Shahidan nafi Umno Perlis pecah-belah
KANGAR 30 Dis — Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan UMNO Perlis dalam keadaan kucar-kacir dan tidak bersatu dan jika terdapat sebarang masalah dalaman beliau akan memperbetulkan keadaan dengan segera.
Katanya, beliau tidak akan mendedahkan permasalahan dalaman parti secara terbuka namun ia akan dibincangkan secara tertutup.
“Terima kasih (kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad) kerana komen itu,” katanya kepada para pemberita ketika diminta mengulas pandangan terbuka Mohd Radzi terhadap kedudukan kepimpinan Umno Perlis semalam.
Semalam, Mohd Radzi yang juga Anggota Parlimen Kangar berkata, sepanjang hampir empat tahun menjadi Setiausaha Agung Umno, beliau mendapati Umno Perlis tidak bersatu dan ia memerlukan perubahan kepimpinan.
“Masalah besar saya tak tahu. Kalau tahu tak apa. Apa masalah dalaman saya tak tahu. Semua negeri ada perbezaan pendapat (di kalangan pemimpin) tapi semasa pilihan raya semua perlu bersama,” katanya.
Shahidan berkata, beliau mengutamakan kekuatan parti terutama menjelang pilihan raya umum dan usaha berterusan dilakukan bagi memantapkan sokongan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Apa yang berhubung dengan (masalah) parti, serah kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan presiden parti. Saya ambil komen mengenai diri saya secara positif,” katanya.
Shahidan, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, berkata beliau sangat sayangkan parti dan akan terus melaksanakan mandat yang telah lama diberikan kepadanya untuk menerajui kepimpinan negeri.
“Saya ambil komen mengenai diri saya secara positif. Peribadi saya tak penting. Saya boleh pergi bila-bila masa saja. Yang lebih penting BN dan Umno,” katanya.
Menurutnya jentera pilihan raya BN peringkat negeri berjalan lancar dan perkembangan terkini mengenainya telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri.
Mengenai perubahan dalam kepimpinan Umno sebagaimana yang disebut oleh Mohd Radzi, Shahidan berkata perubahan itu perlu dilakukan secara bersama.
Katanya, beliau juga sentiasa memberi peluang kepada tiga anggota Parlimen di Perlis untuk menyertai mesyuarat-mesyuarat bahagian meskipun mereka tidak memegang sebarang jawatan.
Misalnya, katanya, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli, Datuk Seri Azmi Khalid, dilantik sebagai Pengerusi Penerangan Umno Negeri dan Pengerusi BN bahagian Padang Besar meskipun dia tiada jawatan di peringkat bahagian Umno Padang Besar.
Katanya Radzi, yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, juga bebas menghadiri mesyuarat jawatankuasa bahagian walaupun beliau tiada jawatan dalam Umno bahagian Kangar.
Begitu juga, anggota Parlimen Arau, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Jamalullail yang boleh menghadiri mesyuarat bahagian walaupun tiada jawatan parti di peringkat bahagan Umno Arau.
Sebelum itu, Shahidan menyampaikan sumbangan kewangan RM200 setiap seorang kepada 3,000 penduduk miskin dan ibu tunggal di Kompleks Warisan di sini.- Bernama