BN mainkan minda rakyat Kuala Terengganu dengan modal pembangunan


(Harakah) – Banyak pihak sebelum ini menjangkakan Barisan Nasional akan tampil dengan isu-isu agak konkrit dan lebih mencabar dalam menghadapi persaingan sengit Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, bermula minggu ini.

Rasional mereka pelbagai. Antaranya mengambilkira keupayaan BN Terengganu mempertahankan kemenangan pada pilihan raya umum, Mac lalu. Di saat beberapa kerajaan negeri diterajui BN tumbang dan hampir tumbang, kemampuan BN negeri itu meraih majoriti lebih dua pertiga amat menakjubkan dan di luar dugaan.

BN Terengganu dianggap memiliki resepi sangat unik sehingga mampu mengepung minda rakyat negeri itu daripada terpengaruh dengan gelombang perubahan melanda serata negara. Isu-isu yang terbukti memberikan impak negatif terhadap BN di peringkat nasional tidak membuahkan fenomena serupa di Terengganu.

Ada yang mengaitkan sokongan 'luar biasa' terhadap BN itu sebagai kesan langsung kejayaan program pemerintahannya di Terengganu yang dikatakan telah menambat hati rakyatnya.

Mandat besar diberikan rakyat itu baru berusia sembilan bulan. Justeru, agak tidak munasabah bagi sebuah kerajaan yang mendakwa telah berjaya memberikan segalanya kepada rakyat untuk tampil dalam pilihan raya kecil ini mendendangkan lagu-lagu lapuk sekitar isu pembangunan.

Apatah lagi Kuala Terengganu merupakan ibu negeri yang sudah diangkat taraf sebagai bandaraya. Secara logiknya, ia sepatutnya menjadi kawasan paling maju dan terkedepan dari aspek pembangunan. Maka di manakah wajarnya BN terus berpaut pada isu pembangunan?

Malangnya, apa yang dirasakan tidak wajar itulah nampaknya cuba dimunasabahkan BN. Ternyata pati itu masih tidak dapat memisahkan dirinya dari modal pembangunan dan umpan kewangan.

Sebab itu secara tiba-tiba beberapa jalan raya di kawasan Kuala Terengganu mula diturap semula. Sehinggakan jalan yang tidak rosak juga 'dibaiki'. Beberapa prasarana lain seperti longkang dan wakaf yang selama ini terbiar turut segera dibaikpulih.

Akhbar harian Khamis (1 Januari) lalu pula memetik kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, bahawa kemenangan BN dalam pilihan raya kecil nanti akan memudahkan kerajaan negeri dipimpinnya menyalurkan peruntukan pembangunan secara terus kepada rakyat di parlimen Kuala Terengganu.

Kelakar bunyinya, bukan? Mengapa mesti tunggu BN menang pilihan raya ini baru nak disalurkan pembangunan? Bukankah sebelum ini ia telah dimenangi BN dan peluang untuk BN menyalurkan bantuan sudah terbentang luas?

Lagi pun, bukankah kerajaan negeri juga milik BN? Apakah kerajaan negeri akan menghadapi masalah menyalurkan terus pembangunan ke kawasan tersebut sekiranya ia dimenangi parti lawan?

Paling utama sekali, bukankah Kuala Terengganu ibu negeri? Masakan semata-mata disebabkan ia tidak dimenangi BN, maka kerajaan dikuasai parti itu tidak akan meneruskan pembangunan di kawasan yang menjadi pusat pentadbirannya?

Segala persoalan itu wajar dilontarkan, terutama oleh bakal pengundi di Kuala Terengganu. Secara rasional juga dapat disimpulkan adalah amat tidak munasabah sekiranya bandaraya ibu negeri tergamak dipinggirkan pembangunannya semata-mata kerana berwakil rakyatkan seorang pemimpin parti pembangkang.

Malah, BN Terengganu akan dianggap amat kejam dan janggal sekiranya ia tergamak melakukan tindakan sedemikian. Mana mungkin bagi sebuah kerajaan meminggirkan bandar utama dari arus pembangunan?

Kita sudah ada contoh yang baik. Lihat saja bandaraya-bandaraya utama negara seperti Kuala Lumpur, Georgetown, Ipoh, Seremban, Kuching dan lain-lain. Kepesatan pembangunan bandar-bandar ini tidak dapat dielakkan walau pun ia dikenalpasti sejak beberapa lama sebagai kubu kuat pembangkang dan tidak dimenangi BN.

Terbukti BN ketandusan isu dalam usaha terdesaknya mengekalkan kemenangan sangat tipis di Kuala Terengganu. Mahu tidak mahu ia kembali mendendangkan modal lapuk isu pembangunan.

Secara tidak langsung, perbuatan BN itu juga seakan mempermainkan tahap minda warga bandaraya itu. Penduduk bandar-bandar utama serata negara sudah lama menolak BN. Mereka tahu soal pembangunan adalah tugas kerajaan dan menolak BN tidak akan membantutkan pembangunan di kawasan bandar.

Justeru, andai kata pengundi Kuala Terengganu masih termakan umpan pembangunan, bermakna benarlah telahan orang bahawa tahap minda mereka masih tidak mencapai taraf warga bandaraya.



Comments
Loading...