Pemansuhan yuran sekolah: Kerajaan berbohong


Oleh Zulkifli Mohamed

PULAU PINANG: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bayan Baru, mengutuk tindakan menipu rakyat oleh kerajaan melalui Kementerian Pelajaran yang dinaungi oleh Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussin berkaitan pemansuhan kesemua yuran tahunan sekolah seperti yang dibentang dalam Budget 2008.

Ketuanya Ahmad Azrizal Tahir berkata pihaknya mendapati secara jelas yuran yang dimaksudkan tidak dimansuhkan secara jujur.

Sebaliknya, jelas Azrizal kerajaan berdalih dengan memperkenalkan ‘Pakej Bayaran Tambahan’ yang secara langsung menaikkan semula bayaran yuran yang telah dimansuhkan.

Tambah Azrizal lagi, merujuk Budget 2008 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 7 September lalu, selain memansuhkan yuran peperiksaan, kerajaan berjanji akan memansuhkan kesemua yuran tahunan di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara bermula 2008.

Abdullah juga kata Azrizal mengumumkan semua pelajar akan mendapat faedah pinjaman buku teks percuma tanpa mengira pendapatan keluarga.

Selain itu, katanya kerajaan juga berjanji akan memberikan pakaian seragam untuk aktiviti ko-kurikulum bagi pelajar yang ibu bapa berpendapatan kurang RM1000.

Merujuk notis yang dihantar kepada ibu bapa pelajar di semua sekolah di seluruh negara, sekarang ini telahpun wujud kesangsian terhadap kerajaan Abdullah bahawa janji kerajaannya adalah sesuatu yang amat palsu dan bohong,” ujarnya.

Ini berikutan tindakan Kementerian Pelajaran melalui Ketua Pengarah Pelajaran cuba mengaburi kenaikan Sumbangan PIBG yang melampau untuk mengalihkan tumpuan sebenar daripada perkara pokok yang asal iaitu bayaran yang tidak dimansuhkan antaranya caj Insuran serta caj Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) sepertinya dikekalkan.

Bayaran baru yang tidak ada sebelum ini seperti Sukan Tahunan, Ko-Kurikulum dan Kegiatan Agama/Moral yang selama ini ditanggung oleh Kementerian Pelajaran telah dikenakan dan caj Kertas Ujian Dalaman pula dinaikkan,” ujarnya.

Ini bukan caranya kerajaan mengada-adakan bayaran tambahan di masa kerajaan telah pun bersedia untuk memansuhkan semua yuran sekolah,” katanya yang juga Naib Ketua AMK Pulau Pinang.

Justeru itu, pihaknya mendesak kerajaan menarik balik Pakej Bayaran Tambahan serta menunaikan janji sebagaimana yang dibentangkan pada Bajet 2008 mereka secara jujur.

Bahawa seandainya tidak berbuat demikian selepas daripada ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak boleh menolak anggapan rakyat bahawa BN adalah kerajaan penipu,” tegasnya.



Comments
Loading...