Samy Vellu: Demonstrasi jejas kesetiaan masyarakat India


Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu malam ini mengakui demonstrasi jalanan yang dianjur sebuah perkumpulan haram baru-baru ini sedikit-sebanyak menjejaskan kesetiaan masyarakat India kepada kerajaan.

Berdasarkan maklum balas yang diterimanya, Samy Vellu berkata ada dalam kalangan masyarakat itu yang mula mempersoalkan mengapa masalah yang mereka bangkitkan ini belum diselesaikan kerajaan.

“Ada juga yang sudah bertanya mengapa (perkara) yang mereka mohon belum ditunaikan, jadi saya telah memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagilah masyarakat India lebih sikit (dalam program pembangunan negara) dengan mengambil kira sejarah mereka. Perdana Menteri dah bersetuju untuk menimbangkan,” kata Samy Vellu, yang juga Menteri Kerja Raya dalam satu program wawancara yang disiarkan secara langsung oleh RTM1 malam tadi.

Samy Vellu, yang ditemubual dalam Rancangan 60 Minit Bersama Menteri oleh Sabarudin Ahmad Sabri, berkata kebanyakan mereka yang terlibat dalam demonstrasi jalanan itu sudah ‘insaf’.

“Saya sudah jumpa dengan kebanyakan mereka yang terlibat dengan demonstrasi itu dan saya tanya mereka mengapa mereka terlibat. Mereka kata mereka ada hot sikit hari itu kerana ada orang kasi panas… tapi sekarang mereka sudah sejuk dan boleh fikir demonstrasi jalanan bukan cara untuk mohon sesuatu,” katanya.

Samy Vellu berkata beliau turut menjelaskan kepada mereka kebanyakan perkara yang dibangkitkan itu sudah dibincangkan Jemaah Menteri sejak beberapa bulan dulu, malahan langkah-langkah sedang diambil kerajaan bagi memperbaiki keadaan masyarakat India di negara ini.

“Tapi kita mesti ingat, 100 peratus minta bukan 100 peratus dapat. Mana ada kerajaan penuhi 100 peratus permintaan. Masalah ini bukan saja dihadapi kaum India, tapi juga kaum Cina dan kaum Melayu. Mereka pun ada bangkitkan dan bukan 100 peratus selesai,” katanya.

Samy Vellu menyifatkan kumpulan haram itu sebagai ‘tidak ada mata’ kerana tidak dapat melihat kemajuan yang dicapai oleh masyarakat India dalam tempoh 50 tahun ini.

“Dulu 80 peratus bekerja di ladang, makan gaji, tak ada harta atau simpanan. Tapi 50 tahun kemudian ramai yang jadi profesional, ahli perniagaan dan miliki pendidikan tinggi, ada harta dan simpanan,” katanya.

Beliau juga menganggap tuntutan bayaran pampasan daripada kerajaan Britain itu sebagai tidak realistik kerana berdasarkan perbincangan dengan beberapa peguam, adalah mustahil kerajaan Britain akan memenuhi tuntutan itu.

“Peguam-peguam ini beritahu saya, jika dipenuhi tuntutan pampasan sebab datuk nenek mereka dulu dibawa ke sini untuk bekerja sebagai pekerja estet, akan ada lagi tuntutan yang lebih besar dari negara lain seperti India.

Boleh bankrap kerajaan Britain,” katanya.

Menjawab soalan berhubung perpaduan masyarakat berbilang kaum, Samy Vellu berkata pada pandangannya unsur itu agak goyah sekarang dan perlu diperkukuhkan semula.

“Saya cadangkan supaya kita adakan subjek perpaduan di sekolah-sekolah dan kita ajar anak-anak kita kesan dan akibat jika kita tidak bersatu padu.

Ingatkan mereka sejarah dulu bagaimana orang dulu boleh hidup bersama sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Ditanya sama ada beliau telah bersedia melepaskan jawatannya sebagai Presiden MIC setelah mengambil kira begitu banyak sumbangan yang dilakukannya sepanjang lebih 30 tahun menjawat jawatan itu, Samy Vellu berkata beliau akan berbuat demikian bila tiba masanya.

“Bila tiba masanya saya akan melepaskan. Tetapi saya percaya sekarang saya masih ada banyak tanggungjawab belum dapat diselesaikan. Saya selesai itu, mesti saya lepas sendiri jawatan tersebut. Orang lain yang berkaliber boleh mengambil alih,” katanya.

– Bernama



Comments
Loading...