Syed Shahir menang Presiden MTUC
PETALING JAYA 18 Dis. _ Syed Shahir Syed Mohamud sekali lagi dipilih sebagai Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada Persidangan Perwakilan ke-37 kesatuan itu di sini hari ini.
Bekas guru itu berjaya mempertahankan kerusinya selepas menewaskan pencabarnya, Shafie BP. Mamal.
Syed Shahir mendapat 278 undi manakala Shafie pula memperoleh 235 undi sekali gus diberi kepercayaan untuk terus memimpin MTUC yang mempunyai keahlian seramai 550,000 orang.
Ini merupakan percubaan pertama Shafie untuk merebut kerusi Presiden selepas 13 tahun menjadi orang nombor dua MTUC tetapi gagal berbuat demikian.
Sementara itu, G. Rajasekaran yang menjadi Setiausaha Agung MTUC selama 16 tahun juga sekali lagi diberi kepercayaan untuk menduduki jawatan tersebut.
Beliau mendapat 257 undi manakala pencabarnya, Abdullah Sani Abdul Hamid memperoleh 255 undi.
Bagi jawatan Timbalan Presiden MTUC pula, Mohd. Khalid Atan memperoleh undi tertinggi iaitu sebanyak 301 manakala P. Maniam (214).
Selain ketiga-tiga jawatan itu, turut mendapat perebutan ialah kerusi Naib Presiden, Timbalan Setiausaha Agung dan Setiausaha dan Timbalan Setiausaha Kewangan.
Apa yang menarik, hampir kesemua jawatan yang dipertandingkan dimenangi oleh `kumpulan’ Shafie.
Kira-kira 600 perwakilan dari 144 kesatuan sekerja menghadiri persidangan itu dan mereka yang layak mengundi ialah seramai 526 orang.
Shafie ketika ditemui berkata, beliau tidak sedih dengan kekalahannya itu dan berasa gembira apabila pasukannya memenangi hampir kesemua jawatan yang dipertandingkan.
“Saya hormati keputusan perwakilan. Sudah 34 tahun saya bersama kesatuan sekerja dan akan terus menyumbang kepada MTUC sebagai ahlinya,’’ kata beliau.- Utusan