’The Star’ mahu SPR kemuka perbelanjaan Pilihan Raya


Oleh Faisal Mustaffa

Akhbar The Star juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu untuk mengadakan perakaunan bagi perbelanjaan dalam mengendalikan pilihan raya.

Menurut tulisan di ruangan editor, akhbar tersebut menyatakan, "Terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyediakan perbelanjaan semua yang bersangkutan dengan pilihan raya yang lengkap dan bersesuaian, secara terperinci yang mana boleh diperolehi secara online mahupun berdasarkan kepada permintaan."

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, pilihan raya akan datang ini akan melibatkan perbelanjaan sejumlah RM200 juta, di mana RM 1 juta akan digunakan untuk dakwat kekal dan RM 16 juta bagi kotak undi telus pandang.

Walau bagaimanapun, gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dalam kenyataannya bertarikh 26 Disember, bahawa gabungan itu tidak pernah meminta supaya diadakan kotak-kotak telus pandang.

Apa yang lebih penting bagi BERSIH ialah mengenai proses-proses salah dan menipu yang dibangunkan dalam sistem pemilihan, yang menggugat kredibiliti pilihan raya di Malaysia.

"Sudah tiba masanya untuk SPR menjalankan perakaunan bagi perbelanjaan dalam mengendalikan pilihan raya bagi menunjukkan integriti kewangan mereka, sebagai institusi awam yang dipertanggungjawabkan untuk menegakkan demokrasi di Negara ini," jelas kenyataan tersebut.

BERSIH juga menegaskan perlunya SPR untuk melihat kepada aspek perbelanjaan kempen di kalangan parti-parti politik. Buat masa ini, terdapat rekod perbelanjaan oleh calon-calon tetapi tiada penelitian mengenai sumber-sumber pengagihan, bentuk kewangan atau seumpamanya, kepada kempen calon-calon.

Bagi BERSIH, kesaksamaan pentadbiran ialah satu lagi aspek penting untuk pilihan raya bersih dan adil.

Anggota-anggota daripada kerajaan yang sedia ada pula mestilah dilarang daripada menggunakan jentera kerajaan serta mengisytiharkan peruntukan-peruntukan pembangunan yang bersangkutan semasa pilihan raya diadakan.

 



Comments
Loading...