Ma Tzu membisu tetapi Masjid berbicara?


 Hari-hari Terakhir Seorang Ketua Menteri – Bahagian 3

Oleh ‘Deep Throat’ Sabah

Sejak setahun yang lalu, Patung Dewi Laut Ma Tzu masih terpenjara sebelum dibicara di dalam kontena oleh  Kerajaan Islam Hadhari dan hanya membisu seribu bahasa, namun sebaliknya Masjid pula yang berbicara.

Walaupun Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah telah mengeluarkan surat arahan kepada Lembaga Bandaran Kudat bil. JKM (S) 100-41/60 bertarikh 23 Jun 2006 yang intipati kandungannya berbunyi;

“Sila maklum, setelah mengambilkira semua perkara, dengan ini kerajaan telah membuat ketetapan bahawa kerja pembinaan patung berkenaan hendaklah dihentikan SERTA MERTA”.

Arahan berkenaan dikeluarkan atas desakan dan arahan lisan Ketua Menteri Sabah dengan mencipta alasan yang direka-reka kononnya umat Islam Kudat membantah pembinaan patung berkenaan kerana didakwa berdekatan dengan Masjid Asy-Syakirin.

Untuk mengukuhkan lagi sokongan, Musa telah mengarahkan Mufti Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Haji Ahmad Alawi Haji Adnan, mengeluarkan fatwa tanpa melalui sebarang musyawarah Majlis Fatwa.

 Active Image

SOKONG… Sokongan Jawatankuasa Masjid Asy-Syakirin kepada Chong Kah Kiat yang memeningkan kepala Musa sehingga menarik Lembaga Bandaran Kudat ke Mahkamah. Mufti (berserban) semakin bingung ketika Musa mula merasakan dirinya seakan Firaun.

Melalui surat PMNS (S) 600-1/2/Jld. 3 (02) bertarikh 7 Julai 2006 yang diterima oleh Ketua Menteri Sabah pada 24 Julai 2006, Mufti Negeri Sabah menyatakan Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah telah bersidang pada 27 dan 28 Jun 2007 dan memutuskan;

 “Membina patung atau replika yang menyerupai makhluk bernyawa seperti manusia dan haiwan di sekitar jalan raya dan seumpamanya adalah haram di sisi syarak (Islam) untuk mencegah daripada melakukan sebarang perbuatan syirik kepada Allah serta menutup rapat ruang penyembahan berhala.”

Sehubungan itu, melalui surat berkenaan Mufti telah mengarahkan pembinaan Patung Buddha berhampiran tapak masjid Asy-Syakirin, Kudat, hendaklah dihentikan demi menjaga dan memelihara sensitiviti umat Islam dan syiar Islam di negeri Sabah khususnya dan Malaysia amnya.

Walaupun didesak Musa Aman, namun Mufti tidak sepatutnya memperdagang kesucian agama Islam semata-mata sebagai prasyarat kontraknya yang hampir tamat sebagai Mufti Negeri Sabah disambung.

Fatwa berkenaan tidak menjadi masalah jika dikeluarkan kepada umat Islam, namun Mufti Sabah bertindak sebagai Mubaligh dengan mengeluarkan fatwa kepada penganut agama lain dan tidak menghairankan jika ramai pihak mendesak Mufti Negeri Sabah meletakkan jawatan.

Persoalannya, benarkah umat Islam Kudat membantah pembinaan Dewi Laut Ma Tzu berkenaan?

Mungkin tidak? Buktinya Jawatankuasa Masjid Asy-Syakirin, Kudat telah menyatakan sokongan terbuka melalui surat bertarikh 5 Ogos 2006 iaitu selepas KY Mustafa mengeluarkan surat arahan dan Mufti Sabah mengeluarkan fatwa.

Dalam surat berkenaan, jawatankuasa masjid tidak membantah pembinaan projek berkenaan kerana menghormati kebebasan beragama dan mengharapkan projek berkenaan memberikan pulangan daripada sektor pelancongan untuk memantapkan ekonomi Kudat.

Surat berkenaan ditandatangani oleh Mohd Najib Bin Muntok (Pengerusi), Haji Asan Mijiarto (Setiausaha) dan semua Ahli Jawatankuasa iaitu Haji Mohd Onon Adin, Jasni Eser, Abdan Abdul Majid, Dr Suhaili Lusin, Mohd Johar Sallehon dan Haji Abdul Kadir Haji Ahmadul.

