Menunggu pengundi India benar-benar menderhaka?
Ahmad Lutfi Othman
Harakah
GENAP setahun lalu ramai menjangkakan 2007 adalah Tahun Pilihan Raya selain Tahun Melawat Malaysia. Sejak awal Januari, ada pembaca mencadangkan kepada Harakah agar dibuat countdown atau pengiraan detik pelancaran pilihan raya ke-12, khususnya bagi menyuntik semangat kerja berdepan "perang besar" itu.
Di sebalik keghairahan untuk menebus kekalahan dalam pilihan raya Mac 2004, ramai juga pihak yang bimbang tentang persiapan pihak oposisi, terutama dari segi semangat petugas dan usaha merakyatkan maklumat ke peringkat akar umbi. Dikhuatiri pelbagai kemelut dan krisis yang melanda kehidupan masyarakat tidak mampu diterjemahkan dalam bentuk undi pada pilihan raya nanti.
Selama ini BN agak licik memanipulasikan keadaan yang pada awalnya dilihat menguntungkan pembangkang tetapi bertukar menyebelahinya di saat-saat akhir sebelum pengundian.
Babak getir
Meskipun tahun 2007 tidak sempat menyaksikan pertembungan sengit BN dengan parti-parti pembangkang dalam pilihan raya yang pastinya bersifat berat sebelah, namun ia menyimpan kenangan banyak sekali babak-babak getir pergolakan politik tanah air, terutama menyangkut konflik dalaman parti-parti komponen BN. Wibawa pengerusinya, Abdullah Ahmad Badawi jelas tercalar apabila percakaran sesama sendiri semakin menjadi-jadi.
Para menteri membawa haluan masing-masing sedang Abdullah lebih kerap terlena dan membiarkan negara terurus dengan sendirinya.
Tarikh pilihan raya yang diramalkan itu sebenarnya tidak lari jauh. Kita hanya membilang hari. Abdullah tidak akan menunggu ilham lebih lama lagi.
Beliau tidak mempunyai banyak pilihan. Mungkin selepas semua jemaah haji pulang ke tanah air akhir Januari 2008, diikuti Tahun Baru Cina awal Februari, dan musim cuti sekolah 8 hingga 16 Mac, maka Abdullah semakin kesempitan waktu disebabkan faktor utamanya, iaitu Anwar Ibrahim akan dapat bertanding jika pilihan raya diadakan selepas April 2008.
Kebimbangan Najib
Sudah pasti timbalan Abdullah, Najib Razak mahu pastikan Anwar sekali lagi terlepas peluang untuk memintasnya. Najib sejak Anwar dibebaskan dari penjara tetap menyimpan syak wasangka yang tinggi, takut-takut ada "permainan halus-sulit" antara PM dan bekas TPM itu!
Tarik tali antara Najib dan menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin juga menjadi bualan hangat sejak lama. Impian Khairy mahu menggantikan bapa mentuanya dalam masa kurang 10 tahun bukan lagi jenaka.
Medan pilihan raya ke-12 ini cukup sesuai bagi Khairy untuk menempatkan orang-orangnya pada posisi strategik dalam kerajaan sebagai persiapan mengisi jawatan penting dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno akan datang. Tanpa kedudukan tinggi dalam kerajaan, lupakan sahaja cita-cita untuk bertanding merebut jawatan parti. Difahamkan ramai muka-muka baru yang rapat dengan Khairy bakal mendapat durian runtuh, selain Naib Ketua Pemuda Umno itu sendiri diberi laluan mudah untuk bertanding Parlimen.
Semasa pimpinan Umno lebih memikirkan siapa bakal gugur daripada menjadi calon pilihan raya, penilaian rakyat terhadap kerajaan Abdullah lebih mudah ditelah. Abdullah bukan lagi Mr Clean atau Mr Nice Guy yang boleh memperbodohkan rakyat dengan puisi, slogan dan janji manisnya.
Perisytiharan perang terbukanya terhadap rasuah empat tahun lalu tidak mampu menyembunyikan hakikat sebenar kebobrokan sistem yang menyaksikan monopoli kroninya mengaut kekayaan negara dengan begitu tamak sekali. (Seharusnya rakyat didedahkan dengan pelbagai janji manis semasa Abdullah mula menjadi Perdana Menteri lebih 4 tahun lalu itu).
Gagasan Islam Hadhari menjadi sendaan terbuka terutama apabila dikaitkan dengan isteri barunya, Jeanne Abdullah dan kaum keluarganya yang lain. Apakah umat Islam sekali lagi terleka dengan penonjolannya sebagai imam solat ataupun bersama-sama mengiringi takbir raya yang disiarkan di kaca tv itu?
