Perumahan mangsa Tsunami Kuala Muda baru siap sepenuhnya 31 Disember


KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) — Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memberi jaminan perumahan mangsa tsunami di Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang akan siap sepenuhnya 31 Disember ini.

Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat dan Perkhidmatannya Mahadi Ariffin berkata keseluruhan status pembinaan 461 unit rumah itu sekarang adalah 98 peratus siap.

"Kami akan berurusan dengan Majlis Keselamatan Dalam Negara dan kerajaan negeri Pulau Pinang bagi proses pemilihan dan pemindahan penduduk terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata masalah kelewatan penyerahan rumah berkenaan yang disuarakan mangsa tsunami pada Disember 2004 dalam sebuah akhbar tempatan hari ini adalah berpunca dari empat sebab.

Mahadi berkata terdapat masalah tapak projek yang membabitkan pemindahan kedai dan rumah setinggan yang hanya dapat diselesaikan pada April dan November tahun lepas.

Cuaca yang menyebabkan taburan hujan walaupun bukan musim hujan monsun juga menyebabkan kelewatan projek, katanya.

Beliau berkata selain itu, semua kontraktor mengalami masalah bekalan simen, dan mereka terpaksa menerima simen dari pembekal mengikut giliran.

Lantikan tujuh kontraktor seperti yang diarahkan kerajaan negeri, walaupun hanya membina 461 unit rumah juga menyebabkan permasalahan koordinasi kontraktor binaan terbabit, katanya.

— BERNAMA



Comments
Loading...