PAS tetap lawan penyelewengan Umno walau lepas pilihan raya


(Harakah) – Umno diingatkan bahawa PAS akan tetap melawan penyelewengan dan penipuan dalam pilihan raya umum yang bakal diadakan walaupun selepas pilihan raya kelak.

Menurut Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, bahawa PAS akan menyertai pilihan raya umum kali ini dan melawan penyelewengan atau penipuan Umno secara bersungguh-sungguh.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada hampir 1,000 petugas pilihan raya PAS Melaka pada program 'Gegau Melaka' di Telok Mas, di sini, baru-baru ini yang dianjurkan oleh Jabatan Pilihan Raya Negeri Melaka.

"Kita masuk PRU lawan penyelewengan, kita akan lawan penipuan, Umno siap kita akan lawan sampai lepas pilihan raya.

"Dalam keadaan ini kita tegas menjulang demokrasi dan dalam masa sama kita mengajak rakyat bersama menentang penipuan seperti Himpunan Bersih baru-baru ini PAS telah berjaya mengumpulkan rakyat ratusan ribu ini menakutkan Barisan Nasional," kata beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa PAS akan pertahankan Kelantan, mengambil kembali Terengganu, tawan Perlis, tawan Kedah dan kalau boleh mahu menawan Melaka kerana di seluruh dunia hari ini sudah berani buat perubahan.

Di samping itu, beliau mengajak semua kaum bergerak bersama-sama menentang kezaliman melalui demokrasi dan PAS bersedia memimpin perubahan ini serta mengajak semua kaum dalam negara untuk melakukan perubahan.

"Kita minta rakan-rakan dalam polis atau dalam tentera, dalam Islam taat ada batasnya dan jangan melampaui batasnya, semua kena zalim kita kena bersatu membuat perubahan dan Islam meletakkan perjuangan menentang kezaliman ialah jihad fisabilillah," ujar beliau.



Comments
Loading...