Apa sudah jadi, bila Peguam Negara ‘turun padang’
Subky Abdul Latif
Harakahdaily
AMAT jarang Peguam Negara Tan Sri Gani Patail turun ke mahkamah. Dan apabila Peguam Negara turun, itu tandanya kes itu ada istimewanya.
Dalam kes apa yang dikatakan perhimpunan haram – tunjuk perasaan Bersih pada 10 November dan tunjuk perasaan Hindraf pada 25 November – Peguam Negara sendiri turun bagi mengemukakan dakwaan terhadap orang-orang yang ditahan atas beberapa pertuduhan.
Ia menggambarkan kerajaan – Perdana Menteri, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara – bersungguh-sungguh membendung tunjuk perasaan yang diharuskan oleh PBB dan Islam itu.
Antara dakwaan itu adalah terhadap 25 aktivis Hindraf yang katakan cuba membunuh polis semasa tunjuk perasaannya.
Beberapa hari kemudian, pada hari untuk bentuk pertuduhan ke atas mereka, sekali lagi Peguam Negara turun ke mahkamah dan dalam keadaan yang amat mengejutkan, beliau menarik balik dakwaan ke atas mereka. Tinggallah bebeapa orang dari mereka masih terikat dengan sangkutan yang dikatakan perhimpunan haram itu.
Presiden MIC, Dato' Seri S Samy Vellu memuji Peguam Negara atas sikapnya membebaskan mereka dari tuduhan asal iaitu cuba membunuh polis.
Dengan dua kejadian seperti berpusing 360 darjah itu, maka semuanya berasa takjub dan ajaib dengan Peguam Negara.
Mula-mula dia dilihat terlalu keras bak tegang bertanding. Seminggu kemudian dilihat bak kendur menjela-jela pula.
Apa sudah jadi? Semuanya melihat wajah ke tiga-tiga watak utama itu ialah Perdana Menteri, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara.
Sikap Peguam Negara pada kali kedua turun padang itu boleh dikira melapangkan hati banyak pihak. Sikap hari itu seperti berlapang dada dan ada keterbukaannya.
Tetapi ia boleh menyebabkan orang tidak faham dengan pendirian Peguam Negara yang mulanya dilihat tegang berdenting dan kemudian berubah menjadi kendur menjela-jela.
Kedua-dua tindakan yang amat bertentangan itu, tidak boleh menjadikan kedua-dua sikap itu betul. Salah satu dari sikap itu seolah-olah tetap tidak betul. Kalau sikap menarik balik dakwaan itu betul, maka jelaslah sikap mendakwa mereka pada mulanya adalah tidak betul.
Biasalah bagi kebanyakan orang menghadapi sesuatu yang mencabar bersikap panas, garang, marah, gopoh, tak sabar dan sebagainya. Pada masa seperti itu cakap pun tak tersusun, ikut sedap lidah. Bagi setengah bapa menghadapi anak yang degil dan berkerenah, kadang-kadang seperti hendak dicegiknya anaknya itu.
Tetapi setelah beberapa ketika, rasa panas pun reda, marah pun hilang, setelah mandi dan lepas itu sembahyang, mulalah terasa tenang dan datang rasa sabar, memikir semula apa yang terjadi, betulkah sikapnya tadi? Macam-macamlah fikiran yang datang. Maka orang itu mengkaji semula akan reaski spontan dulu.
Maka manusia itu diberi ruang oleh penciptanya mengkaji apa yang telah dilakukannya. Dalam keadaan seperti inilah manusia mengubah fikiran, menyesali apa yang dilakukan dan membuat pembetulan.
Seperti Nabi Daud a.s. menghukum penternak yang hambing-kambingnya membinasakan tanaman petani menyerahkan semua kambingnya kepada petana sebagai gani rugi. Nabi Sulaiman a.s. menegur keputusan itu. Yang tepat ialah penternak menyerahkan semua ternakannya kepada petani dan tanah petani diserahkan kepada penternak untuk dipulihkan. Apabila semua tanaman dipulihkan, penternak menyerahkan semula tanah itu kepada petani dan semua ternakan dipulang balik kepada penternak. Nabi Daud a.s. menerima teguran itu.
Sikap kedua Peguam Negara itu bolehlah dilihat dibuat setelah beliau ada penangan kedua dalam kes yang ditanganinya. Maka bolehlah difahami perubahan itu.
Tetapi bagi masyarakat dan pemerintahan mahukan kecekapan, kepantasan, ketepatan, Peguam Negara dilihat tidak berdaya tepat dengan tuntutan itu. Seperti tiada kecekapan, tiada ketepatan dan kecekapan yang tidak cekap. Boleh dikatakan belilau tidak tahu apa yang dibuatnya dulu.
Setengah dari yang terlibat itu telah ditahan dan didakwa. Mereka sudah menghadapi kepayahan. Yang hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, hilang pencarian untuk beberapa hari. Semua yang terlibat sudah tergendala pekerajaan beberapa hari.
Kerajaan yang cekap tidak mahu pegawai yang tidak cekap kerana ia boleh mengganggu pihak lain menanggung kesusahan atas tindakan yang tidak betul. Kalau tindakan kedua Peguam Negara itu betul, maka tindakan pertamanya sudah menyusahkan orang.
Dengan dua pendirian yang berbeza itu, maka orang dapat menilai mewibaaan Peguam Negara. Orang boleh menyangkanya berpendidian tidak tetap dan ada kelahan. Kalau kelemahan itu dilakukan oleh orang bawahan, tetapi orang atas bertanggungjawab. Dan bila orang atas sekali dilihat goyang, maka institusi dan jabatan peguam negara itu akan goncang.
Samy Vellu puas hati kerana menarik balik dakwaan itu tidak terus menyusahkan keluarga mereka. Mahkamah dan keadilan biasanya tidak menjadikan kepayahan keluarga yang didakwa bagi menentukan keputusan. Kerajaan tidak pernah menimbang kesengsaraan keluarga mangsa ISA.
Suara Samy Vellu itu tentu tidak mempengaruhi Peguam Negara membuat keputusan barunya.
Negara sesungguhnya berkehendakkan Peguam Negara dan Ketua Polis Negara yang tegas, bertindak kerana kerjaya profesionalnya, bukan membuat keputusan atas pengaruh yang tidak profesional.