Kes Batu Burok: Malaysia amal hukum rimba – Anwar
(Harakah) – Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Malaysia mengamalkan Undang-undang 'Rimba' ketika mengendalikan kes polis melepaskan peluru hidup pada kejadian 8 September lalu.
Ini kerana, katanya pihak yang bertanggungjawab melepaskan tembakan serta hampir meragut dua nyawa orang awam itu tidak didakwa oleh mahkamah.
Sebaliknya, kata Dato' Seri Anwar dua orang awam yang ditembak itu didakwa serta di penjarakan tanpa ikat jamin.
"Apa ni..ini hukum 'rimba' mana yang dipakai. Orang yang kena tembak di penjarakan dan yang melepaskan tembakan pula dilepaskan," ujarnya ketika berucap pada Ceramah Perdana Sempena Aidil Adha di Perkarangan Masjid Lama Sura, baru-baru ini.
Katanya, rakyat perlu membuat perubahan yang menyeluruh bagi menukar kepimpinan negara yang semakin lemah dan bercelaru ini.
Suwandi dan Azman kini ditahan di Penjara Terbuka Marang setelah Hakim Mahkamah Sesyen, Hassan Abdul Ghani pada 9 Disember lalu tidak membenarkan mereka diikat jamin.
Mereka menghadapi empat tuduhan, antaranya didakwa menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang, seorang atau lebih daripada anggota perhimpunan telah dengan sengaja cuba menyebabkan cedera parah kepada Wan Aziz Wan Omar (RF143706), seorang penjawat awam.
Kesalahan itu di bawah seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 333 dan seksyen 511 kanun yang sama di mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara untuk tempoh lima tahun atau denda.
Semua tuduhan itu membabitkan mereka bersama-sama 18 orang yang lain pada 8 September lalu, lebih kurang jam 11.40 malam di tempat letak kereta Hotel Permai Inn, Jalan Sultan Mahmud kerana menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.
Perbicaraan kes tersebut akan diadakan pada 30 dan 31 Disember 2007 ini dan pendakwaannya diketuai sendiri oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.