Manakala Imam Daerah, Haji Mujun Ali yang telah bersara pada tahun lalu pernah meluahkan suara hatinya, “jika kita menghina Tuhan orang lain, maka kita menzalimi Allah kerana tindakan kita akan membuat penganut agama lain akan mencerca Allah. Nauzubillah himin zalik!”

Sokongan terbuka juga diterima daripada semua pegawai Mahkamah Anak Negeri Kudat yang beragama Islam iaitu O.K.K. Haji Abdul Kadir Datuk Haji Ghani (Ketua Daerah), Haji Gano Bonggoh (Ketua Anak Negeri), Rozan @ Ominsin Assam (Ketua Anak Negeri), Mahadi Mathairi (Wakil Ketua Anak Negeri), Haji Abdul Rahman Haji Mustapha (Wakil Ketua Anak Negeri), Haji Sulaiman Haji Jalil (Wakil Ketua Anak Negeri) dan Haji Matlani Sairani (Wakil Ketua Anak Negeri).

Majoriti semua Ketua Kampung yang beragama Islam di Kudat seperti Haji Japalaus Banggunah (Kampung Perapat Laut Baru), Haji Rahaban Mursal (Kampung Landung Ayang Darat), Haji Nunong Haji Ibrahim (Kampung Landung Ayang Laut), Haji Salehin Mohd Ali (Kampung Ayer), Haji Kamlan Buara (Kampung Pengaraban), Haji Hussin Arshad (Kampung Tanjong Kapor 1), Haji Panun Molong (Kampung Muhibbah), Ahamd Bukag (Kampung Sumandakan), Hawareh Salleh (Kampung Limau-Limauan), Haji Kahentang Tanduk (Kampung Tanjong Kapor 2), Omar Tinin (Kampung Bambangan), Ibrahim Kassim (Kampung Tampakan), Malik Ompok (Kampung Rampai Selatan) dan Ali Andis (Kampung Pantai Bahagia) menyatakan sokongan terbuka tanpa bimbang mereka akan dipecat.

Manakala Ketua Pemuda Umno Kudat yang berstatus Naib Ketua Umno Bahagian Kudat, Haji Gurahman Haji Lolong turut menyatakan sokongan terbuka dan mendedahkan hanya tiga orang sahaja AJK Umno Bahagian yang tidak menyokong iaitu Mohd Murtaza Haji Amirdad, Haji Harun Zainal Abidin dan Haji Yusof Talib.

Sekalipun Gurahman berpaling tadah setelah menerima ganjaran projek dan janji dipilih sebagai calon BN pada pilihan raya akan datang oleh Musa Aman, telah membidas Chong Kah Kiat di akhbar, namun beliau belum menarik surat sokongan terbuka Pemuda Umno Kudat kepada Ma Tzu.

Jika hanya 3 orang sahaja yang mengaku lebih Islam daripada seluruh umat Islam di Kudat, maka adalah tidak wajar Musa Aman melalui Kerajaan Negeri Sabah menekan Chong Kah Kiat dengan mengharamkan pembinaan Patung Dewi Laut Ma Tzu.

Mengikut maklumat terbaru yang diterima daripada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah, Mufti Negeri Sabah telah menarik balik fatwa berhubung Ma Tzu. Setelah didesak Kerajaan Persekutuan bagi mengelak gejala Hindraf merebak ke Sabah.

“Ya, Kerajaan Negeri sudah minta Mufti tarik balik fatwa berkenaan kerana tidak sesuai untuk negeri berbilang kaum dan agama,” ujar Raymond Tan yang bimbang sokongan kaum Tionghua akan merosot jika isu berkenaan tidak diselesaikan dengan sempurna.

Namun, apakah pembatalan fatwa tersebut bermakna isu Ma Tzu telah selesai? Mungkin tidak, kerana pemberhentian pembinaan Patung Ma Tzu dikaitkan pula dengan Lembaga Perancangan Bandar Pusat yang memaklumkan pelan pembangunan patung berkenaan tidak diluluskan mengikut Seksyen 15, Akta Perancang Bandar dan Wilayah.

Setelah Rahman Dahlan, kini muncul pula Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Hajiji Haji Noor yang cuba menegakkan benang yang dibasahi air liur Musa Aman, namun penjelasannya lebih banyak menimbulkan persoalan daripada jawapan.

Tunggu Bahagian Keempat ‘Musa Menarik Unta Ke Lubang Jarum’ akan mengupas proses perundangan yang akan mengheret Musa Aman ke Mahkamah apabila saman pemula Chong Kah Kiat mula didengar.



Comments
Loading...