Perang besar hanya tinggal beberapa hari…
Ahmad Lutfi Othman
Harakah Daily
Walaupun 2007 berlalu tanpa menyaksikan pilihan raya umum ke-12, masih banyak adegan politik yang menarik dan berwarna-warni sifatnya dapat dirakamkan sepanjang tahun tersebut. Di samping menyuntik keinsafan buat diri bahawa baki usia kian pendek, tahun baru 2008 diramal menghidangkan pelbagai episod siasah yang lebih mendebarkan lagi.
Pastinya setiap parti-parti politik yang bakal bertanding mendakwa sudah bersedia menghadapi suara dan pilihan rakyat walaupun persiapan itu belum dapat ditingkatkan sepenuhnya. Semua akur bahawa tidak mudah buat parti-parti pembangkang menyusun gerak dan memperlengkapkan jentera untuk berdepan kerajaan Barisan Nasional.
Padang tidak sama rata sentiasa menjadi alasan bahawa kemenangan bukan menjadi teka-teki lagi. Dalam lain perkataan, pada hari penamaan calon lagi sudah dapat diagak siapa yang bakal menerajui kerajaan Pusat, cuma untuk beberapa negeri sahaja ramalan itu sukar untuk disahkan lebih awal, misalnya Kelantan dan Terengganu, dahulunya termasuk Pulau Pinang dan Sabah.
Dan inilah yang sering ditegaskan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa rakyat Malaysia sebenarnya tidak mempunyai pilihan ketika mereka membuang undi kerana, katanya, parti-parti pembangkang tidak pernah menawarkan diri sebagai kerajaan alternatif kepada BN. Secara terbuka Rashid memperlekeh dan menghina keupayaan pembangkang untuk menyaingi kehebatan BN.
Kemampuan pembangkang memberi saingan hebat terhadap BN
Pemimpin pembangkang tentu dapat mengemukakan sanggahan dalam bentuk fakta dan dokumen lengkap bagi menolak dakwaan Rashid itu. Malah, operasi tempang dan tunggang-langgang SPR yang diterajui Rashid adalah antara bukti nyata bahawa kemenangan besar BN selama ini adalah disumbangkan oleh banyak faktor manipulasi dan eksploitasi, selain penipuan terancang dan taktik kotornya sebagai penyandang.
Manakala bagi pemimpin Umno-BN, mereka berhujah, jika proses pilihan raya kita tidak adil, telus dan bebas, sebagaimana dakwaan pembangkang, sudah tentu PAS tidak berupaya menawan Kelantan (sebelum ini termasuk Terengganu), apatah lagi kemenangan pada 2004 itu hanya dengan kelebihan satu kerusi dan perbezaan undi pula sekadar dua sahaja. Jika BN mempunyai mekanisme canggih untuk menipu, pastinya PAS akan berputih mata di Kelantan empat tahun lalu.
Logika itu, bagi sebahagian orang, mungkin boleh diterima akal, walaupun ia dibuat dalam konteks yang salah. Penyelewengan perjalanan pilihan raya di Malaysia tidaklah sampai sehingga meletakkan kertas undi palsu ke dalam tong yang kemudiannya akan dijumlahkan bersama. Manipulasi itu melalui satu proses yang panjang dan terancang, misalnya melalui kaedah persempadanan semula kawasan pilihan raya, undi pos, pengundi hantu, mengundi berulang kali, politik wang, salahguna kuasa kerajaan sementara, selain penghakisan ketara elemen demokrasi berjalan lancar sebelum Parlimen dibubar lagi.
Saya tidak berhasrat untuk mengulangi segala ketempangan pengurusan pilihan raya kita yang sudah diketahui umum itu. Perarakan raksasa 100,000 anjuran Bersih pada 10 Nov lalu menyaksikan isu-isu berkaitan tuntutan pilihan raya adil dan bebas sudah dapat dihayati oleh pelbagai lapisan masyarakat. Tidak mudah untuk mengerahkan orang seramai itu dalam isu-isu yang tidak menyentuh hal agama atau sensitiviti kaum. Ia satu petanda positif yang cukup menjanjikan buat gerakan pemulihan demokrasi di Malaysia.
Apa yang ingin saya kongsi bersama adalah keupayaan dan kemampuan pembangkang untuk memberi saingan paling hebat kepada BN, seterusnya berusaha membentuk kerajaan alternatif ataupun menjadi pembangkang kuat yang berwibawa tinggi. Ketika mendedahkan seribu satu kepincangan sistem dan penipuan pemerintah, kita tentu yakin ada ruang yang masih boleh dimanfaatkan untuk menggerakkan perubahan itu. Ataupun, sejak awal kita sudah mengangkat bendera putih dan menyertai pilihan raya sekadar tidak mahu memberi kemenangan percuma buat BN?