Muka Abdullah ditampar
Saya kira Abdullah cukup penat-lelah sepanjang tempoh singkat pemerintahannya walaupun beliau memilih untuk tidak menjawab apa jua tuduhan terhadapnya. Krisis kehakiman, masalah ekonomi, kenaikan harga minyak, peningkatan kes jenayah berat merupakan antara beban yang terpaksa digalasnya dalam masa kecaman Dr Mahathir Mohamad masih menghantuinya.
Kebangkitan fenomena protes jalanan juga menambah hitamkan lagi sisi gelap rejim pemerintahannya terutama apabila beberapa amaran dan ugutan kerasnya seperti tidak diendahkan langsung. Malah ramai mendakwa, pasukan polis sendiri kini berpecah dua, petanda Abdullah perlahan-lahan hilang cengkaman.
Demonstrasi Hindraf menampar tepat ke muka Abdullah, selepas perhimpunan Bersih memalukannya. Mulanya beliau cuba menunjukkan ketegasan, sambil mahu mengheret PAS ke dalam kancah perkauman agar Umno dilihat bagai benteng terakhir Melayu.
Namun, selepas mencongak BN bakal kehilangan sokongan pengundi India, sekelip mata Abdullah bertukar strategi. Lagak keras Peguam Negara yang mahu ikat jamin tidak diberikan kepada penyokong Hindraf cair begitu sahaja. Hipokrasi makin nyata. Motif politik Abdullah jelas mengatasi kehendak undang-undang. Namun sifir politiknya tetap mengelirukan.
Hindraf dapat layanan istimewa
Tiba-tiba saja Hindraf yang dikutuk dan dituduh ada kaitan dengan pengganas antarabangsa mendapat layanan istimewa Abdullah. (Seorang rakan bertanya, jika lima pemimpin Hindraf yang ditahan ISA terus disumbat ke Kamunting, bila masa pula mereka akan disiasat bagi membuktikan kaitan dengan Tamil Elam?)
Tiap hari akhbar mencari sudut terbaik merakamkan gambar Perdana Menteri menyantuni masyarakat India. Delegasi NGO India diberi ruang meluahkan isi hati di hadapan Abdullah dan beliau pastinya memberikan pelbagai jaminan khusus.
Rupanya demonstrasi Hindraf berjaya mencapai hasil gemilang, jauh mengatasi perhimpunan Bersih yang aman itu!
Semasa menonton rancangan berita TV yang menyiarkan penjelasan Dato' Zainal Abidin Osman di Dewan Rakyat, saya agak pelik mendengar tepukan meja ahli-ahli Parlimen BN (majoritinya pasti wakil Umno) apabila Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu memberitahu persidangan: "Pada 2004, pendapatan isi rumah kasar bulanan kaum Bumiputera adalah RM2,711 sebulan, kaum Cina RM4,437, dan kaum India RM3,456. Manakala peratus kadar kemiskinan Bumiputera yang miskin adalah 8.3% dan kaum India cuma 2.9%, sedangkan kaum Cina 0.6%".
Tertanya-tanya juga, apa maksud sorakan wakil rakyat Umno itu? Apakah mereka seronok dengan pencapaian buruk Bumiputera selepas 50 tahun merdeka dan negara ditadbir terus-menerus oleh Umno?
Dengan segala bantuan dan kemudahan yang didakwa diberikan kerajaan kepada Bumiputera tetapi mengapa mereka masih tertinggal jauh di belakang?
Ahli Parlimen sorak diri sendiri
Bukankah ini bukti kegagalan Umno untuk meningkatkan taraf hidup orang Melayu-Bumiputera? Lalu, siapa sebenarnya sasaran sorakan itu, Hindraf atau ahli-ahli Parlimen Umno sendiri?
Jelas Abdullah tidak sanggup menunggu dihukum pengundi India yang selama ini terbukti setia kepada BN. Pengundi Cina misalnya pada 1986 dan 1990, juga pengundi Melayu sendiri pada 1999, pernah 'mengajar' BN. Mungkinkah masyarakat India sudah berpatah arang dengan BN kali ini, meskipun pelbagai kaedah diguna untuk meredakan kemarahan mereka?
Saya kira demi memburu kemenangan besar sekali lagi, Abdullah akan melakukan apa saja, meskipun maruah Melayu-Islam akan terhakis kerananya. Beliau tahu orang Melayu cepat memaafkan (dan seterusnya melupakan) apatah lagi Abdullah "pandai menjaga tutur-katanya", tidak sepertimana Dr Mahathir dahulu.
