Rasuah: Ezam tetap konsisten, cabar Fariz desak Anwar ‘open the 6 box’


(Sinar Harian) – BEKAS Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor mendedahkan enam kotak dokumen yang didakwa ada hubung kait dengan rasuah dan penyelewengan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) itu ada pada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ezam berkata, tidak timbul isu beliau perlu menyerahkan dokumen berkenaan kepada sesiapa, sebaliknya jika mereka (AMK Terengganu) mahukan dokumen itu, mereka hanya perlu bertanya kepada Anwar “Saya cabar Ketua AMK Terengganu (Fariz Musa) suruh Anwar dedahkan enam kotak dokumen yang disimpannya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, AMK harus berani desak Anwar untuk dedahkan itu.

“Saya berani keluarkan dokumen OSA dan sanggup dipenjara kerananya, sebaliknya Anwar dan AMK tidak pernah keluarkan sebarang dokumen rasuah. Saya cabar Anwar jelaskan hal ini. Saya ingin jelaskan, Anwar tidak dedahkan dokumen berkenaan atas sebab politik. Rasuah tidak boleh dipolitikkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Fariz yang disiarkan Sinar Harian kelmarin bahawa AMK Terengganu mengalu-alukan kehadiran Ezam untuk berkempen bagi BN di pilihan raya kecil Kuala Terengganu dari 6 hingga 17 Januari ini seterusnya mendedahkan enam dokumen yang didakwa ada kandungan rasuah dan penyelewengan oleh beberapa pimpinan UMNO dan BN.

Mengulas lanjut, Ezam berkata, beliau telah membuat kenyataan berhubung perkara itu kepada pihak polis pada tahun 1999 bahawa enam kotak dokumen berkenaan ada dalam simpanan Anwar yang disimpan di dalam dan luar negara.

Menurutnya, semua enam kotak dokumen penting itu tidak ada dalam simpanannya sebaliknya Anwar telah mengambilnya untuk tujuan tertentu.

“Kenapa saya (perlu dedahkan), mereka perlu tanya kepada Anwar kenapa dia tidak mendedahkan dokumen itu setelah bebas dari penjara?” katanya.

Dalam pada itu, Ezam yang kini berada di Jakarta berkata, beliau akan meluangkan masa sepenuhnya untuk membantu BN bagi pilihan raya kecil yang akan datang.

“Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk memenangkan calon BN yang sudah diumumkan baru-baru ini.

“Saya akan beri tumpuan mengenai penipuan Anwar berhubung 16 September yang ternyata gagal, mesej saya juga sama seperti kempen di Permatang Pauh iaitu Anwar pengkhianat bangsa,” katanya.

Ezam berkata, Anwar adalah pengkhianat bangsa Melayu dan berbohong kepada masyarakat Cina dan India semata-mata mahu merealisasikan impiannya menjadi Perdana Menteri.

“Anwar menukar slogan Ketuanan Melayu kepada Ketuanan Rakyat semata-mata untuk menjadi PM,” katanya.



Comments
Loading...