PM belum jawap permohonan jumpa pembangkang, NGO


(Harakah) – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi belum memberi sebarang jawapan terhadap permohonan parti politik pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perbincangan dengan beliau.

Anwar berkata, sudah dua minggu masa yang diberikan kepada perdana menteri tetapi belum ada sebarang jawapan.

"Kita mahu bincang beberapa isu seperti perpaduan, pilihanraya bebas dan adil dan keganasan polis dalam menangani isu perhimpunan aman," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Petaling Jaya dua hari lalu.

Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri mengadakan sidang media tersebut bagi mendedahkan maklumat terbaru mengenai projek Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ).

Anwar juga memberitahu, pihaknya telah menghantar video klip Lingam kepada Suruhanjaya Di Raja pagi tadi.

"Ya kita sudah hantar kandungan video klip itu kepada suruhanjaya diraja," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan perkara tersebut.

Sebelum ini, Anwar mendedahkan klip video penuh VK Lingam yang didakwa membabitkan perbualan peguam terkenal Datuk VK Lingam, didakwa dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Pada 12 Disember lalu, kerajaan mengumumkan anggota dan bidangkuasa suruhanjaya diraja untuk menyiasatkan klip video tersebut.

Suruhanjaya lima anggota itu akan diketuai oleh bekas Ketua Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor.

Anggota lain terdiri daripada bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Mahadev Shankar; bekas Peguam Cara, Puan Sri Datuk Zaitun Zawiyah Puteh dan Pesuruhjaya Suhakam, Prof Dato' Khoo Kay Kim./



Comments
Loading...