Mohamad Sabu, Mustafa Ali akan saman polis


(Harakah) – Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali akan memfailkan saman terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Langkah ini berikutan dua insiden berasingan bulan ini yang berkaitan operasi tangkapan pihak polis ke atas mereka.

"Ketika ditangkap di Plaza Tol Tambun, saya diperlakukan seolah-olah mafia," kata Mohamad Sabu kepada wartawan sebaik selesai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, di sini pagi tadi.

Beliau berkata, polis bertindak memecahkan cermin keretanya menggunakan tukul besi sebesar kepala lutut dan kemudian mengheret beliau keluar ala-mafia seolah-olah dia adalah penjenayah kejam yang sangat dikehendaki.

"Seorang pegawai polis dikenali sebagai Nasir yang menangkap saya langsung tidak menyebutkan sebab tangkapan. Malah tangan saya lebam-lebam dan luka akibat digari di bahagian belakang," katanya mengenai tangkapan 9 Disember itu.

Mohamad Sabu membuat laporan polis disebabkan cara penangkapannya tidak mengikut prosedur undang-undang.

"Sebelum berjaya memberkas saya, Nasir mengugut memecahkan cermin kereta saya. Saya bertegas untuk sampai ke Guar Patani dahulu dan menyerah diri di balai polis Kepala Batas kerana telah wujud perjanjian dan persetujuan sebelum daripada itu," tambahnya.

Beliau berkata Nasir melakukan dua percubaan memecahkan cermin kereta beliau dengan 'cota polis' dan 'spanar T' namun gagal.

Sementara itu, Mustafa menggesa polis menjalankan satu siasatan lengkap ke atas penangkapan beliau yang dipercayai tidak sah (unlawful inprisonment) dan bertentangan undang-undang.

"Saya juga mahu mereka terlibat diambil tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau kesal dengan tindakan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang termasuk mengenakan saman terhadap mereka yang terbabit.

Menceritakan kejadian tangkapannya pada 11 Disember lalu, Mustafa berkata semasa keluar dari pintu bangunan Parlimen, beliau didatangi pegawai polis yang minta diikuti ke kenderaan polis.

"Saya tanya untuk apa dan dia menyatakan ini berkait dengan 'court order' (perintah mahkamah) sambil menunjukkan kepada saya. Saya sempat melihatnya, dan berkata bahawa nama saya tidak tertera di situ, namun dia menyatakan bahawa saya adalah 'suspek' dan apabila ditanya suspek apa?' anggots polis membisu," kata Mustafa.

Kemudian, salah seorang pegawai polis itu menyatakan bahawa Mustafa perlu mengikut arahan tersebut jika tidak mahu pihak polis menggunakan kekerasan.

"Walaupun saya enggan mengikut, mereka mengeluarkan gari tetapi tidak menggunakannya. Tiba-tiba saya mendengar suara berkata,'Dato', kita masuk Parlimen.' Sebaik mendengar kata-kata tersebut seorang pegawai polis menutup pintu masuk Parlimen dengan segera," katanya.

Menurutnya selepas ditahan dua jam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, beliau dibebaskan oleh seorang pegawai polis berpangkat tinggi bernama Ismail tanpa sebarang dakwaan.

Turut hadir ketika membuat laporan tersebut Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS, Hanipa Maidin serta beberapa peguam – Khairudin Othman, Ahmad Lutfi Awang dan Mohd Fadzli Ramli.

Hanipa yang mengetuai pengendalian kes kedua-dua pimpinan ini berkata, sebagai tindakan susulan daripada laporan polis yang dikemukakan, pihaknya akan memfailkan tindakan saman ke atas pihak terbabit.



Comments
Loading...