Musim selak kain Wazir Dolah
KAMAL AMIR MENULIS
MINGGU terakhir 2007 memperlihatkan rencam politik “selak kain sekandang” kalangan pemimpin yang mula berbalah sesama sendiri. Mungkin masih belum cukup atau “kurang tepu” kantung khazanah peribadi diisi hasil rampokan wang rakyat menjadikan mereka saling “tunjal menunjal” antara satu sama lain.
Belumpun genderang pilihan raya dinafirikan, sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi sudah mula mengimbau kerusi yang membolehkan mereka meneruskan agenda “merampok” harta rakyat.
Mungkin kerana jawatan memanda wazir di kementerian dalam negeri kurang “berbaloi” serta tiada lagi hasil boleh dijana setelah kerajaan memutuskan urusan permit atau lesen membawa masuk buruh asing dikendalikan secara bersama antara Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia menjadikan Radzi Sheikh Ahmad mengintai kesempatan kalau-kalau ada ruang memboloskan dirinya diangkat sebagai Menteri Besar Perlis.
Bertolak dari percaturan “intai-mengintai” jawatan Menteri Besar Perlis memungkinkan Radzi Sheikh Ahmad melakukan ledakan pertama “menyelak” tembelang Shahidan Kasim dengan lontaran kenyataan secara terbuka berhubung persoalan “tempang” dan dangkalnya era beliau mentadbir negeri Perlis Indera Kayangan.
Kenyataan secara terbuka oleh Radzi yang menyatakan kepimpinan Shahidan tidak lagi relevan untuk diteruskan musim pilihan raya akan datang turut disifatkan sebagai tindakan membuka pekong di dada.
Kedudukannya sebagai Setiausaha Agung Umno Malaysia mencetuskan persepsi rakyat, Abdullah Ahmad Badawi merestui tindakan tersebut sebagai isyarat awal dia bakal meruntun turun, paling tidak sejumlah enam Menteri Besar untuk digantikan oleh kalangan orang keliling, tentunya calon proksi serta penyokong Khairy Jamaluddin mahupun pembodek Abdullah.
Belum pernah terjadi sebelum ini seorang setiausaha Agung membelasah secara terbuka sidang wazir Perdana Menteri. Malahan kalangan beberapa orang “pencacai” Abdullah menyuarakan agar “persoalan dalam kelambu” seperti itu tidak didedahkan kepada umum dan seharusnya ditangani. Kesan kelangsungan yang dicetuskan oleh Radzi Sheikh Ahmadani melalui mesyuarah sesama sendiri agar “pekong” terhindar dari dihidu oleh rakyat.
Biar apa pun, yang pasti kelangsungan “precedent” saling selak menyelak kain serta mendedahkan cerita dalam kelambu sidang wazir Abdulah telahpun dicetuskan oleh seorang memanda wazir berjawatan Setiausaha Agung.
Apakah tidak mungkin satu ketika nanti Azalina tersampuk untuk turut “menyelak kain” makcik montel Rafidah Aziz yang terlalu pekat dengan noda-noda korupsi ekoran kenyataan Rafidah mahu Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat ke akar umbi pendedahan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin berhubung penyalahgunaan kuasa di kementerian Belia dan Sukan?
Tidak mungkin rakyat lupa bagaimana harga alat “screw driver” dibeli dengan harga lima puluh ringgit serta beberapa kepincangan lain mengakibatkan jutaan wang rakyat dirampok oleh pemimpin tanpa diseret ke muka pengadilan. Malahan Makcik Montel Rafidah turut menyuarakan kehairanannya apabila kementerian tersebut membeli karipap dan apam dengan harga tiga ringgit seketul.
Dari kelangsungan tersebut, terbukti Abdullah Ahmad Badawi sebagai teraju utama pimpinan kerajaan Barisan Nasional teramat goyah serta lemah kerana gagal membendung perbalahan kalangan sidang wazirnya.
