Umno guna isu perkauman tarik semula sokongan Melayu
(Hrkh) – Umno kini dikatakan hanya bergantung kepada isu berbau perkauman untuk bangkit semula selepas kehilangan kuasa majoriti pada pilihan raya umum ke-12 lalu.
Dengan sokongan padu media berbahasa Melayu, Umno cuba menyemarakkan isu tersebut dengan harapan mendapat simpati orang Melayu yang sudah beralih kepada Pakatan Rakyat.
Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berkata, hanya dengan isu perkauman sahaja mereka menganggap dapat bangkit semula bagi menjuarai politik negara.
"Ini dapat dilihat apabila media sering kali membangkitkan isu-isu sensitif termasuk kepala babi yang digantung di pagar rumah orang Melayu.
"Umno hanya mengharapkan isu perkauman dapat menaikkan kembali imej mereka. Namun malangnya rakyat sekarang tidak mudah tertipu," katanya pada ceramah perdana di Putik malam tadi.
Ceramah itu mencatat sejarah apabila pemimpin kanan DAP, Teresa Kok buat pertama kali muncul di pentas PAS di Kelantan.
Mengikut jadual asal program itu dikenali sebagai wacana, namun terpaksa ditukar kepada ceramah selepas Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Dr Ma'mor Osman menarik diri sebagai ahli panel.
Wacana berkenaan memperkatakan isu ISA yang turut menampilkan Teresa dan Mohamad. Anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Mohd Amar Abdullah menggantikan Dr Ma'mor.
Program itu dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri. Hampir 1,000 orang hadir biar pun hujan agak lebat sejak awal pagi.
Teresa pula berkata, Umno kini berusaha keras bagi memecahkan perpaduan di kalangan rakyat yang sudah beralih kepada Pakatan Rakyat.
Menurutnya pilihan raya umum ke-12 menjadi bukti apabila pengundi Melayu tidak teragak-agak lagi mengundi calon DAP dan begitu juga pengundi Cina mengundi PAS.
"Semangat toleransi kaum begitu kuat sekali pada pilihan raya umum lalu sehingga Pakatan Rakyat dapat memerintah empat lagi negeri hasil sokongan rakyat pelbagai kaum," katanya yang juga anggota Exco kerajaan Selangor.
Pada ceramah itu katanya biar pun beliau dianggap sebagai pelampau dan antiIslam atau antiMelayu, namun tetap datang ke Kelantan yang terkenal dengan rakyat hidup beragama.
"Saya dianggap sebagai tokoh kontroversi oleh media harian berbahasa Melayu sehingga disebarkan berita saya membantah azan sebuah masjid di Puchong.
"Editor Utusan Malaysia menggambarkan perkara yang tidak betul terhadap saya. Malah banyak juga dalam blog dan email yang diterima saya dituduh menghalang laungan azan di masjid," katanya.
Menurutnya tidak lama selepas itu beliau disekat dalam perjalanan pulang ke rumah oleh pegawai polis dan memberitahu ditahan di bawah ISA.
Dakwa beliau semasa ditahan beliau langsung tidak dibenarkan berhubung dengan keluarga dan peguam, malah telefon bimbitnya turut dirampas.
"Selepas saya ditahan akhbar yang sama terus mengaibkan saya. Dan selepas dibebaskan pun bekas ketua pengarang akbbar terbabit menulis cerpen yang dianggap cuba menghina saya.
"Sudahlah saya susah hati selepas keluar dari tahanan ISA namun pihak terbabit terus menghina saya," katanya.
Oleh itu katanya wajar sekali tindakannya menyaman akhbar berkenaan sehingga puluhan juta bagi membersihkan imejnya yang sudah dicalarkan.