Ketua Pembangkang di Parlimen, Lim Kit Siang menyenaraikan 26 kawasan Parlimen yang mempunyai pengundi India sekitar 15 peratus ke atas, yang mungkin menyaksikan beberapa keputusan luar jangka jika benar amarah Hindraf kepada S Samy Vellu dan Umno tidak dapat dilunakkan.Kawasan-kawasan dianggap boleh membawa masalah kepada BN seandainya pengundi India bertekas mahu 'mengajar' BN dalam pilihan raya akan datang.
Kawasan bermasalah?
Kerusi berkenaan ialah Padang Serai (21.78%), Merbok (17.16%), Batu Kawan (22.35%), Nibong Tebal (14.43%), Sungai Siput (22.45%), Bagan Datok (22.36%), Ipoh Barat (21.24%), Tapah (19.67%), Telok Intan (19.02%), Tanjong Malim (17.29%), Cameron Highlands (22.72%), Kota Raja (25.91%), Kuala Selangor (21.32%), Hulu Selangor (19.01%), Kuala Langat (17.99%), Sepang (17.73%), Kelana Jaya (17.59%), Klang (17.43%), Selayang (15.23%), Shah Alam (14.71%), Lembah Pantai (17.94%), Batu (14.31%), Telok Kemang (22.64%), Rasah (19.15%), Rembau (14.94%), Labis (14.63%).
Difahamkan kedudukan Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo juga tergugat, dan mungkin terpaksa bertanding di peringkat Parlimen, memandangkan beliau merupakan antara target utama kritikan Hindraf. Kes perobohan kuil di negeri itu dikatakan membawa kesan berpanjangan meskipun kerajaan negeri menyediakan tawaran tapak baru dan jaminan ia tidak akan berulang.
Pastinya Khairy akan mengambil kesempatan bagi meminggirkan seteru ketatnya ini. Khir dianggap mempunyai potensi di masa depan bagi menghalang cita-cita besar menantu Perdana Menteri itu. Ramai perwakilan Umno yang bosan dengan "tradisi kebangsawanan baru" mungkin melihat Khir sebagai alternatif, bersama Zahid Hamidi misalnya.
Sedangkan Khairy tidak boleh melepaskan sebarang peluang kerana masanya untuk mengejar jawatan tertinggi parti cukup singkat, yakni selagi Abdullah masih bertakhta, paling lama pun sekitar 10 tahun lagi.
Tidak cukup sekadar lebih baik
Mengharapkan keputusan pilihan raya kali ini lebih baik buat pembangkang berbanding 2004 tentulah tidak sesukar mana.BN pastinya sukar mengekalkan kemenangan gemilang meraih lebih 91 peratus kerusi Parlimen.
Namun yang lebih penting ialah mencipta kejayaan yang benar-benar bermakna dan dapat memecahkan kebuntuan psikologi politik Melayu. (Apa pun saya masih bimbang dengan kedudukan di Kelantan terutama merujuk kedudukan kerusi Dun yang hanya dibezakan dengan satu kerusi dan dua undi. Walaupun mood pengundi di sana dilihat memihak PAS, usaha Umno untuk merebut kembali negeri itu tidak boleh diremehkan).
Pada 1999, PAS melepasi halangan pertama apabila berupaya menjadi parti Melayu terulung selepas hampir semua kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu di Kelantan, Terengganu dan Kedah dikuasainya. Malangnya penguasaan itu tidak kekal lama. Mungkin tiada usaha pengukuhan bersungguh-sungguh sepanjang 1999-2004 sehinggakan pengundi Melayu mudah "tersihir" dengan penampilan bergaya Abdullah yang nampak berbeza jauh dengan pendahulunya, Dr Mahathir.
Ramuan kejayaan
Kini peluang terbuka luas untuk Barisan Alternatif. Ramuan kejayaan terhidang biarpun proses pilihan raya masih tempang dan SPR belum bersedia bebas daripada kongkongan Umno-BN.
Dan tuntutan Bersih pun nampaknya tidak begitu dihiraukan, malah Pengerusi SPR semakin galak menjadi sebahagian daripada pencacai Umno.
Selagi mana komitmen aktivis pembangkang – di segenap peringkat – kekal kental, gerak kerja pilihan raya berjalan secara sistematik, manakala pemimpinnya terus berakar dengan denyut nadi getar kehidupan rakyat, maka harapan untuk melakar sejarah baru tetap menggunung.
Cuma, pastikan keghairahan bekerja menjayakan misi parti itu mekar subur di setiap lapisan, daripada UPU, MTD dan juga kepemimpinan negeri, selain pendapat umum tidak terburai oleh terjahan propaganda Umno.