Skandal Feri Labuan!


Oleh ‘Deep Throat’ Sabah  

Para pengguna Feri Roro (Roll On, Roll Off) yang berulang alik dari Menumbok ke Wilayah Persekutuan Labuan diingatkan agar berhati-hati dan menggunakan kaedah lain bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.

“Feri yang dikendalikan oleh Labuan Ferry Corporation Sdn.Bhd ini tidak selamat dinaiki kerana tidak berlesen dan tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan yang sah,” ujar Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Sabah (Keadilan), Zainuddin Hassan @ Simon selepas seorang pengguna feri berkenaan dari Labuan ke Menumbok mengadu kepada beliau.  

Menurut Zainuddin, feri berkenaan bukan sahaja tidak mempunyai insuran liabiliti perlindungan jiwa dan harta benda, malah turut membawa bahan mudah terbakar seperti tong gas dan minyak petrol yang diangkut di dalam lori.  

Active Image

HARAM…. Perkhidmatan Feri Kenderaan daripada Labuan ke Menumbok tidak selamat namun dibiarkan tanpa rasa bersalah oleh Ketua Menteri Sabah dan Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abd Rahman.

“Feri ini sering rosak di tengah laut sehingga memaksa ditunda ke pelabuhan,” ujar Zainuddin yang mendapat maklumat daripada beberapa pelanggan feri berkenaan.  Sekembalinya ke Sandakan, Zainuddin telah membuat laporan polis bernombor Skn/Rpt/14266/07 pada 7 Disember 2007 yang mencatatkan maklumat berikut;  

“Pada lebih kurang jam 3.50 petang, seorang pengguna feri dari Labuan ke Menumbok mengadu kepada saya bahawa perkhidmatan feri yang dijalankan oleh Labuan Ferry Corporation Sdn.Bhd (LFC) adalah tidak selamat digunakan kerana beroperasi secara haram. Feri berkenaan sering rosak di tengah laut dan tidak mempunyai skim pampasan insuran. Feri berkenaan juga berbahaya kerana mengangkut bahan mudah terbakar seperti tong gas, minyak petrol dan diesel. Saya datang ke balai membuat laporan kerana saya percaya berlaku amalan rasuah dan hairan bagaimana feri berkenaan dibenarkan beroperasi tanpa lessen yang sah. Saya menggesa agar Polis, Jabatan Audit Negara dan Badan Pencegah Rasuah menyiasat dan menangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Haji Aman menerima suapan daripada Pengarah LFC, Kiong Ping Moon @ Peter Kong Ping Sen sebagai imbalan membenarkan LFC mengendalikan perkhidmatan feri dua hala Menumbok-Labuan tanpa mematerai sebarang konsesi pengswastaan yang sah. Sekianlah laporan saya.” 

Siasatan M2day mendapati memang benar Labuan Ferry Corporation Sdn.Bhd beroperasi secara haram kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen rasmi termasuk insuran dan lesen mengendali pengangkutan laut daripada Jabatan Laut dan Kerajaan Negeri Sabah. 

Syarikat yang mempunyai modal berbayar RM3.2 juta ini dimiliki oleh Kiong Ping Moon @ Kong Ping Se @ Peter Kong, Shamsul Sahari dan Keong Sang Hon @ Kong Chang Sin telah memperdaya Bank Pembangunan Malaysia Berhad sehingga memperoleh pinjaman sejumlah RM21.375 juta melalui tiga pinjaman sejumlah RM7.125 juta setiap pinjaman yang diberi pada 12 September 2003 (dua pinjaman) dan 19 Januari 2006.  

Walaupun mencatat keuntungan, namun Labuan Ferry liat membayar pinjaman sehingga mencatat jumlah tunggakan yang tinggi, sekalipun Peter Kong sering dilihat makan tengah hari atau melepaskan lelah di karaoke yang menghidangkan China Doll sebagai resepi bersama Pengurus Bank Pembangunan Malaysia Berhad. 

