Dr. Mahathir kembali meledak


KAMAL AMIR MENULIS

TUN Dr. Mahathir kembali meledak setelah menyepi diri hampir lima bulan. Permulaannya mantan Perdana Menteri menyatakan demonstrasi jalanan adalah wajar apabila setiap saluran bagaikan tertutup untuk rakyat bersuara kesan tidak pekanya pimpinan terhadap keluh-kesah marhain yang kian terhimpit.

Active Image

Dalam waktu yang sama beliau turut menyatakan meskipun akta keselamatan Dalam Negeri (ISA) pernah digunakan olehnya semasa menerajui kepimpinan negara, namun rakyat masih punya kebebasan sama ada mahu menyokong atau sebaliknya melalui proses demokrasi.

“Terpulang kepada rakyat sama ada mahu memilih kerajaan yang mengamalkan ISA atau mereka punya pilihan lain sebagai ganti,“ sinis dan cukup tajam maksud disebalik lontaran kata-kata beliau semasa menjawab sesi sidang media selesai upacara pelancaran buku Undang-undang Dunia Ketiga di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya 22 Disember 2007.

Lebih memeranjatkan apabila mantan Perdana Menteri itu turut mengaku telah ditemui oleh tiga orang pegawai dari Badan Pencegah Rasuah selama lebih satu jam berhubung siasatan kes pita V.K Lingam yang menjadikan badan kehakiman terjelepuk mengalami hakisan keyakinan.

“Saya sedia untuk tampil ke hadapan jika pihak yang menjalankan siasatan mahu memperolehi keterangan selanjutnya,” merupakan ledakan kenyataan yang membawa mesej cukup jelas kesediannya untuk kembali memperbetulkan kepongahan serta situasi politik serba merencam sejak beliau meninggalkan Seri Perdana.

Menghayati tiga persoalan yang dilontarkan oleh Tun Dr. Mahathir, ternyata ada mesej besar mahu diungkapkan. Antaranya menyentuh kebebasan rakyat melalui pilihan raya akan datang supaya menolak kepimpinan sedia ada kerana dilihat sudah tidak lagi relevan menerajui kerajaan.

Mentafsir di sebalik kenyataan demonstrasi jalanan adalah wajar jika saluran bagaikan tertutup untuk rakyat bersuara mendedahkan gelodak jiwa mantan Perdana Menteri yang merasakan terlalu banyak kecelaruan dalam mentadbir negara dilakukan oleh Abdullah Ahmad Badawi bersama sidang wazirnya.

Dalam erti kata lain beliau bagaikan merestui agar rakyat bangun menyatakan penentangan terhadap kepongahan yang disifatkan bagai “cacing naik ke mata”. Dan lebih drastik lagi Tun Dr. Mahathir menyedarkan warga bangsa supaya menggunakan kebijaksanaan memilih kerajaan di musim pilihan raya akan datang.

Menyentuh pita Video V.K Linggam pula, Tun Dr.Mahathir bagaikan memberi isyarat bahawa beliau bersedia bekerjasama untuk membongkar ke akar umbi persoalan campur tangan eksekutif dalam badan perundangan yang tentunya bakal menjelmakan seribu satu kisah di mana hanya beliau sahaja lebih mengetahui rentetan sejarahnya kerana percaturan tersebut berlaku di era kepimpinannya. Walau apapun yang pasti tentu bakal ada dua tiga orang menteri, bekas menteri dan ahli perniagaan terjerat.

Beberapa kiriman sms yang diterima menyatakkan rasa kagum mereka dengan sikap Tun Dr. Mahathir kerana berani memperbetulkan kembali kesilapan masa silamnya. Namun begitu, kiriman tersebut turut meramalkan ia tidak akan berakhir begitu sahaja sebaliknya Tun Dr. Mahathir dilihat bagai mahu membuat perhitungan secara “anak jantan”.

Dalam erti kata lain beliau mahu kembali memperbetulkan kesilapan serta kerosakan sistem  pentadbiran negara menyangkut soal kehakiman, perundangan serta jabatan penguatkuasa undang-undang seperti suruhanjaya pilihan raya, pasukan polis dan badan pencegah rasuah..

Tidak dinafikan sejak menyerahkan tampuk kuasa kepada Abdullah Ahmad Badawi pelbagai kebobrokan dalam kepimpinan negara terjelma. Bukan sekadar perampokan harta rakyat dilihat begitu berleluasa dilakukan oleh kalangan orang keliling, malahan aroma demokrasi juga menjadi kuda tunggangan pemimpin melampiaskan nafsunya memenjara minda rakyat untuk membenarkan mereka menghimpun harta berjuta.

Kesan memperolehi kemenangan besar musim pilihan raya lalu Abdullah Ahmad Badawi bagai hilang pertimbangan mencanai kepentingan bangsa, sebaliknya setiap minggu terjelma percaturan politik cukup sempang-peranang. Wang rakyat dibazirkan, harga barang gagal dikawal untuk terus mencanak dan lebih malang lagi bila korupsi sudah menjadi sebahagian daripada kemestian di kalangan orang kelilingnya.

Rakyat dinafikan hak bersuara apabila media arus perdana bagai menutup mata dan telinganya untuk dilihat tidak lagi bebas menjadi penyambung lidah rakyat. Begitu juga persoalan kebebasan bergerak atau mengadakan perhimpunan turut terpasung oleh cengkaman ala kuku besi era  Abdullah Ahmad Badawi.

Dengan berselindung di sebalik sentimen perkauman, pelbagai alasan dijelmakan oleh pemimpin untuk tidak membenarkan rakyat bersuara meskipun terkadang  muncul beberapa isu yang menyanggah perlembagaan negara.