Banyak dari aspek-aspek persiapan pilihan raya yang masih boleh kita perbaiki, yang mana ia terletak di bawah keupayaan kita, sama ada untuk mempertingkatkannya atau membiarkan kekal laih. Sebahagiannya tidak pun memerlukan perbelanjaan besar, seperti lebih mendekatkan diri dengan pengundi akar umbi, tetapi malangnya ia kerap kali diambil mudah, ataupun kita lebih asyik membicarakan hal-hal yang kita tidak boleh atau begitu sukar untuk mempengaruhinya. Justeru, lebih bermakna dan berfaedah jika kita dapat kenal pasti wilayah atau zon kritikal yang dapat kita kuasai dan dari situ sama-sama memikirkan jalan praktikal untuk mendekatkan kita dengan kemenangan.
'Temberang' Rashid dan asakan yang tidak tertanggungnya
Semasa terus mempertingkatkan tekanan kepada SPR, Rashid dan juga pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mewujudkan situasi lebih kondusif dalam pilihan raya, aktivis pembangkang tentu sudah bertungkus-lumus menyediakan prasarana berdepan "peperangan besar" ini. Ada aspek-aspek tertentu yang mana BN juga mempunyai kelemahan dan kedaifan, terutama apabila isu-isu semasa lebih memihak oposisi. Semua maklum bahawa wang, janji dan agihan projek pembangunan di saat-saat akhir kempen tidak boleh mengubah segalanya jiwa pendapat awam berjaya didekati.
Mendengar 'temberang' dan lenggok badan Rashid semasa memberikan ucaptama kursus anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di Universiti Malaya, bertajuk "Memahami Perjalanan dan Proses Pilihan Raya Umum di Malaysia, 4 Dis lalu, saya dapat rasakan beliau menghadapi asakan yang agak tidak tertanggung.
Berulang kali beliau cuba menunjukkan bahawa segala serangan pembangkang terhadapnya langsung tidak meninggalkan kesan, namun lebih kerap Rashid bercerita bahawa tidurnya tidak terusik dengan hentakan Bersih itu, maka saya lebih percaya apa yang berlaku adalah di sebaliknya.
Beliau turut meluahkan rasa tertekan dengan kritikan pihak antarabangsa terhadap sikap berat sebelah media sedangkan, katanya, SPR tiada kena mengena dengan apa yang dilaporkan itu. Justeru, saya kira, pembangkang dan juga gabungan Bersih harus terus-menerus menggandakan kempen penerangan kerana perubahan dalam sistem pilihan raya kita boleh dicapai jika asakan tidak terputus begitu sahaja.
Biarpun tarikh pilihan raya dijangka diumumkan dalam waktu terdekat, kempen "menjatuhkan" Rashid usah berkubur. Kita mesti membentuk satu penanda aras dan merakam sejarah bahawa keceluparan Rashid harus dihukum agar memberi teladan untuk pengerusi SPR berikutnya.
Saya turut tertarik dengan beberapa idea besar reformasi sistem pilihan raya kita, misalnya dengan merombak sistem First-Past-The-Post (FTPT) yang diamalkan sekarang, bagi mengelak manipulasi gerrymandering, kepada sistem alternatif yang mengambil kira nilai setiap undi, iaitu sistem Mixed Member Proportional (MMP) yang antara lain diamalkan di New Zealand dan Jerman.
Memang untuk menyebut nama-nama sistem ini pun agak mengelirukan, tetapi untuk jangka panjang, dalam dua atau tiga kali pilihan raya akan datang, aktivis pembangkang dan NGO harus bersedia untuk melakukan kempen besar-besaran bagi melaksanakan perubahan lebih mendasar. Pengkaji seperti Wong Chin Huat adalah orang yang sepatutnya dirujuk dalam hal ini.
Amat tidak berbaloi apabila sebahagian besar tenaga, kudrat, fikiran dan wang ringgit dihabiskan pihak pembangkang hanya untuk memastikan mereka tidak ditipu oleh BN dan juga SPR.
Sepatutnya tumpuan untuk membersihkan Daftar Pemilih dan mengenal pasti taktik penipuan lawan – daripada hari penamaan calon sehingga masa mengira undi – boleh dialihkan kepada kerja-kerja asas kempen, terutama untuk membentangkan manifesto, mewajarkan program alternatif, menjelaskan isu-isu dan menyanggah kritikan BN. Inilah bahananya apabila SPR menjadi perkakas buat Umno-BN, bersama-sama Jabatan Pendaftaran Negara, pihak polis dan lain-lain jabatan kerajaan.
Sebenarnya pembangkang juga terpaksa menghanguskan begitu banyak dana bagi menghadapi pilihan raya yang penuh ketempangan ini. Mungkin kehilangan wang ringgit itu tidak terasa kerana ia dikutip daripada "poket ahli-ahli parti" dan sumber-sumber tentu. Idealnya, lebih baik sejumlah besar dana dan keringat aktivis itu , secara terancang, dikumpul dan digembleng lebih awal bagi menekan kerajaan untuk membuat perubahan sistem pilihan raya. Harus diingat, tidak cukup dengan itu, tanpa pengorbanan besar (kita baru dikhutbahkan tentang korban Ibrahim dan Ismail), impian hanya layak menjadi mainan tidur sahaja.
