Tentera dilarang terlibat demonstrasi jalanan


(Utusan Malaysia) – Anggota dan bekas tentera diminta tidak melibatkan diri dengan demonstrasi jalanan kerana ia boleh menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap pasukan keselamatan khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin berkata, walaupun tiada bukti menunjukkan golongan tersebut terlibat, namun sekiranya ada, mereka hendaklah menghentikan segera kegiatan berkenaan yang disifatkan memalukan ATM.

“Saya berjumpa bekas-bekas tentera baru-baru ini dan meminta mereka berhenti menyertai tunjuk perasaan sekiranya ada.

“Kalau ada anggota tentera terlibat, sebagai timbalan menteri dan wakil rakyat, saya rasa malu nak bercakap dengan orang ramai mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Kualiti Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Dalam ucapannya, beliau turut melahirkan kebimbangan dengan laporan Transparency International berhubung indeks persepsi rasuah yang menunjukkan Malaysia berada di tempat 43 daripada 179 negara tahun ini.

Berbanding pada tahun 2005, jelasnya, negara berada pada kedudukan 39 diikuti 37 (2004) dan 26 (1998).

“Trend integriti negara yang kian merosot ini amat merunsingkan. Ini menggambarkan langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan selama ini masih belum dapat membendung gejala rasuah dengan berkesan,” jelasnya.

Pada majlis itu, Zainal Abidin menyampaikan Anugerah Kualiti dan Integriti Kementerian Pertahanan kepada para pemenang.



Comments
Loading...