Sebelum ini Radzi Sheikh Ahmad pernah “membodohkan” seorang menteri berhubung persoalan Mykad. Malahan Samy Vellu juga turut bertekak di tengah khalayak dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Koh Tsu Koon. Begitu juga ancaman Hishammuddin (Ketua Pergerakan Pemuda Umno agar parti Gerakan disingkirkan dari gabungan Barisan Nasional.
Pimpinan dari MIC berjawatan Timbalan Menteri “membalun” menteri pengajian tinggi berhubung isu kursus perubatan yang tidak diiktiraf oleh kerajaan. Malahan pemimpin parti PPP M.Kayveas turut “menyingsing lengan” untuk menyanggah Ali Rustam dan Lim Kheng Yek.
Lebih memalukan apabila 11 orang menteri bukan Islam dalam kerajaan Abdullah Ahmad Badawi menghantar memo bantahan kepadanya berhubung permasalahan kebebasan agama mengakibatkan rakyat melihat tindakan tersebut adalah sebagai pernyataan hilang rasa hormat dan kepercayaan terhadap cucu ulamak yang mewujudkan mahzab Islam Hadhari. Kesemua empat bekas Perdana Menteri Malaysia sebelumnya tidak pernah mengalami rencam sebegitu memalukan.
Sosek politik di anjung rumah Umno pula sudah mula tersebar adegan “cerita dalam kelambu” lewat gerak gempur kalangan penyokong Abdullah, Datuk Seri Najib dan Muhyiddin Yassin di mana mereka saling tunjal menunjal antara satu sama lain sebagai usaha menonjolkan kehebatan pemimpin idola mereka.
Mampukah Abdullah menerajui bahtera Umno menghadapi gelora badai musim pilihan raya yang dilihat semakin hampir apabila juak-juak penyokong saling tuduh menuduh sesama sendiri. Sebaliknya kalangan pemimpin Barisan Alternatif ternyata kian kukuh menyimpul pakatan serta menyuburkan budaya hormat menghormati untuk tidak berpecah-belah.
Apabila kalangan pemimpin ghairah menyelak kain dan cerita dalam kelambu sesama mereka, tentunya fitrah untuk membela untung nasib rakyat gagal ditangani. Kesannya tiada lagi kesepakatan menyanggah serta menangani persoalan kenaikan harga barangan di pasaran.
Dua hari lalu sewaktu menghadiri perhimpunan Parti Bersatu Sabah di Kota Kinabalu, Datuk Seri Mohd Najib melontarkan tuduhan bahawa parti pembangkang mengadu domba rakyat dengan taburan janji manis sebagai usaha memancing yakin. Ekoran tindakan tersebut menurut Timbalan Perdana Menteri boleh menjerat negara untuk berada dalam situasi sempang-peranang serta menggugat keamanan.
Persoalannya, siapakah sebenarnya mengadu domba rakyat dan mencetuskan lenjan politik untuk terjebak dalam situasi tidak menentu? Apakah ianya dilakukan oleh parti pembangkang atau sebaliknya. Apa yang pasti rakyat semakin jelek serta mengalami hakisan keyakinan terhadap pemimpin sedia ada.
Bagi rakyat keseluruhannya mereka mahu melihat setiap amanah yang telah diberikan lewat musim pilihan raya ke-11 dahulu bukan sebagai tiket kepada pemimpin untuk melakukan rampokan wang rakyat. Jauh sekali mereka mahu ambil peduli persoalan siapa tunjal siapa.
Harapan rakyat semasa memberi sokongan kepada Barisan Nasional sebegitu besar agar pemimpin setia menjadi hamba rakyat serta tegas mempertahankan hak dan kedaulatan tanah air. Rakyat cinta damai pastinya tidak mungkin akan tertipu sekali lagi oleh lakonan Abdullah Ahmad Badawi yang mengaku dirinya seorang muslim yang baik.
Sebaliknya rakyat bagaikan sudah tidak sabar lagi menyatakan suara keramat mereka “suara rakyat”. Selagi harga barang mencanak, selagi kebobrokan pemimpin tidak dicegah dari amalan budaya korupsi, selagi itulah rakyat menhitung hari untuk menghukum mereka bersikap “musang berbulu ayam”.