PM: Kerajaan tumpu kurangkan perbelanjaan rakyat


BALING:  Kerajaan menggunakan strategi meringankan tanggungan perbelanjaan rakyat sebagai pendekatan untuk mempertingkatkan kemampuan sara hidup rakyat, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata menerusi strategi itu, kerajaan melaksanakan dua pendekatan iaitu menjana pembangunan modal insan dan mempertingkatkan pendapatan golongan petani menerusi nilai tambah industri asas tani.

Beliau berkata strategi pembangunan modal insan dimulakan dengan bantuan pendidikan termasuklah pendidikan percuma dan bantuan buku teks untuk semua golongan.

"Kita ringankan tanggungan rakyat dan ini adalah cara yang lebih baik daripada kita memberi wang untuk jangka panjang," kata beliau pada majlis Korban Bersama Perdana Menteri anjuran kerajaan negeri Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata langkah pembangunan modal insan diteruskan dengan pendidikan kemahiran untuk melahirkan generasi yang profesional dan mahir dalam pelbagai bidang untuk memajukan negara ini.

Abdullah berkata negara tidak boleh mengharapkan tenaga pakar asing untuk menjalankan kerja-kerja kemahiran buat selamalamanya dan persiapan untuk melahirkan tenaga mahir sedang dimulakan.

Katanya langkah meningkatkan pendapatan petani pula ialah menerusi projek nilai tambah industri asas tani yang dilaksanakan di bawah program Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER).

Perdana Menteri berkata tumpuan kerajaan sekarang ialah untuk membasmi kemiskinan selain membawa pembangunan seimbang bagi kawasan luar bandar.

Katanya, beliau sendiri akan memantau kejayaan program membasmi kemiskinan menerusi projek NCER.

"Kita mahu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan disebabkan itulah kita mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba timbulkan kekacauan," katanya.

Abdullah berkata daerah Baling sebagai contoh, adalah sebuah daerah yang miskin kerana kerja-kerja pembangunan tidak dapat dilaksanakan ekoran gangguan keselamatan.

Katanya selepas kerajaan berjaya mengatasi masalah keselamatan itu, Baling kini berubah wajah dan pembangunan untuk kemudahan rakyat seperti bangunan baru sekolah telahpun siap dibina.

"Kita tidak lagi mahu mendengar di Baling atau di mana-mana tempat yang dikatakan termiskin dan mempunyai penduduk miskin yang paling banyak dan saya sendiri mahu melihat kejayaan NCER ini," kata beliau.

Beliau berkata semua wakil rakyat harus memainkan peranan membantu rakyat dengan memastikan kemajuan di kawasan masing-masing.

Pada majlis itu, Abdullah menyampaikan daging korban dan 49 geran tanah kepada penduduk di daerah berkenaan. BERNAMA



Comments
Loading...