Radzi-Shahidan, satu lagi episod ‘retak menanti belah’ dalam Umno


(Harakah) – Melihat kepada laporan berita pergeseran antara Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim dengan Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad membayangkan bahawa Umno kini 'meniti di titian usang' sebelum berhadapan dengan pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan secara terbuka Radzi supaya MB Perlis ditukar dan digantikan dengan yang lain menunjukkan betapa pekung dalam kepimpinan Umno kini mula terdedah dan membibitkan lagi perpecahan dalaman parti nasionalis itu.

Bukan calang-calang peringkat yang melewati pergeseran itu ia membabitkan kepimpinan tertinggi parti dengan kepimpinan peringkat negeri iaitu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis.

Shahidan yang sebelum ini diketahui karektornya sebagai antara 'pelawak' dalam kepimpinan Umno dan kerajaan tidakpun memberi reaksi yang 'emosi' sebaliknya menyerahkannya kepada pucuk kepimpinan parti.

Malangnya orang nombor dua dalam Umno (Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak) pula berkokok dengan suara lantang me,beri amaran agar isu kelemahan dalaman parti tidak dihebahkan kepada umum.

Malangnya Najib sudah terlambat kerana pekung sudahpun terbuka dan bau busuknya semakin terhidu membuatkan Presiden Umno. dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi 'loya' sekali lagi.

Tidak selesai dengan isu kritikan pedas Naib Ketua Pemuda Gerakan, S.Paranjothy, Umno kini sekali lagi dirundung permasalahn dalaman parti antara kepimpinan tinggi dengan negeri.

Selaku Setiausaha Agung Umno, Radzi adalah antara yang layak menegur kepimpinan peringkat negeri, bagaimanapun teguran beliau dilihat seperti 'membuka pekung di dada sendiri'.

Mungkin inilah kaedah muafakat dalaman yang hendak diamalkan Radzi dengan membuka isu kelemahan dalaman Umno kepada pengetahuan media, malangnya ianya membangkitkan kemarahan beberapa kepimpinan parti termasuk Najib.

Bagi penulis, sejarah membuka pekung di dada sendiri bagi Umno bukan satu yang baharu, sebaliknya ia berulang dari semasa ke semasa termasuk pendedahan paling dahsyat awal tahun lalu oleh bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai beberapa isu membabitkan Umno.

Hal ini tidak asing kerana ianya telahpun menjadi amalan tradisi bagi seseorang pemimpin yang mahu dijatuhkan dengan menggunakan serangan media.

Sejarah juga menunjukkan beberapa pemimpin Umno termasuk bekas Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Anwar Ibrahim diaibkan dengan menggunakan media untuk dipecat dari Umno dan kerajaan (tahun 1998).

Sejarah juga menunjukkan bagaimana Allahyarham Tun Gahafar Baba, Tun Musa Hitam dan beberapa kepimpinan terdahulu dijatuhkan dengan menggunakan serangan media.

Bagi penulis, melihat kepada situasi percakaran antara Radzi degan Shahidan ini tidak mustahil akan ada salah seorang dari mereka yang akan tersingkir selepas pilihan raya umum akan datang.

Malangnya mungkin rakyat di Arau dan Padang Besar tidak terhidu dengan permainan ini, namun Najib secara pantas dapat menghidu kesan percakaran ini hanya akan membibitkan lagi perpecahan dalam Umno lebih -lebih lagi menjelang pilihan raya umum.

Kebimbangan Najib nyata terserlah dengan amaran yang dikeluarkan antaranya berbunyi isu kepimpinan Umno Perlis tidak seharusnya dibincangkan secara terbuka kerana ia boleh membawa kepada implikasi yang serius.

"Kita tidak mahu perkara ini dibincangkan secara terbuka kerana isu begini membawa implikasi yang besar," katanya Najib.

Isu Shahidan-Radzi ini hanyalah salah satu babak penting dalam senario politik Umno dan massa, hubungan rengang antara kepimpinan Umno sebenarnya sudah lama berlaku.

Dari kewujudan kem-kem tertentu hinggalah kini secara terbuka adegan cabar-mencabar antara kepimpinan berlaku.Semuanya melengkapkan episod 'retak menanti belah' yang dialami parti nasionalis itu.

Pembangkang tidak perlu menangguk di air yang keruh dalam isu Shahidan -Radzi ini kerana sebenarnya masalah dalaman Umno sudahpun semakin keruh untuk dihirup rakyat mahupun ahli Umno.

Nampaiknya apa yang diperkatakan pembangkang nyatalah berasas kerana kepimpinan Umno hanya mementingkan soal perebutan jawatan bermula dari jawatan dalaman Umno hinggalah kepada jawatan dalam kerajaan.

Kini terpulang kepada rakyat untuk terus menilai prestasi kerajaan BN yang dikepalai Umno samada perlu dikekalkan atau sebaliknya.



Comments
Loading...