Menyusahkan Bakal Pengundi Kerana Masalah Teknikal di Pejabat Pos?


Oleh Faisal Mustaffa

Pejabat Pos di beberapa tempat di Lembah Kelang didapati tidak dapat mendaftarkan bakal pemilih yang datang pada saat-saat akhir selepas mendapat maklumat bahawa tarikh akhir pendaftaran Suruhanjaya Pilihanraya ialah sebelum berakhirnya 2007.

Khabar-khabar angin telah merebak mengenai Pilihan Raya Umum akan diadakan pada Mac. Untuk itu, penghujung Disember merupakan tarikh akhir untuk pendaftaran baru.

Dengan keluhan orang ramai yang diterima, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) mohon penjelasan sekiranya SPR ingin menghalang rakyat Malaysia daripada mendaftar sebagai pemilih pilihan raya sebelum berakhirnya 2007.

"Adakah kita akan mengulangi apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum 1999, di mana 680,000 pemilih baru diabaikan hak mereka daripada mengundi apabila SPR gagal mengemaskini senarai pemilihnya pada waktunya?" persoalan yang dikeluarkan oleh pejabat secretariat BESIH hari ini.

"Dalam beberapa minggu ini, kami telah menerima banyak keluhan bahawa komputer-komputer di pejabat-pejabat pos Subang Jaya, Brickfields dan Tesco Puchong mengalami keadaan 'di luar talian' dan kehabisan stok borang pendaftaran pemilih," jelas kenyataan itu lagi.

Bagi BERSIH, perkara ini tidak dapat diterima, apabila mendapati pejabat pos membantu dalam proses pendaftaran, di mana ia digunakan bagi memudahkan rakyat Malaysia untuk mendaftar sebagai pemilih yang sah.

Sekiranya pendaftaran pemilih berada di 'luar talian' secara berterusan, atau/dan pejabat-pejabat pos sudah kehabisan borang untuk dicetak; sama ada SPR mahupun Pejabat Pos perlu bertanggungjawab untuk masalah-masalah teknikal seperti ini.

Pos Malaysia didapati menerima RM1.80 sebagai komisyen daripada SPR bagi setiap pendaftaran pemilih yang diterima.

Menurut SPR, buat masa ini terdapat 4.5 juta rakyat Malaysia melebihi 21 tahun yang masih belum mendaftar sebagai pemilih. Daripada jumlah tersebut, 80% dari bangsa Melayu. 80% daripada jumlah tersebut berada di bawah 30 tahun.

Suruhanjaya Pilhan raya pernah berhasrat untuk mendaftarkan sekurang-kurangnya 1.5 juta tetapi gagal kerana kebanyakan daripada pemilih-pemilih Melayu muda. Tidak mustahil sekiranya dinyatakan di sini bahawa parti memerintah tidak mahu mereka ini didaftarkan. Mereka takut keputusan semasa Pilihan Raya Umum 1999 yang lalu berulang.

Bukan hanya hampir separuh daripada pemilih Melayu menyokong Pembangkang, kebanyakan daripada mereka itu juga pemilih-pemilih dari kalangan orang muda Bandar yang sudah muak dengan sikap kerajaan yang memerintah.

Sekiranya kegagalan-kegagalan 'teknikal' SPR disebabkan alasan-alasan politik, tidak ada sebab untuk mempercayai bahawa Barisan Nasional tidak yakin ia akan memenangi penyokong-penyokong dari masyarakat Melayu, terutamanya Melayu Bandar selepas berjayanya perhimpunan BERSIH di Kuala Lumpur pada 10 November yang lalu.

 



Comments
Loading...