Kerajaan bayar pampasan tinggi kepada swasta, tetapi rakyat tidak terbela
Harakahdaily
Rakyat Negeri Sembilan sendiri ramai tidak tahu dimana letaknya Ladang Gatco kerana ladang ini atau nama lainya Kampung Serampang Indah terletak jauh di pedalaman di daerah Jempol (kira-kira 80 kilometer dari Seremban).
Terdapat lebih kurang 100 keluarga Melayu, 20 keluarga Cina dan 200 keluarga India di sini. Rata-rata mereka adalah peneroka dan pekerja ladang dan telah menetap di sini sejak berpuluh-puluh tahun.
Masalah besar yang mereka hadapi ialah mereka belum mendapat hak milik tanah dan mereka menunggu untuk dihalau keluar kerana mengikut ceritanya pemilik ladang telah tidak mampu membayar pinjaman bank sebanyak RM16 juta.
Setelah bermacam-macam janji oleh wakil rakyat, kerajaan negeri dan kerajaan pusat sejak lebih lima kali pilihan raya umum diadakan dengan memberi jaminan masalah tanah mereka akan diselesaikan, mereka sudah putus harapan.
Akhirnya pada 17 Disember 2007 Ketua Cawangan, AJK-AJK dan ahli-ahli Umno di Gatco , Jempol telah mengisytiharkan keluar parti kerana tidak percaya lagi dengan dasar perjuangan Umno yang membela nasib rakyat.
Tidak pula dinyatakan samada mereka masuk PAS, Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) atau DAP. Mesejnya cuma satu, mereka sudah kecewa dengan Umno/BN kerana menanggap bahawa pekerja ladang yang jauh di pedalaman ini tidak perlu diberi perhatian.
Majlis perisytiharan keluar Umno tersebut telah dihadiri oleh bukan sahaja keluarga Melayu dari Gatco malah keluarga India dan Cina.
Ini kerana nasib pekerja ladang Kampung Gatco sekarang ini tidak mendapat perhatian yang sewajarnya dari pemimpin Barisan Nasional termasuk dari MCA, Gerakan dan MIC.
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Mohamed Omar yang dijemput hadir dalam majlis tersebut menyatakan keutamaan sekarang bukanlah untuk mengajak mereka menyertai PAS atau lain-lain parti pembangkang.
Tetapi keutamaanya ialah mempastikan pekerja ladang ini yang terdiri dari kaum Melayu, India dan Cina mendapat pembelaan yang sewajarnya, katanya.
"Adalah menjadi hak mereka sebagai peneroka tanah untuk mempertahankan tanah mereka, dan mereka adalah merupakan warga negara Malaysia yang sah," katanya. "Sekiranya kerajaan sanggup membayar ganti rugi beratus-ratus juta ringgit kepada pihak swasta kerana penangguhan kenaikan tol, pembatalan projek jambatan bengkok dan sebagainya. Apalah sangat RM16 juta untuk menyelamatkan beratus-ratus keluarga pekerja ladang yang juga merupakan rakyat Malaysia," katanya.