Hentikan ambil pekerja asing


Oleh Faizah Izzani Zakaria

KUALA LUMPUR 30 Dis. – Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar meminta pengambilan pekerja asing dihentikan buat sementara waktu sehingga satu dasar lebih terperinci diperkenalkan.

Menurut beliau, pada masa ini terdapat 2.6 juta pekerja asing di negara ini dan bilangan itu sudah mencukupi.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet tahun depan bagi mengatasi masalah pengambilan pekerja asing yang semakin menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan.

Katanya, cadangan itu akan dikemukakan setelah kementerian selesai menjalankan kajian mengenai keperluan tenaga kerja asing dalam kalangan kira-kira 500,000 majikan di seluruh negara.

“Kajian tersebut akan berakhir Januari depan dan selepas itu, kita akan kemukakan penemuannya kepada Kabinet,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Abdul Rahman mengulas laporan Mingguan Malaysia hari ini yang memetik kajian Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) bahawa 20 peratus peluang pekerjaan baru yang wujud tahun ini dibolot oleh pekerja asing.

Pengarah Eksekutif MIER, Profesor Emeritus Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem berkata, senario itu sangat berbahaya kepada sektor buruh negara dan bertentangan dengan matlamat negara untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat sendiri.

Abdul Rahman berkata, walaupun memberhentikan pengambilan pekerja asing juga adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah itu tetapi ia sukar dilaksanakan.

Katanya, beberapa sektor tertentu seperti pembinaan dan pertanian masih bergantung kepada tenaga kerja asing.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu kerajaan menetapkan garis panduan yang jelas supaya majikan tidak sewenang-wenangnya mengambil pekerja asing dengan gaji rendah sesuka hati mereka.

Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud berkata, kerajaan perlu menetapkan gaji minimum untuk pekerja asing di samping menguatkuasakan undang-undang buruh sedia ada terhadap majikan.



Comments
Loading...