Mahkamah putuskan pelantikan Dr Badariah sah


Dalam keputusan majoriti 3-2, Mahkamah Persekutuan menetapkan bahawa pelantikan pensyarah undang-undang Dr Badariah Sahamid sebagai pesuruhajaya kehakiman (JC) adalah sah.

Keputusan majoriti tiga itu dibuat oleh Hakimhakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman; Datuk Hashim Yusoff; dan Datuk Azmel Maamor, sementara Ketua Hakim Negara Datuk Abdul Hamid Mohamad dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan menentang.

Kesemua lima penghakiman itu dibaca oleh tiga timbalan pendaftar mahkamah.

Dalam menolak saman oleh Badan Peguam Malaysia yang mencabar pelantikan Dr Badariah sebagai JC, Hakim Hashim berpendapat selaku pensyarah undangundang di Universiti Malaya, Dr Badariah mempunyai pengalaman undangundang luas dan mahkamah tidak punya sebab sahih untuk menyekat beliau daripada dilantik sebagai JC.

Hakim Azmel berkata Dr Badariah seorang yang layak dilantik sebagai JC.

Hakim Nik Hashim berkata Dr Badariah mempunyai kelayakan minimum dalam perkhidmatan kehakiman oleh kerana beliau adalah seorang pensyarah undangundang dan mengajar undangundang kepada pelajar Universiti Malaya.

Hakim Abdul Hamid, dalam keputusan menentang, berkata Dr Badariah dilantik sebagai JC pada 1 Mac 2007, dikehendaki menjadi peguam pengamal selama 10 tahun sebelum boleh dilantik sebagai JC dan ini dipersetujui Hakim Zulkefli.

Dalam saman itu, badan peguam tersebut mahukan pelantikan Dr Badariah diisytiharkan batal dan tidak sah dan tidak mempunyai kesan atas alasan pelantikan itu bertentangan dengan Artikel 122AB dan 123 Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki seseorang itu menjadi peguam pengamal selama 10 tahun sebelum ia boleh dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman. BERNAMA



Comments
Loading...