Peguam mohon tahanan ISA dibenar hadir mahkamah


26-12-2007 03:49:36 PM

KUALA LUMPUR:  Peguam bagi lima tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) memohon budi bicara Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk membenarkan kesemua mereka hadir mendengar permohonan habeas corpus bagi membebaskan mereka daripada perintah tahanan.

Peguam utama Karpal Singh, yang membuat permohonan secara lisan itu, berkata mahkamah boleh menggunakan budi bicaranya bagi mengeluarkan perintah agar kesemua tahanan itu hadir di mahkamah.

"Permohonan habeas corpus ini mempunyai kepentingan umum, dan mereka perlu hadir membela diri," katanya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Abdul Aziz.

Datuk Kamaluddin Mohd Said dari Pejabat Peguam Negara, yang mewakili keduadua responden iaitu Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Penguasa Kem Penahanan Kamunting, berkata beliau perlu merujuk perkara itu kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail kerana beliau baru sahaja diberitahu mengenai permohonan itu.

"Oleh kerana perkara ini melibatkan Peguam Negara, pemohon hendaklah membuat permohonan rasmi kepada pejabatnya dan disokong oleh afidavit tentang kenapa mereka harus hadir di mahkamah," katanya.

Karpal pula berkata beliau akan mengemukakan permohonan secara rasmi hari ini.

Zainal Azman berkata beliau tidak akan membuat sebarang keputusan mengenai permohonan Karpal itu dan menasihatkan peguam itu berurusan dahulu dengan pejabat Peguam Negara.

Beliau menetapkan 24, 25 dan 28 Jan untuk mendengar permohonan writ habeas corpus itu yang melibatkan P. Utayakumar, 46, M. Manoharan, 46, V. Ganabatirau, 34, K. Vasantha Kumar, 34, dan R. Kengadharan, 40, yang ditahan kerana didakwa terlibat menganjur perhimpunan haram pada 25 Nov lepas dan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan. BERNAMA



Comments
Loading...