Mahkamah tolak rayuan Subashini atas alasan perceraian tak sah


Pertikaian bagi membubarkan perkahwinan seorang bekas setiausaha dan suaminya yang memeluk Islam serta bagi mendapatkan hak penjagaan anak mereka terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil, demikian diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di sini Khamis.

Bagaimanapun, dalam keputusan 2-1, mahkamah menolak rayuan wanita itu, R. Subashini, dengan alasan bahawa petisyen bagi perceraiannya tidak sah kerana ia difailkan awal, iaitu dua bulan 18 hari sebelum tempoh tiga bulan, selepas suaminya memeluk Islam.

Datuk Nik Hashim Nik Abdul Rahman yang mengetuai panel tiga orang hakim itu berkata Subashini berhak meneruskan permohonan mendapatkan hak penjagaan itu tetapi dia hendaklah mengemukakan petisyen baru untuk bercerai.

Nik Hashim yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Mohamed dan Datuk Azmel Ma'amor mendapati perintah Mahkamah Syariah membubarkan perkahwinan sivil tidak mempunyai kesan daripada segi undang-undang selain ianya merupakan satu keterangan perceraian mengikut hukum Syarak.

"Perkahwinan bukan menurut Islam antara seorang suami dan isteri masih kekal sehinggalah ia dibubarkan oleh Mahkamah Tinggi berdasarkan petisyen perceraian oleh pasangan yang kekal dengan agamanya mengikut Seksyen 51 (1) Akta Membaharui Undangundang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976," kata Nik Hashim.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan bahawa suami Subashini, T. Saravanan, berhak merujuk kepada Mahkamah Syariah kerana beliau tertakluk kepada undang-undang Islam selepas menjadi seorang Muslim. BERNAMA



Comments
Loading...