Buktikan kepada Pak Lah, betapa Rakyat Pantang Dicabar!
Oleh Penulis Tamu
keADILan Bahagian Wangsa Maju
Sejarah adalah sebuah pengkisahan masa lalu. Wujudnya sejarah bukanlah untuk diungkit atau dijadikan ugutan, tetapi sebenarnya adalah sebagai renungan dan tatapan kita pada hari ini dengan harapan ianya menjadi pedoman dan panduan dalam menentukan halatuju kehidupan kita.
Sesebuah peristiwa di negara ini direkod dan diolah untuk memudahkan pemahaman kita dalam mencari erti sebenar perjuangan ke arah pembinaan sebuah negara bangsa. Dengan kata lain, sejarah adalah cahaya penyuluh yang memandu corak pemerintahan negara pada hari ini.
Namun, olahan dan pemahaman sejarah Malaysia ketika ini telah dicanting dengan warna-warna gelap perkauman. Akibatnya ramai rakyat yang tidak dapat menerima hakikat betapa Malaysia tidak mungkin wujud jika sesebuah kaum menolak penubuhannya. Ramai yang tidak menyedari Malaysia merupakan sebuah negara yang terhasil dari ikatan erat keseluruhan etnik yang terdapat di segenap pelusuk negara ini.
Orang Melayu menjerit menghunus keris ketuanan Melayu. Orang India mendakwa mereka telah ditindas pemerintah yang telah mencengkam kuasa sejak sekian lama, manakala orang Cina pula kecewa dengan kelembapan ekonomi yang menyebabkan perusahaan mereka terjejas teruk. Demikianlah keadaan gawat yang menghantui zaman muram Malaysia mutakhir ini.
Tanpa kesepakatan orang Melayu, Cina, India, Kadasandusun dan sebagainya maka amatlah mustahil negara Malaysia wujud dan bernafas selama 50 tahun. Sebenarnya kesemua kaum telah terbukti bersama-sama menyumbang memacu ekonomi Malaysia.
Mari kita renungkan sejenak. Sebagai contoh orang Melayu & India telah bersusah payah bangkit di awal pagi untuk keluar menoreh getah. Getah yang terhasil dipungut dan dihantar ke peraih-peraih Cina. Perusahaan Cina pula mengilangkan getah untuk dijadikan produk dan ia dipasarkan untuk kegunaan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira sempadan kaum. Hasil keuntungan yang diperolehi akan disumbangkan kepada Kerajaan Persekutuan Malaysia dalam bentuk cukai.
Seandainya orang Melayu & India tidak keluar menoreh getah atau orang Cina tidak berminat mengilangkan produk mentah tersebut, bagaimana agaknya ekonomi Malaysia mampu berkembang? Apakah negara ini mampu maju tanpa penyertaan semua kaum dalam usaha untuk memacu pertumbuhan ekonominya?
Meskipun Malaysia dilihat paling maju di kalangan negara membangun, namun apakah maknanya kemajuan itu jika masih terdapat jurang yang amat ketara di antara si kaya dan si miskin? Pengagihan kekayaan di negara ini amat mendukacitakan. Di saat Ketua Pemuda Umno menghunus keris kononnya mahu mempertahankan Ketuanan Melayu, rakyat di negeri-negeri Melayu seperti Pahang, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu masih menghuni tangga tercorot dari segi aspek pembangunan fizikal. Secara sinis ada yang menyifatkan lebih baik menukar sahaja retorik Ketuanan Melayu kepada Kehambaan Melayu, kerana ianya kelihatan lebih realistik dan mudah difahami akal.
Ketika kita membaca buku sejarah, terdapat telahan yang menganggap punca Sabah dan Sarawak mundur adalah kerana rupa bentuk muka bumi yang tidak sesuai untuk dimajukan. Kita tidak menafikan faktor geografi adalah salah satu punca dalam memastikan sesebuah kawasan itu mampu dibangunkan atau tidak, tetapi kita ingin bertanya apakah negeri-negeri ini perlu terus dibiarkan miskin di saat hasil petroleum mereka dipunggah dan disedut keluar dari perut bumi demi memenuhi poket pemerintah di Putrajaya? Inilah yang dipanggil rompakan waktu siang yang mana ia dilakukan secara terang-terangan dengan niat untuk mengabaikan kelompok rakyat kelas bawahan bagi menambah kekayaan kelompok manusia atasan.
Akhirnya rakyat Sabah dan Sarawak terpaksa menanggung derita kerana dikerah untuk berkorban menggalas kemiskinan demi menjamin kesejahteraan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.
Demikian juga rakyat di negeri-negeri Melayu yang terpaksa mengikat perut bagi memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin BN mengaut keuntungan atas nama Dasar Ekonomi Baru. Fikiran rakyat telah disyirikkan dengan kepercayaan 'hanya Umno – BN sahaja yang mampu memerintah negara ini'. Rakyat telah ditanamkan dengan sikap tutup dua belah mata ke atas penindasan yang dilakukan oleh pemerintah, dengan harapan 'biarlah mereka menindas kita asalkan Malaysia terus maju, aman dan makmur tidak seperti di Pakistan atau Burma'. Padahal membenarkan kezaliman berleluasa di negara ini seumpama menaburkan benih kerosakan yang akhirnya bakal membinasakan diri sendiri jua.
Akhir-akhir ini kes-kes rasuah, jenayah rompak, rogol, seks bebas, bunuh dan ketagihan dadah telah menular sehingga rakyat sudah menganggap ianya perkara biasa dan normal. Hari ini juga terdapat rakyat Johor yang mengeluarkan kenyataan 'anda bukan anak jati Johor jika tidak pernah menjadi mangsa jenayah.' Jelas, kestabilan dan keharmonian negara ini semakin terumbang-ambing.
Kadar jenayah sivil yang meningkat dari semasa ke semasa, skandal perundangan yang semakin hilang ketelusannya, kecelaruan konsep 'two separate legal entity' di antara kerajaan dan parti pemerintah, polisi media kuku besi Malaysia yang dipelopori oleh seekor sampah bernama Zainuddin Maidin, skandal kekayaan melampau pemimpin Barisan Nasional dan kerosakan moral dan akhlak sebilangan besar rakyat Malaysia telah menjadi babak-babak hitam pada tahun 2007 ini.
Mujurlah tirai 2007 ditutup dengan himpunan Bersih apabila ramai rakyat Malaysia yang bermaruah sanggup turun menempuh hujan lebat semata-mata mahu membuktikan kepada Pak Lah, betapa Rakyat Pantang Dicabar!
Dengan izin Tuhan, kita berharap semoga fajar tahun baru ini akan menjanjikan sebuah perubahan yang lebih baik berbanding tahun 2007. Kita akan terus konsisten berikhtiar untuk mematahkan serangan BN terhadap pembangkang di media-media milik pemerintah. Semoga lebih ramai rakyat yang sanggup mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk menikmati berita-berita & blog alternatif dari pelbagai sumber di internet.
Dan kita akan terus bercakap benar memperjuangkan yang hak dan menentang kebatilan Barisan Nasional. Teruskan bekerja dan jangan tewas dengan sifat putus asa. Percayalah, kini masa untuk berubah! Lawan Tetap Lawan!
Salam Perjuangan 2008. Selamat Tahun Baru.