Belia India ikrar tentang perhimpunan haram


Lebih 200 pemimpin belia India di negeri ini berikrar membantah sekeras-kerasnya tindakan pihak yang sengaja mencetuskan huru-hara dengan menganjurkan perhimpunan haram sejak kebelakangan ini.

Bacaan ikrar itu diketuai oleh Pengerusi Kelab Belia Bell Tamil (KBBT) Melaka yang juga Bendahari Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), P. Shanmugam pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MGBM Ke-27 di sini hari ini.

Perasmian majlis itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk R. Raghavan yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Turut hadir pada program itu ialah Presiden MGBM Melaka, Datuk Idris Haron, Ahli Parlimen Kota Melaka yang juga Naib Presiden MGBM, Wong Nai Chee dan Pengerusi MGBM Alor Gajah, Datuk Abd. Haziz Abd. Ghani.

Sementara itu, Idris ketika ditemui berkata, bacaan ikrar oleh kumpulan pemimpin India berkenaan menunjukkan bukti golongan belia di negeri ini menolak semua kegiatan yang mengancam keselamatan negara.

“Semangat ini perlu ditonjolkan kerana ia membuktikan bahawa belia di Melaka tidak mempunyai sebarang masalah dalam setiap urusan di negara ini,” katanya.

Ujar beliau, persefahaman antara kaum di negeri ini perlu diteruskan supaya dapat mempertahankan kemerdekaan negara dari dijajah semula di dalam bentuk baru.

“Berdasarkan kepada sejarah tanah air, kemerdekaan negara dicapai hasil daripada persefahaman antara tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India

“Oleh itu, persefahaman antara kaum yang boleh mewujudkan perpaduan perlu dikekalkan dalam bentuk apa sekalipun supaya kemerdekaan negara dipertahankan,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan masyarakat yang berbilang kaum mengambil pendekatan musyawarah di dalam menyelesaikan sebarang masalah.

“Ini supaya segala masalah dapat diselesaikan secara aman dan tidak menimbulkan perasaan buruk sangka antara kaum serta menjejaskan perpaduan yang selama ini dipertahankan oleh kerajaan negeri,” jelas Idris.



Comments
Loading...