Peter Kong yang hidup mewah memandu Mercedes 500 SL333 kerana tidak perlu membayar hutang dengan Bank Pembangunan Malaysia Berhad kerana Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman telah bermurah hati mengarahkan Kumpulan Yayasan Sabah menjadi penjamin pinjaman bank yang dibuat oleh Peter Kong.  

 

“Memang Musa Aman ada kepentingan, namun tidak tahu berapa peratus. Dalam hal ini, Pengarah Audit Sabah turut bersubahat,” ujar seorang pegawai Yayasan Sabah yang mendedahkan isu jaminan pinjaman RM21.375 juta yang dibuat Labuan Ferry Corporation Sdn.Bhd yang belum pernah dibayar walau sekalipun! 

Kata pegawai itu lagi, Peter Kong telah datang berjumpa Musa Aman memohon bantuan kerana tidak ada bank yang mahu memberi pinjaman atau membiayai operasi feri mereka kerana risikonya terlalu tinggi, namun Musa Aman bersetuju membantu dengan beberapa syarat termasuk peratusan saham yang dipegang oleh Shamsul Sahari sebagai nomineenya. 

 

“Peter Kong ada bayar duit, tetapi tidak tahu berapa,” akui pegawai berkenaan yang sempat melihat Peter Kong meninggalkan sampul surat besar di atas meja Musa Aman sebelum meninggalkan bilik ketika beliau keluar membawa fail Feri Labuan yang telah diswastakan beberapa kali sebelum diserahkan kepada Peter Kong.

Pegawai berkenaan memberitahu beliau terpaksa mendedahkan rahsia ini kerana tidak mahu Yayasan Sabah menanggung kerugian kerana Skandal Pinjaman ini sedangkan rakyat Sabah hidup bergelumang dengan putaran ganas kemiskinan. 

 

“Maaf, saya tidak dapat beri dokumen berkenaan kerana ianya sulit dan akan membahayakan pekerjaan saya. Tapi saya rasa Bank Pembangunan Malaysia Berhad akan memberikan kerjasama,” cadang pegawai berkenaan yang hanya menamakan dirinya sebagai Bob.

M2day gagal mengesan sebarang petanda atau bukti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman turut bersubahat dengan Peter Kong, namun kencenderungan Suhaili menghindari isu ini amat ketara kerana enggan memberikan sebarang ulasan sekalipun membahayakan kepentingan awam. 

 

Dalam pada itu, Pemegang Saham asal Innoprise Corporation Sdn.Bhd, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dipercayai telah melantik peguam untuk memfailkan injuksi terhadap Musa Aman, Pengarah Yayasan Sabah dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia kerana telah meluluskan pelaburan dan penambahan saham yang meletakan Yayasan Sabah ‘muflis’ di atas kertas kerana menanggung liabiliti yang berat. 

“Ya, saya akan memfailkan injunksi. Nama saya masih di dalam senarai pemegang saham. Saya merupakan pemegang saham asal iaitu 50 peratus di dalam Innoprise yang mempunyai 38 anak syarikat. Semua resolusi yang dibuat tanpa persetujuan pemegang saham adalah tidak sah dan terbatal,” ujar Jeffrey ketika dihubungi melalui telefon. 

 

Namun ketika ditanya isu Skandal Pinjaman Bank yang dibuat oleh Labuan Ferry Corporation, Jeffrey agak terkejut dan berkata, “Tidak patut kerana ini turut melibatkan saya berhutang dan saya akan mengambil tindakan berasingan di mahkamah. Memalukan kerana Peter Kong mendapat lebih RM45,000 sehari, tetapi enggan membayar hutang,” tegas Jeffrey yang mendapat tahu Labuan Ferry yang memonopoli perkhidmatan feri kenderaan begitu menguntungkan dengan kerjasama Musa Aman.



Comments
Loading...