BN banyak tiru perubahan Pakatan Rakyat


Lim Guan Eng, HARAKAH

Kita hidup dalam dunia yang berubah disebabkan globalisasi, internet dan akikat perubahan besar yang berlaku di Amerika Syarikat (AS). Bayangkan seorang berkulit hitam tinggal di Rumah Putih.

Kita juga mengalami perubahan besar melalui apa yang dinamakan sebagai tsunami politik 8 Mac pada pilihan raya umum lalu, lalu membentuk sistem dua parti dalam politk Malaysia. Bayangkan, seorang 'bekas banduan' seperti saya menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Saya ingin melihat Malaysia berjaya sebagai sebuah masyarakat madani dan negara yang membangun. Untuk mewujudkannya, kita perlu melengkapkan perubahan politik, ekonomi dan etika negara kita. Ketiga-tiga perubahan tersebut malah menjadi sangat penting ekoran kemelesetan ekonomi disebabkan krisis kewangan global.

Kita memerlukan perubahan politik untuk mengukuhkan institusi demokratik, memperolehi kesamarataan dan keadilan politik, penghormatan terhadap hak asasi manusia, kedaulatan kuasa rakyat dan undang-undang.

Kita memerlukan perubahan ekonomi yang menyediakan peluang sama rata kepada semua, keadilan sosio ekonomi yang bergantung kepada tenaga, kepakaran dan daya niaga sumber manusia kita.

Kita memerlukan perubahan etika dengan mewujudkan integriti dalam kehidupan awam, yang dapat memerangi rasuah dan menjamin pentadbiran yang baik berasaskan prinsip CAT, iaitu Daya Saing, Bertanggungjawab dan Telus.

Untuk mencapai wawasan ini, kita mesti mewujudkan kerajaan yang "berjuang untuk rakyat" yang mengamalkan pentadbiran yang baik menerusi prinsip CAT. Ia bukan sahaja akan mencipta kemakmuran, tetapi kemewahan tersebut akan dikongsi sama adil bersama rakyat mengikut cara seperti berikut:

* Daya saing menjamin penyampaian yang berkesan dan cekap, yang menghendaki kita memilih yang terbaik supaya kita berada di atas orang lain;

* Kebertanggungjawaban selari dengan budaya demokratik yang menyatupadukan penyertaan, rundingan dan tanggungjawab ke dalam mekanisme pembuatan keputusan; dan

* Ketelusan menyuburkan integriti dan mencegah rasuah, sementara pembuatan keputusan dilakukan secara terbuka dan boleh diteliti oleh masyarakat awam.

Apabila kita bercakap mengenai pentadbiran CAT, kita tidak hanya bercakap mengenai pembasmian rasuah, penyalahgunaan dan pembaziran. Kita tidak juga hanya bercakap mengenai penjalanan menggunakan kelas ekonomi atau membatalkan pembelian kereta baru.

Kita bercakap mengenai nilai wang sebenar yang kita belanjakan, supaya kita dapat RM1 bukan 30 sen daripada RM1 yang kita belanjakan. Sebab itulah kita mesti kreatif dan inovatif serta bersungguh-sungguh untuk melakukan perubahan supaya mencapai tahap dan standard amalan antarabangsa.

Apabila Pulau Pinang memperkenalkan tender terbuka untuk menghentikan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, kami dikritik oleh BN sebagai tidak adil. Umno malah mengadakan demonstrasi dan mendesak kami supaya menarik balik keputusan tersebut.

Saya tidak nampak macam mana tender terbuka boleh dikatakan tidak adil, lantas kami meneruskannya. Dan apa yang kami lakukan terbukti betul: BN kini secara perlahan-lahan menggunakan sistem tender terbuka di peringkat persekutuan.

Apabila kami membuat keputusan menginstitusikan pemberian geran kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Cina dan Tamil, kami dikritik oleh BN. Tapi kini BN mengikuti kami dengan memberi RM200 juta kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Cina dan Tamil.

Itu sebabnya kami mahu BN mengikut kami apabila kami meletakkan papan tanda pelbagai bahasa di Georgetown, dengan tulisan bahasa Malaysia yang besar diikuti tulisan Cina, Tamil, Arab dan juga Inggeris.

Inilah sebabnya kenapa kami mahu BN mengikuti kami dengan menjadikan Malaysia negara Wi-fi setelah kami melancarkan Pulang Pinang sebagai negeri Wifi pertama di negara ini.

Itu sebabnya mengapa kami mahu BN mengikut kami apabila kami mengumumkan mahu menghapuskan kemiskinan tegar dalam masa satu tahun sedangkan BN tidak berjaya melakukannya dalam masa 50 tahun.

Paling penting, kami mahu BN mengikut kami mewujudkan Bangsa Malaysia di mana semua rakyat diperlakukan sama adil tanpa mengira bangsa dan agama. Dunia sudah berubah disebabkan Amerika yang mengajar kita bahawa apa yang penting ialah kandungan peribadi bukan warna kulit.

Mari kita pelajari ini semua dan mengajar satu sama lain bahawa di sebalik kulit kita yang Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban itu, darah kita sama warnanya.

——–

Terjemahan oleh Muhammad Nor Abd Samad daripada The Edge 29 Disember 2008.



Comments
Loading...