Siasatan kerajaan mengenai pembunuhan Benazir adalah bohong
Pemimpin dunia desak siasatan terbuka serangan terhadap Benazir
PESHAWAR: Pembunuhan Benazir Bhutto terus menimbulkan persoalan apabila kerajaan Pakistan dan pemimpin al-Qaeda saling tuduh-menuduh berhubung pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan berkenaan, manakala parti pimpinan bekas perdana menteri itu menuduh kerajaan berbohong.
Dalam pada itu, beberapa pihak di dalam dan luar Pakistan menuntut siasatan bebas antarabangsa diadakan seperti dalam kes pembunuhan bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafiq Hariri, pada 2005.
Ketua al-Qaeda di Pakistan, Baitullah Mehsud, semalam menafikan dakwaan kerajaan bahawa beliau terbabit dalam pembunuhan pemimpin pembangkang itu yang mengundang kecaman antarabangsa.
"Mehsud tidak terbabit dalam serangan itu," kata jurucakapnya, Maulana Omar dalam panggilan telefon kepada media dari lokasi rahsia di wilayah Waziristan.
Al-Qaeda sebaliknya menuduh serangan itu membabitkan konspirasi kerajaan, tentera dan agensi risikan.
"Serangan terhadap wanita bercanggah dengan tradisi dan budaya kami," katanya sambil menjelaskan agak mustahil militan dapat menembusi kawalan keselamatan ketat yang diadakan di keliling rapat umum pilihan raya yang dihadiri Benazir.
Benazir terbunuh dalam serangan bunuh diri ketika hendak menaiki kenderaannya selepas berucap pada rapat umum pilihan raya di Rawalpindi, petang Khamis lalu.
Laporan awal menyatakan Benazir ditembak sebelum penyerangnya meletupkan bom dalam serangan yang turut mengorbankan 32 penyokong Benazir.
Lewat kelmarin, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Javed Cheema, bagaimanapun berkata Benazir tidak ditembak atau terkena serpihan bom, sebaliknya kematian bekas perdana menteri itu disebabkan terhantuk kepada pemegang tingkap bumbung keretanya ketika mahu mengelak serangan berkenaan.
Javed juga mendakwa pihaknya mempunyai bukti al-Qaeda terbabit kerana dapat memintas perbualan telefon Mehsud mengucap tahniah kepada seorang militan selepas kejadian itu.
Tuduhan berkenaan disangkal Omar yang menegaskan transkrip perbualan telefon yang didakwa kerajaan itu adalah satu 'drama.'
Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Benazir juga menolak penjelasan kerajaan berhubung pembunuhan pemimpin mereka.
"Hasil siasatan kerajaan itu adalah pembohongan semata-mata. Dua pegawai parti berada di dalam kenderaan bersama Benazir ketika beliau diserang dan mereka melihat apa yang berlaku," kata peguam Benazir, Farooq Naik.
Beliau yang juga pegawai kanan PPP, berkata dua peluru mengenai Benazir, satu di perut dan satu lagi di kepalanya.
"Kematian Benazir adalah kehilangan besar kepada kami dan kerajaan mahu membuat lawak mengenainya," kata beliau sambil memberi amaran Pakistan mungkin terjerumus dalam kancah perang saudara.
Ahli politik pembangkang dan bekas bintang kriket Pakistan, Imran Khan, pula menyalahkan Presiden Pervez Musharraf ke atas kematian Benazir dan mendesak siasatan bebas diadakan.
Sementara itu, calon presiden Amerika Syarikat, Hillary Clinton, dalam kempen pilihan rayanya di Iowa, mendesak siasatan bebas antarabangsa diadakan ke atas pembunuhan Benazir.
Pembunuhan bekas perdana menteri Pakistan itu mencetuskan rusuhan di seluruh negara hingga memaksa suruhanjaya pilihan raya Pakistan memanggil mesyuarat tergempar esok untuk membincangkan kesan perkembangan terbaru itu terhadap pilihan raya 8 Januari ini. – Agensi