untuk menonjolkan diri sebagai ‘Hang Tuah’ kepada Pemuda Umno Malaysia semata-mata kerana ketuanya suka mengucup keris. Sebagai seorang yang masih mentah dalam politik, Rahman yang dibebani tugas sebagai Setiausaha Pemuda Barisan Nasional tidak mampu menangani aspirasi 650,000 ahli Pemuda dan lebih sejuta ahli Pemuda Barisan Nasional, namun cuba mengajak veteran politik Sabah, Chong Kah Kiat dalam kancah politik hingusan. 

Ramai rakan yang menyarankan agar Chong Kah Kiat memfailkan injunksi untuk menghalang mulut celupar Rahman yang telah tamat perguruan dengan isterinya yang digelar sebagai juruheboh NTV7, namun Chong merasakan Rahman bukanlah lawannya dan suka melihat Rahman memberikan publisiti meluas kepadanya berhubung isu Ma Tzu. 

Rahman yang pernah menggadaikan tanah, rumah dan dua buah motorsikal kesayangannya semata-mata untuk membiayai aktiviti Pemuda Umno Tuaran yang papa-kedana melakukan kesilapan besar kerana kini menggadaikan masa depan politiknya menjadi jurucakap Musa Aman semata-mata untuk memastikan talihayatnya sebagai ‘nadi politik Musa Aman’ terjamin. 

Bak kata pepatah, Rahman umpama semut yang terjatuh ke air. Beliau melihat daun kering jatuh ke air lalu berpaut pada daun kering tetapi tatkala melihat sebatang kayu balak, tanpa berfikir panjang, Rahman terus berpindah ke kayu balak berkenaan. Tanpa sedar, kayu balak berkenaan terlalu berat sehingga Rahman tenggelam bersama kayu balak berkenaan. Jika Rahman bijak bermain politik, dia akan berada di air tanpa perlu menaiki daun atau balak kerana badannya ringan dan air mempunyai satu lapisan yang mampu menampung berat seekor semut yang gempal seperti Rahman. 

Menyedari hakikat inilah maka Chong Kah Kiat membiarkan sahaja Rahman menghentamnya di akhbar perdana dan tempatan kerana secara tidak langsung rakyat Malaysia mula menyokong pendirian Chong Kah Kiat mempertahankan haknya menurut Perlembagaan dalam urusan agamanya dan memilih peguam yang dipercayainya. Rahman telah memberi publisiti yang meluas dan memihak kepada Chong Kah Kiat yang telah memfailkan saman pemula mengemukakan rayuan membatalkan keputusan Lembaga Bandaran Kudat yang menghentikan pembinaan Patung Dewi Laut Ma Tzu.

Peranan Rahman nampak ketara apabila Musa Aman dengan angkuhnya berkata siapa sahaja berhak failkan saman, tetapi menyuruh Rahman mendesak Barisan Nasional mengambil tindakan disiplin terhadap Chong Kah Kiat semata-mata kerana kedudukannya sebagai Adun BN bagi DUN Tanjung Kapor, Kudat atas kesalahan menggunakan Ketua Pembangkang di Sabah, Ansari Abdullah sebagai peguamnya.

Walaupun Sebagai Setiausaha Pemuda Umno Malaysia, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Tuaran dan Setiausaha Pemuda Barisan Nasional, namun Rahman kelihatan tidak langsung mempunyai pengaruh di kalangan Pergerakan Pemuda Umno Kudat. Tidak menghairankan jika sebagai Ketua Perhubungan Umno Sabah, Musa Aman mempunyai Rahman Dahlan, namun amat janggal jika Mantan Presiden LDP, Chong Kah Kiat berjaya mendapat sokongan Ketua Pergerakan Umno Kudat, Haji Gurahman Haji Lolong yang berani menuding jari dan berkata tidak kepada Rahman dan Musa Aman. Haji Gurahman telah menulis surat menggunakan kepala surat Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kudat kepada Chong Kah Kiat yang menyatakan sokongan terbuka Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kudat berhubung projek Ma Tzu. 

Surat bertarikh 19 Jun 2006 yang ditandatangani Haji Gurahman Lolong ini sekaligus membuktikan bahawa Pemuda Umno Kudat bercakap benar dan Rahman Dahlan bercakap bohong dan menjadi penipu kepada Perjuangan Pergerakan Pemuda Barisan Nasional semata-mata kerana menjadi ‘burung kakak tua’ kepada Musa Aman. Walaupun terdapat desas-desus bahawa Musa Aman telah membeli Gurahman dengan projek pembangunan bernilai RM200,000 dan menjanjikan akan dipilih sebagai calon parlimen menggantikan Abdul Rahim Bakri, namun sehingga kini Gurahman tidak menarik sokongan yang telah diberikan kepada Chong Kah Kiat. Kes Musa Aman merasuah Gurahman telah dilaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan fail siasatan telah dibuka, namun tidak dapat dipastikan apakah Gurahman akan dipilih sebagai calon kerana BPR mula menjalankan siasatan. 

Berdasarkan kriteria pemilihan calon yang diamalkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Gurahman yang sedang disiasat BPR tidak mungkin akan dicalonkan sebagaimana nasib yang menimpa Mantan Adun Tempasuk, Datuk Haji Musbah Jamli yang digugurkan di saat akhir kerana Pengarah BPR Sabah, Shukri Abdull telah memberitahu Pak Lah Musbah masih dalam siasatan BPR sehingga Pandikar Amin Haji Mulia dipilih mewakili BN pada 2004. Bahagian Ketiga, Ma Tzu Membisu tetapi Masjid berbicara? akan mengupas benarkah jawatankuasa Masjid Asy-Syakirin yang membantah pembinaan Ma Tzu sehingga Mufti Sabah mengeluarkan fatwa kepada orang bukan Islam!



Comments
Loading...