Paranjothy dijemput sertai Keadilan, PAS tawar Gerakan sertai BA


Oleh Zulkifli Mohamed

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menjemput Naib Ketua Pemuda Gerakan S. Paranjothy, menyertai Keadilan sementara PAS pula mencadangkan Gerakan menyertai Barisan Alternatif (BA).

Jemputan itu ekoran tindakan Paranjothy yang dikatakan menimbulkan ketegangan antara Umno dan Gerakan apabila beliau membuat kenyataan terbuka bahawa Umno adalah punca kaum India terpinggir di negara ini.

Menurut Naib Ketua AMK, Khairul Annuar Ahmad Zainudin, Paranjothy perlu menyertai Keadilan untuk bersama-sama dengan parti itu membetulkan masalah yang membelenggu rakyat Malaysia berbilang kaum hasil kegagalan dasar pemerintahan Umno-BN.

Selain merakamkan penghargaan atas ketegasan Paranjothy mendedahkan masalah akar umbi rakyat, hasil dasar pecah dan perintah Umno/BN, Khairul berkata tindakan itu juga bagi menyedarkan pihak yang merasakan mereka adalah sempurna secara mutlak, satu sikap yang membelenggu Umno pada hari ini.

Paranjothy dikatakan telah melanggar disiplin BN, yang membangkitkan kemarahan Umno, sehinggakan Pemuda Umno melalui Ketuanya Hishammuddin Tun Hussien mendesak pimpinan Gerakan memecat Paranjothy.

Bagaimanapun, dalam reaksi balasnya Paranjothy bertegas, beliau tidak menyesal dengan tindakan itu kerana ia merupakan usahanya untuk meluahkan perasaan rakyat di peringkat akar umbi.

“Pimpinan Umno telah menunjukkan betapa mereka sedang mengamalkan budaya 'tidak boleh dikritik', sehingga jelas terbukti komponen BN yang lain perlu akur dan tunduk kepada mereka,” kata Khairul.

AMK melihat, dalam keadaan yang tegang ini, jelas Khairul Gerakan akan terus menerus mengikut telunjuk Umno untuk memecat atau setidak-tidaknya menggantung keahlian Paranjothy daripada Gerakan.

Sementara itu, AJK PAS Pusat Dr Mujahid Yusof Rawa, mencadangkan agar Gerakan dan Parti Progresif Rakyat (PPP) keluar dari BN dan menyertai BA bagi memperjuangkan hak untuk semua kaum di negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Kaum dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang berkata beliau yakin Gerakan mampu bersama dengan arus perubahan yang sedang melanda rakyat pelbagai kaum di negara ini sekarang.

"Saya sendiri secara peribadi bersedia untuk berbincang dengan pimpinan BA untuk membolehkan Gerakan terus memimpin Pulau Pinang jika BA menang dalam pilihan raya umum nanti di samping kedudukan yang sesuai untuk para pemimpin PPP dalam kerajaan," katanya.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini diterajui oleh Dr Koh Tsu Koon yang juga Pemangku Presiden Gerakan.



Comments
Loading...