Perdana Menteri tidak amalkan ‘musyawarah’ dalam buat keputusan penting – Salahuddin
(Harakah) – Sebelum meminta rakyat menjadikan konsep musyawarah (perbincangan) sebagai satu budaya hidup, Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dinasihatkan agar mempraktikkan amalan tersebut dalam pentadbiran kerajaan dan Umno kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.
Beliau berkata, ini kerana banyak perkara yang dilaksanakan Perdana Menteri khususnya dalam membuat keputusan penting negara beliau tidak mengamalkan konsep musyawarah.
"Sebagai contoh kita melihat bagaimana beliau menangani isu-isu mutakhir ini khususnya dalam gelombang rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman Perdana Menteri tidak mengambil kira pandangan mereka.
"Sebaliknya Perdana Menteri menggunakan kekerasan dan kuasa menghalang suara rakyat" katanya semasa dihubungi Harakahdaily hari ini.
Beliau berkata, tindakan tersebut bertentangan dengan konsep musyawarah ataupun rundingan seperti yang disuarakan Perdana Menteri dalam laporan akhbar hari ini.
Di Kepala Batas semalam, Perdana Menteri dilaporkan mengajak rakyat pelbagai bangsa dan agama supaya menjadikan amalan musyawarah sebagai satu daripada ciri penduduk negara ini.
Kata Perdana Menteri, amalan itu akan melahirkan masyarakat saling bekerjasama dan hormati menghormati antara satu sama lain, sekaligus mewujudkan masyarakat penyayang.
Sementara itu, tambah Salahuddin banyak perkara yang dilaksanakan termasuk pembahagian projek dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) Perdana Menteri membudayakan konsep rundingan terus tanpa melakukan tender terbuka.
"Konsep rundingan terus itu tidak bertepatan dengan konsep musyawarah," kata Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.
Oleh kerana itu, katanya apa yang diucapkan Perdana Menteri itu perlu diamalkan kerajaan bagi dijadikan contoh oleh rakyat jelata./