Radzi tidak sesuai beri pandangan terbuka – Ali Rustam


KANGAR 30 Dis. – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam meminta anggota Umno agar membincangkan perkara yang mempunyai kaitan dengan Umno secara tertutup demi menjaga maruah parti.

Beliau berkata, pandangan terbuka Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad yang menyentuh kedudukan Menteri Besar Perlis dan kepimpinan Umno negeri itu semalam boleh mencetuskan spekulasi.

“Pandangan terbuka seperti itu tidak sesuai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri ekspo keusahawanan wanita Gerakwanis Gerakan Belia 4B Malaysia di Dewan 2020 di sini hari ini.

Beliau berharap kenyataan atau pandangan terbuka seumpama itu tidak lagi dikeluarkan, apatah lagi di saat menjelang pilihan raya umum.

Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi memberitahu pemberita di Johor Bahru, masalah dalaman kepimpinan politik Umno di Perlis harus diselesaikan secara profesional oleh pemimpin negeri itu tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Seorang lagi anggota MT Umno, Datuk Shahrir Abdul Samad pula berpendapat kepimpinan politik Umno di Perlis harus mencari formula bagi memperbaiki hubungan masing-masing.

“Bagi saya rakyat ketika ini tidak minat mendengar konflik kepimpinan ini kerana sebagai pemimpin, kita sebenarnya kena tumpukan usaha selesaikan masalah rakyat,” katanya.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Kangar, Datuk Hashim Suboh berkata, Umno bahagian itu dalam keadaan bersatu dan tidak timbul masalah perpecahan sebagaimana dibangkitkan oleh Mohd. Radzi kononnya perpecahan wujud bukan sahaja di peringkat negeri tetapi di peringkat bahagian juga.

Ketua Penerangan Umno Bahagian Arau, Datuk Abu Bakar Ismail menyifatkan kenyataan Mohd. Radzi itu turut menjejas nama baik Presiden Umno memandangkan jawatan Setiausaha Agung Umno adalah lantikan Presiden Umno dan bukan dipilih dalam perhimpunan agung.

Kenyataan itu akan merugikan Umno di saat parti itu membina kekuatan menjelang pilihan raya umum dan sepatutnya dibangkitkan dalam forum Umno yang tertutup bagi mengelak timbulnya pelbagai spekulasi, katanya. – Bernama



Comments
Loading...