Kembara Anwar gegarkan Utara


(KLPOS.com) – Lebih 30,000 orang dianggarkan menghadiri ceramah yang disampaikan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Batu Sembilan, Alor Star, Kedah Ahad lalu.

Ia merupakan jumlah terbesar yang menghadiri ceramah beliau yang merupakan sebahagian daripada penjelahannya untuk menemu rakyat di peringkat akar umbi.

Di Pulau Pinang, Anwar berceramah di tujuh tempat pada hari Sabtu lalu dan diikuti enam lagi tempat ceramah di Kedah pada hari berikutnya.

Dalam ceramah selama 70 minit di hadapan ribuan hadirin di Batu Sembilan itu – sebahagian besarnya orang Melayu – Anwar berkata tiada gunanya negara merdeka selama 50 tahun sedangkan hampir di seluruh negara terdapat rakyat yang hidup dalam kemiskinan tanpa bekalan air dan elektrik.

Katanya, hanya sejam perjalanan dari Kuala Lumpur, terdapat rakyat di Ijok yang belum mendapat kemudahan bekalan air dan elektrik.

Menurutnya, walaupun rakyat hidup dalam kemiskinan tetapi kerajaan masih meneruskan dan meluluskan projek-projek yang tidak diperlukan seperti satu projek di Pulau Pinang yang akan menelan belanja RM25 bilion.

Anwar berkata, apa gunanya melaksanakan projek-projek yang hebat dan mewujudkan koridor pembangunan, sedangkan masih ramai rakyat berterusan hidup dalam kemiskinan.

Berikutan itu, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, sudah tiba masanya untuk rakyat membuat perubahan di Malaysia.

Sementara itu dalam ceramahnya yang lain – antara Kulim dan Alor Star – Anwar membidas mereka yang menuduhkan beliau sebagai 'sumpah-sumpah' yang berubah-rubah mengikut mereka yang ditemuinya.

Di Lunas pula yang terletak dalam kawasan Parlilmen Padang Serai, ceramah beliau dihadiri oleh kira-kira 5,000 orang, yang sebahagian besarnya dari kalangan masyarakat India.

Anear menegaskan bahawa beliau membangkitkan semua itu bukan semata-mata untuk mendapat undi, tetapi kerana sebagai seorang Melayu dan Islam, beliau malu kerana berlakunya ketidakadilan dan ketidaksaksamaan pendapatan di kalangan rakyat selepas 50 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Di Kuala Ketil di Baling, beliau berucap kepada kira-kira 800 orang yang juga sebahagian besarnya dari kalangan masyarakat India di mana beliau menyentuh tentang kontroversi perobohan sebuah kuil yang berusia 100 tahun di Kampung RImba Jaya di Shah Alam bulan lalu.

Anwar menegaskan bahawa Islam yang sebenarnya meletakkan nilai yang tinggi terhadap keadilan, melakukan kebaikan kepada manusia dan "bukannya bercakap lain dan buat lain".

Selepas bersembahyang di Masjid Bakar Arang, Anwar berceramah pula kepada kira-kira 2,500 hadirin di Sungai Petani, kebanyakannya juga dari kalangan masyarakat India.

 



Comments
Loading...