Pendedahan Raja Petra Kamarudin menerusi ruangan “Corridors of power” dua hari lalu adalah bukti nyata  bagaimana percaturan ngeri beberapa individu berkuasa yang bersekongkol dengan penjenayah serta melindungi mereka untuk terus melebarkan penguasaan “gerakan bawah tanah.”

Surat dari Peguam Negara Tan Sri Gani Patail meminta agar Timbalan Menteri Dalam Negeri membebaskan “Tengku Goh” dari tahanan buang daerah hanya kerana “kurang bukti kukuh” seharusnya dilihat oleh seluruh rakyat cinta damai bagai adanya percaturan tertentu. (Sila lihat surat akuan bersumpah Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam tulisan terbaru Raja Petra)

Di sebalik “kelam kabut” Peguam Negara turun naik mahkamah sesyen mendakwa demonstran Hindraf dan Suwandi bersama Azman di Batu Buruk agar mereka tidak boleh diikat jamin atas tuduhan cuba membunuh, tiba-tiba terjelma surat darinya kepada Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri meminta agar “Tengku Goh” dibebaskan dari tahanan.

Dalam waktu yang sama kes berprofil tinggi melibatkan jenayah antarabangsa mendiang Altantuya Sharibu tidak pula diendahkan oleh Gani Patail untuk turun padang mendakwa dua anggota polis dan Razak Baginda, sebaliknya dia lebih berminat menjadi pendakwa kes demonstran. Malahan cara kes tersebut dibicarakan sejak awal-awal lagi menimbulkan pelbagai keraguan di hati rakyat.

Hakim untuk kes tersebut silih berganti, pegawai pendakwa juga turut bertukar-tukar dan berpindah-randah, malahan dari beberapa siri perbicaraan, saksi kepada pendakwa dilihat memuji orang yang dituduh. Semua ini tidak pernah terjadi dalam sejarah perundangan negara.

Lebih mengaibkan apabila sehari selepas Abdullah Ahmad Badawi membuat pengumuman akan meminta Peguam Negara mempertimbangkan semula kes 31 demonstran Hindraf atas tuduhan cuba membunuh, secara tiba-tiba beliau menarik balik pertuduhan tersebut untuk segera membebaskan mereka sementara dua anak muda (Suwandi dan Azman) yang cedera kesan tembakan peluru hidup masih terus terpasung kerana tidak dibenarkan ikat jamin.

Situasi sebegini pastinya  menggambarkan celaru dan “bercempera” institusi perundangan negara yang seharusnya bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan pihak-pihak tertentu. Kesannya, rakyat merasakan hanya kerana memenuhi rayuan ibu bapa dan Samy Vellu maka orang yang dituduh cuba membunuh boleh digugurkan pertuduhan, berbanding dengan Suwandi dan Azman terus berhari raya dalam keadaan terpasung.

Tindakan Tun Dr. Mahathir memulakan kembali siri “menyanggah” kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi seharusnya dilihat bukan kerana merasa bersalah melantik pemimpin tidak berwibawa menggantikannya, tetapi beliau diyakini adanya unsur-unsur merbahaya kepada negara jika tidak segera dinoktahkan imam besar mahzab Islam Hadhari dari menerajui kerajaan.

Persoalan lembik atau dangkal Abdullah Ahmad Badawi sebagai pemimpin masih boleh diperbetulkan begitu juga jika isu pengkayaan kroni, tentunya ada ruang untuk dihentikan. Tetapi apabila percaturan politik global menerusi sektor  ekonomi dilihat bagai membuka pintu pertahanan negara dan apabila adanya tindakan khianat yang bakal menjadikan negara kembali terjajah kepada kuasa asing maka ia seharusnya segera disanggah dan dicegah.

Abdullah pernah melakukan kesilapan paling mengaibkan apabila tanpa usul periksa mengarahkan sidang wazirnya Azmi Khalid memohon maaf dari kerajaan China berhubung isu ketuk ketampi yang didakwa melibatkan rakyat negara tersebut sedangkan setelah disiasat ternyata mangsa tersebut adalah seorang wanita Melayu. Sungguh memalukan.

Dalam waktu yang sama beliau masih terhimpit berhubung isu pengkayaan nuklear. Penahanan BS Tahir kerana dipercayai terlibat membekalkan alat “centrifuge” yang diharamkan oleh kerajaan Amerika menjadikan Abdullah Ahmad Badawi berada dalam keadaan serba salah serta boleh dijadikan boneka disebabkan ia turut melibatkan anak lelakinya Kamaluddin.

Begitu juga skandal “oil for food” yang mendedahkan tercatatnya nama Abdullah Ahmad Badawi  dalam laporan badan siasatan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai penerima sejumlah dua Juta tong minyak dari Iraq era Sadam Husein menjadikan nama negara begitu tercemar.

Lebih meresahkan rakyat apabila tersebar berita perlantikan syarikat Black Water sebagai pengendali hal ehwal keselamatan di Pembangunan Wilayah Iskandar. Dunia cukup kenal syarikat tersebut yang dipercayai sebagai agen Yahudi beroperasi di Iraq setelah regim Sadam Husien ditumbangkan oleh Amerika.

Gambaran ngeri berhubung pembangunan Wilayah Iskandar di Johor bakal terhakisnya kedaulatan negara untuk diserahkan kepada Singapura sebagai tapak awal melebarkan jaringan penguasaan di bumi merdeka ini menjadikan toleransi tidak bererti lagi. Malahan dengan kepimpinan yang bersalut budaya korupsi, rakus mengaut kekayaan untuk kroni dan orang keliling menggadai maruah bangsa dan negara menjadikan Tun Dr. Mahathir berani menyingsing lengan menyanggah Abdullah Ahmad Badawi untuk segera dinokhtahkan penguasaannya.



Comments
Loading...