Wakil rakyat MIC lesu


22-12-2007 07:24:28 PM

KUALA LUMPUR:  MIC akan memperkenalkan beberapa muka baru untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-12, kata Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu.

Beliau berkata sebilangan wakil rakyat MIC sudah mencapai "tahap lesu".

"Melihat kepada keadaan ini, saya akan melakukan banyak perubahan. Ini pasti akan berlaku," kata Samy Vellui.

Samy Vellu berbicara mengenai pelbagai isu sejak pembabitannya dalam dunia politik dan cabaran yang dihadapi MIC serta masyarakat India di negara ini.

Presiden MIC itu berkata: "Biasanya, saya memperkenalkan beberapa muka baru dan saya akan menugaskan mereka dengan tugas-tugas khusus.

"Memandangkan saya bekerja dalam tempoh yang panjang, saya tidak boleh memantau mereka pada setiap masa. Ia akan menjejaskan kerja saya."

Samy Vellu berkata beliau akan memberitahu tentang tugas dan tanggungjawab mereka semasa mesyuarat bulanan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu.

"Sebilangan mereka memahami dengan jelas tugas mereka dan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sewajarnya (tetapi) beberapa orang sudah mencapai tahap lesu," katanya.

Samy Vellu berkata beliau menceburi bidang politik pada 1957 "dengan pandangan untuk mengubah keadaan hidup masyarakat India".

"Perkara itu merupakan sebab utama saya menceburi dunia politik. Ia terus terpahat di fikiran saya. Saya terus memikirkan cara dan kaedah untuk mewujudkan keadaan yang lebih baik bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat (India).

"Apabila saya menjadi Presiden MIC pada 1979, saya menyedari bahawa hanya dengan mengubah kaum ini sebagai satu kaum yang berpendidikan, kita akan boleh bersaing dan berada seiring dengan mereka yang lain," katanya.

Samy Vellu berkata dalam tempoh 29 tahun beliau berkhidmat sebagai Menteri, "saya fikir tidak ada satu hari pun saya tidak berjuang demi kebaikan masyarakat."

"Saya telah bercakap tentang semua perkara. Saya boleh memberitahu satu perkara kepada mereka yang bertanya tentang apa yang telah saya lakukan. Saya tidak boleh mendedahkan tentang apa yang perkatakan, apa yang telah saya perjuangkan dalam Kabinet.

"Kami telah mengangkat sumpah menyimpan rahsia dan kami tidak mendedahkan apa-apa tentang perkara yang diputuskan dalam Kabinet kerana dokumen kerajaan berkenaan diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi," katanya.

Sambil menegaskan bahawa beliau berasal dari keturunan yang sentiasa membangkitkan masalah dengan jelas tanpa rasa takut, Samy Vellu berseloroh: "Saya tidak pernah berasa takut dalam apa jua keadaan."

Menjawab satu soalan, Presiden MIC itu berkata tidak semua permintaan yang dipohon MIC itu diketepikan kerajaan.

"Dalam tempoh 29 tahun, kami telah memohon 20 perkara, kita mendapat 10. Jadi, kita sering mendapat faedah. Kita tidak boleh kata kita tidak mendapat apa-apa. Saya mempunyai rekod tentang apa yang kita peroleh. Saya tahu kerajaan telah menyalurkan bantuan," katanya. BERNAMA



Comments
Loading...