Pengerusi SPR kemuka kertas kerja penyambungan perkhidmatan


 Oleh Faisal Mustaffa

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) sekali lagi menyatakan bantahan selepas Kerajaan menyambung tempoh khidmat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman enam bulan lagi.

Berdasarkan kepada laporan berita, Abdul Rashid telah menghantar kertas kerja berkaitan kepada Kerajaan bagi penyambungan tempoh persaraannya di Suruhanjaya.

BERSIH menekankan bahawa Kerajaan sepatutnya menolak penyambungan tempoh tersebut dan melantik Pengerusi SPR baru yang mempunyai tahap integriti profesional tertinggi yang mampu menegakkan pilihan raya bersih, adil dan bebas di negara ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BERSIH 29 Disember, gabungan itu tidak percaya Malaysia tidak mempunyai seorang pun yang mempunyai kelayakan bagi memegang jawatan Pengerusi SPR, melainkan mempunyai 'udang di sebalik batu' di antara Kerajaan Barisan Nasional dan pihak pertanggungjawaban.

"Kerajaan tidak patut berterusan dengan keputusan kontroversi dengan penyambungan tempoh persaraan di mana kita menyaksikan pertubuhan-pertubuhan masyarakat dan parti-parti alternatif menyatakan bangkangan mereka yang bukan hanya membantah penyambungan tempoh khidmat Tan Sri Rashid bahkan juga menggesa-gesakan Bil Persekutuan (Pindaan) 2007, yang memohon penyambungan persaraan kekal pegawai SPR dari 65 ke 66 tahun,"

Rakyat Malaysia juga telah mendesak Kerajaan Malaysia menghentikan kebergantungan Kerajaan kepada Rashid bagi mengetuai SPR lagi.

Justeru, Malaysia mendesak supaya Pengerusi SPR dilantik dari kalangan mereka yang mempunyai rekod latar belakang terbaik termasuk integriti dan kepercayaan oleh semua pihak.



Comments
Loading...