Masyarakat dunia perlu pulau matawang Amerika – Dr Mahathir
(Hrkh) – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed menggesa masyarakat sedunia agar tidak lagi menggunakan matawang Amerika dalam sebarang urusan sebagai kaedah menentang Israel.
"Jangan setakat memulaukan barangan Amerika Syarikat, malah matawang mereka juga mesti dipulaukan. Jangan guna matawang Amerika Syarikat," katanya pada satu sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, kelmarin.
"Ini kerana, dollar Amerika tiada apa-apa yang disandarkan nilai kepadanya. Dan, alasan matawang itu masih digunakan adalah disebabkan orang-ramai masih menganggapnya sebagai matawang yang bernilai.
"Jika anda berhenti menggunakan matawang Amerika, Amerika tak dapat berdagang dan tidak dapat banyak duit. Dengan ini, negara itu akan terus menjadi miskin dan Amerika akhirnya akan menghentikan penghasilan senjata-senjata," kata beliau.
Tambah beliau, cara ini lebih mudah dan memberikan kesan buruk ke atas Israel.
Bagaimanapun, menurut Dr Mahathir, usaha memulaukan matawang Amerika ini menuntut kerjasama seluruh negara di dunia.
"Tindakan ini tidak terbatas kepada Malaysia sahaja. Ini tidak akan berkesan. Seluruh dunia mesti terlibat. Kerajaan-kerajaan tidak akan bertindak kerana mereka takut kepada Amerika Syarikat.
"Tetapi, orang-ramai mesti bertindak kerana mereka memiliki kapasiti untuk berbuat demikian," tambah beliau.
Ketika ditanya adakah bakal Presiden Amerika, Barack Obama mampu mengubah nasib rakyat Palestin, beliau berkata bakal presiden itu tidak meyakinkannya.
"Saya tidak fikir Barack Obama boleh. Dia mungkin menarik balik tentera Amerika Syarikat dari Iraq dan Afghanistan kerana tindakan itu hanya merugikan negara. Tetapi, dia akan sentiasa menyokong Yahudi dalam serangan ke atas Palestin."