Pemuda UMNO mahu Gerakan hukum Paranjothy
Oleh CYNTHIA YEOH dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
Utusan Malaysia
Para pemimpin Pemuda UMNO mendesak Pemangku Presiden Parti Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mengambil tindakan paling tegas terhadap Naib Ketua Pemuda Gerakan, S. Paranjothy yang mendakwa UMNO adalah salah satu punca mengapa kaum India terpinggir di negara ini.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Razali Ibrahim berkata, dakwaan seumpama itu tidak berasas sama sekali dan jelas tidak menghormati prinsip perjuangan Barisan Nasional (BN).
Katanya, Paranjothy patut berfikir panjang sewaktu mengeluarkan dakwaan seperti itu kerana ia boleh meretakkan perhubungan UMNO-Gerakan.
‘‘Perkara ini tidak boleh dimaafkan kerana ia tidak menunjukkan semangat setia kawan BN,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam laporan muka hadapan Mingguan Malaysia hari ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan sekiranya penjelasan tersebut gagal diberi atau tidak memuaskan, tidak mustahil hubungan Pemuda UMNO serta BN dengan Gerakan akan terputus.
Menurut Razali, setiap parti komponen BN mempunyai peranan dan kelebihan masing-masing.
‘‘Mereka (Gerakan) tidak seharusnya menggunakan kelebihan itu dengan membangkitkan perkara yang tidak kena-mengena dan tidak berasas.
‘‘Semua perkara boleh dibawa berbincang terlebih dahulu tetapi kami tidak ada masa untuk layan kerenah seperti ini terutama daripada pemimpin BN yang berjawatan tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, Pemuda UMNO Perak turut menyokong penuh ketegasan Hishammuddin yang meminta penjelasan daripada Tsu Koon berhubung kenyataan Paranjothy.
Ketuanya, Zainol Padzi Paharuddin berkata, kenyataan tersebut tidak sepatutnya lahir daripada ahli parti komponen BN kerana ia boleh menjejaskan gagasan yang dibina sejak 50 tahun lalu.
‘‘Gerakan wajar ambil tindakan paling maksimum termasuk membuang keahlian kerana kenyataan Paranjothy memberi impak kepada BN.
‘‘Kenyataan itu berbau sentimen perkauman dan akan mengguris hati orang Melayu khususnya ahli-ahli UMNO,” ujarnya.
Zainol menambah, penjelasan tersebut amat perlu agar setiap pemimpin parti komponen BN menggerakkan usaha kolektif membendung kenyataan ahli-ahli parti yang boleh menjejaskan perpaduan dalam BN.
‘‘Kita tidak mahu kenyataan seumpama itu menaikkan kemarahan orang Melayu dan mengubah cara mereka berfikir.
‘‘Semua Ketua Pemuda UMNO peringkat bahagian di seluruh Perak mengucapkan syabas atas keberanian Hishammuddin meminta penjelasan daripada parti Gerakan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Dr. Wee Ka Siong berkata, tuduhan yang dilemparkan oleh Paranjothy perlu disokong dengan fakta-fakta yang berasas.
‘‘Walaupun kita menghormati hak bersuara daripada parti komponen BN lain tetapi mereka yang mengeluarkan sebarang kenyataan perlu bertanggungjawab penuh ke atasnya.
‘‘Perbalahan yang timbul ini merupakan perkara yang amat malang kerana ia boleh dibincang dan diselesaikan secara dalaman,” katanya.
Katanya, hubungan yang regang antara dua parti BN itu tidak membawa kebaikan tetapi sebaliknya memudaratkan tali persaudaraan.
‘‘Kita perlu berhati-hati dan tidak boleh membenarkan pihak pembangkang mencari kesempatan pada saat-saat persiapan menghadapi pilihan raya,” ujarnya.