Paranjothy langgar disiplin Barisan Nasional – Najib


(Utusan Malaysia) – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kenyataan Naib Ketua Pemuda Gerakan, S. Paranjothy bahawa UMNO adalah punca kaum India terpinggir di negara ini adalah tidak berasas dan telah melanggar disiplin Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti Gerakan untuk tindakan sewajarnya terhadap Paranjothy.

“Saya percaya parti Gerakan tahu apa yang harus mereka lakukan, sebab dalam kita menghadapi tekanan pihak tertentu, kita tidak boleh berpecah sebagai satu keluarga politik, keluarga politik kita ialah Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan Kampung Pulau Manis, Tanjung Pulai dan Paloh Hinai, dekat sini hari ini.

Ditanya sama ada kenyataan itu menjejaskan hubungan antara UMNO dan Gerakan, Najib berkata: “Kita anggap ini pendapat peribadi dan bukan pendirian parti Gerakan.”

Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO diminta mengulas dakwaan Paranjothy menerusi satu laman web bahawa UMNO merupakan salah satu punca mengapa kaum India terpinggir.

Dalam kenyataan balasnya, Naib Ketua Pemuda Gerakan itu berkata, beliau sedia menerima apa jua bentuk hukuman berikutan kenyataannya yang dilihat berbau perkauman.

Malah tegas Paranjothy, beliau tidak menyesal dengan tindakan itu kerana ia merupakan usahanya untuk meluahkan perasaan rakyat di peringkat akar umbi.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini meminta Pemangku Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon bertindak tegas terhadap pemimpin muda parti itu kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas dan boleh merosakkan hubungan dalam BN.



Comments
Loading...