Mungkin ada pihak akan menempelak saya bahawa sekarang bukan masa untuk kita bertegang leher soal tuntutan pilihan raya bersih dan adil. Kini masa cukup suntuk untuk membina persiapan selengkapnya, bukan sekadar berdepan gabungan parti-parti politik tetapi satu ketumbukan padu pemerintah-kerajaan yang terjalin secara tidak bermoral.
Sejauhmanakah maklumat di 'alam maya' dapat dirakyatkan?
"Perang besar" hanya tinggal "beberapa hari" sahaja lagi, bukan "beberapa bulan", apatah lagi "beberapa tahun". Tumpuan mesti difokuskan kepada latihan petugas, pemantapan logistik, memenuhkan tabung, menggerakkan operasi MTD dan lain-lain lagi aspek teknikal dan taktikal. Rasanya calon-calon juga sudah dikenal pasti berdasarkan kriteria terpilih. Semoga elemen negatif dalam soal pemilihan calon yang menjadi wabak dalam BN tidak berjangkit kepada PAS terutama di kubu-kubu kuat, seperti Kelantan.
Pilihan raya ke-12 sememangnya menjanjikan harapan tinggi buat pembangkang. Kali ini tiada persempadanan semula. Era bulan madu Perdana Menteri baru seperti pada Mac 2004 sudah lama berakhir, sebaliknya banyak isu-isu berkaitan personaliti Abdullah, menantunya Khairy Jamaluddin, juga anak-anak dan kaum kerabatnya menikam balik BN.
Kalau dulu Dato' Seri Anwar Ibrahim terperosok di penjara, kini beliau dapat mengetuai jentera pembangkang meskpun masih tidak dibenarkan bertanding. Gabungan pimpinan baru PAS selepas era Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor dilihat semakin mantap dan matang. DAP juga tidak lagi melatah untuk bertembung sesama pembangkang. Selain itu, lebih banyak NGO muncul untuk mendokong suara perubahan.
Bagaimanapun saya lebih tertarik dengan fenomena baru dunia siber, bukan sekadar fungsi ajaib laman-laman web seperti pernah mengejutkan pilihan raya 1999, tetapi juga kehadiran blog, webtv dan YouTube, selain kamera digital serta alat komunikasi canggih. Memang ia bukan lawan setanding kepada sebaran meluas akhbar-akhbar arus perdana dan siaran radio-tv, namun jika kandungannya berkualiti tinggi, mencetuskan banyak pendedahan baru yang berasaskan penyelidikan mendalam, jentera kempen BN akan menghadapi serangan balas yang mungkin mereka sendiri tidak menduga kehebatannya!
Saya tidak begitu risau soal penguasaan teknologi terkini oleh aktivis pembangkang untuk menghadapi serangan fitnah pemerintah. Malah, dalam banyak hal, seperti yang kita saksikan di bangsal panas semasa hari pengundian, parti pembangkang lebih ke depan menggunakan peralatan moden. Yang menjadi kebimbangan ialah sejauh mana segala maklumat dan pendedahan yang tersimpan di "alam maya" itu dapat dirakyatkan sehingga mengetuk setiap pintu rumah pengundi, termasuk di ceruk pedalaman.
Mampukah, dalam tempoh kempen paling singkat, pengundi mendapat maklumat dan penerangan sewajarnya, selain menangkis sebarang tuduhan liar BN yang bermaharajalela ketika itu? Ketika pengundi Tionghua – yang mudah akses kepada internet, manakala akhbar Cina sendiri lebih waras berbanding Berita Harian dan Utusan Malaysia — dikatakan bersedia mengundi pembangkang, masyarakat Melayu pula masih menghadapi gejala jurang maklumat yang serius, membuatkan emosi mereka lebih mudah digoda propaganda murahan Umno.
Seharusnya persiapan ditumpukan bagi mengetuk dan membekalkan bahan kempen kepada setiap rumah di segenap taman, kampung, jalan dan lorong. Biar rakyat dapat membuat penilaian seadilnya selepas mereka mempunyai maklumat yang cukup tentang parti, calon dan isu-isu berbangkit di waktu kritikal menjelang hari mengundi. Mekanisme untuk merakyatkan maklumat itu tidak mudah digerakkan jika perancangannya belum dimasakkan lagi.
Ya, masa semakin suntuk namun peluangnya masih terbuka, dan cabaran Harakah serta Harakahdaily memainkan peranan efektif dalam perang besar yang tinggal beberapa sahaja lagi itu kian terasa gigitannya …